Keadaan bas yang terbabas masuk ke dalam kawasan paya di tempat kejadian.
Penumpang yang terselamat menunggu di tepi jalan sebelum meneruskan perjalanan.
KUANTAN - Seramai 31 penumpang sebuah bas ekspres termasuk pemandu
berdepan detik mencemaskan apabila bas dinaiki terbabit kemalangan
dengan sebuah lori tanpa muatan di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran
simpang masuk Pusat Peranginan Pantai Cherating, dekat sini, awal pagi
semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 pagi itu, pemandu bas dan lori serta
seorang penumpang wanita cedera, manakala penumpang yang lain tidak
mengalami sebarang kecederaan.
Akibat kejadian yang belum dipastikan puncanya itu, kedua-dua kenderaan
terbabit terbabas ke tepi jalan sebelum masuk ke kawasan semak berpaya.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)
Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kemalangan
itu kira-kira jam 3.50 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera
dari Balai Bomba Gebeng dikerah ke lokasi untuk kerja-kerja menyelamat.
Menurutnya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk
mengeluarkan mangsa yang cedera, selain membawa penumpang yang
terperangkap di dalam bas naik ke jalan raya.
“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital manakala penumpang lain
yang terselamat mungkin meneruskan perjalanan dengan bas lain yang
disediakan syarikat bas terbabit,” katanya.
Anuar berkata, bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Kota
Bharu, Kelantan menuju ke Melaka, manakala lori tanpa muatan dari arah
Kuantan menghala ke Dungun,
Terengganu.
“Punca sebenar kejadian tidak dapat dipastikan, bagaimanapun
berkemungkinan kedua-dua kenderaan terbabit berselisih ketika melalui
satu jambatan agak sempit berhampiran lokasi kejadian sebelum terbabas,”
katanya. SH


No comments:
Post a Comment