Jom Buat Duit

Wednesday, 28 November 2012

Pertempuran sebenar Anugerah Juara Lagu ke - 27 bermula

DEBARAN untuk mengetahui finalis Muzik Muzik yang layak ke peringkat final telah berakhir malam Ahad lalu. Sebanyak 12 buah lagu telah terpilih bersaing pada peringkat final.
Lagu- lagu tersebut ialah Idola (Azlan & the Typewriter), Pelangi Senja (Stacy), Terukir Di Bintang (Yuna), Anak Kampung (Jimmy Palikat dan One Nation Emcee), Ombak Rindu (Hafiz dan Adira), Tanpamu (Amir Jahari), Patah Seribu (Shila Amzah), dan Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo).
Turut tercalon di pentas final ialah lagu Teman Pengganti (Black dan RJ), Lagu (Bedroom Santuary), Ku Akui (Hafiz), dan Simetri (Hazama & Amy Search).

Bagaimanapun, sedikit pertikaian mula wujud tentang pemarkahan dan pemilihan yang diberi oleh para juri apabila beberapa lagu yang dianggap punya kualiti lebih baik tidak tersenarai, sebaliknya terdapat beberapa lagu yang hanya mendapat putaran tinggi di radio telah tersenarai.
Namun, komposer dan pemuzik terkenal, Azmeer menolak dakwaan itu sebaliknya berkata pemilihan yang dilakukan berdasarkan kreativiti dan bakat pemuzik itu sendiri.
“Daya kreativiti pemuzik merupakan salah satu kriteria utama layaknya sesuatu lagu untuk dipertandingkan di peringkat final.

“70 peratus penilaian sesebuah lagu adalah berdasarkan melodi, lirik, susunan muzik, kreativiti, penerimaan juri dan masyarakat terhadap lagu tersebut, manakala 30 peratus lagi adalah menerusi persembahan penyanyi itu sendiri,” jelasnya.
Azmeer turut mengakui bahawa industri hiburan tanah air telah berkembang secara sihat dan terdapat peningkatan apabila banyak kemunculan penyanyi baharu yang kreatif dan berbakat berbanding dengan tahun 80-an.

“Seperti lagu Teman Pengganti ciptaan Mallique, ia memiliki melodi yang asli. Namun, masih mempunyai elemen lagu-lagu lama, dan ia tidak mempengaruhi melodi baharu,” katanya yang juga bertindak sebagai ketua juri pada malam tersebut.
Azmeer juga menegaskan, walaupun terdapat lagu yang layak ke final mempunyai elemen Barat, tetapi pada masa sama ia masih mengekalkan unsur keMelayuan seperti penggunaan bahasa yang betul.

Selain Azmeer, finalis turut diadili oleh juri terdiri daripada Datuk Ramli MS, Edrie Hashim, Helen Yap, Cat Farish, Kamarulzaman Taib dan Damien Mikail Seet.
Dalam pada itu, pertandingan yang telah memasuki musim ke-27 pada tahun ini terus menyaksikan dominasi daripada penyanyi baharu apabila berjaya layak ke final anugerah yang penuh berprestij itu.
Jika pada musim lalu, Hafiz telah merangkul trofi Juara Lagu dan juga dinobatkan sebagai pemilik Vokal Terbaik, kali ini dia sekali lagi menunjukkan kewibawaannya apabila ke pentas akhir buat kali kedua berturut-turut. Apa yang lebih manis, lagu duet bersama Adira, Ombak Rindu turut tersenarai di dalam 12 finalis untuk tahun ini.

Menurut Hafiz, walaupun dia merupakan juara AJL 26 lalu, dia menganggap ia bukanlah tekanan baginya untuk terus berentap di pentas final pada tahun ini.
“Bagi saya, tekanan sudah tiada, yang tinggal sekarang hanyalah cabaran untuk melakukan yang terbaik di final.

“Insya-Allah, di pentas final nanti saya akan lakukan satu kejutan, tetapi buat waktu ini saya belum terfikir lagi bentuk kejutan yang bagaimana akan saya tampilkan,” katanya.
Sementara itu, Shila Hamzah yang baru sahaja merangkul trofi Anugerah Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19 (AIM 19) dan trofi Power Vocal Award dalam anugerah Shout! Awards 2012 terus menunjukkan keunggulannya apabila turut menempatkan diri ke pentas final.
Apabila ditanya soalan adakah disebabkan tempiasnya mendapat anugerah-anugerah yang diperoleh sebelumnya membuat dia sekali lagi tercalon, Shila menolak dakwaan itu.
Ujar Shila, dia bersyukur dengan pencapaiannya sekarang dan ini merupakan rezeki kurniaan daripada Tuhan.
“Saya tidak meletakkan harapan tinggi, sebaliknya jika ada rezeki, insya-Allah, Allah akan bagi,” katanya.

Manakala penyanyi rock veteran, Amy Search yang kali terakhir ke pentas final menerusi lagu Seroja, mengakui teruja tercalon salah seorang finalis dan berdepan dengan pemuzik baharu.
Katanya: “Saya rasa gembira dapat lakukan ini untuk Hazama, dan apabila bercampur dengan pemuzik baharu, saya perlu menghormati mereka.
“Malah, masuk ke final ini pun sudah cukup baik untuk saya, selebihnya adalah untuk bergembira.”
Final Anugerah Juara Lagu 27 (AJL 27) dijadualkan pada 6 Januari tahun depan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)