Jom Buat Duit

Tuesday 27 November 2012

Vokal 'hancur', Diandra dikritik hebat


DIANDRA merupakan anak didik Yuna. 
 

PENDATANG baharu, Diandra Arjunaidi, 20, telah dikritik hebat oleh peminat-peminat di Twitter baru-baru ini. Ia adalah impak daripada persembahan Diandra ketika menyampaikan lagu ciptaannya sendiri, Angkasa, pada konsert minggu kedua separuh akhir Muzik-Muzik 27.
Penyanyi yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Yuna iaitu Yuna Room Records (YRR) dikutuk kerana vokalnya pada persembahan separuh akhir Muzik-Muzik 27 itu dikatakan tidak sehebat seperti nyanyiannya dalam cakera padat (CD).

Lebih teruk, bakat dan kebolehan nyanyian Diandra dipersoalkan malah ada yang mempersoalkan kenapa dia layak menyertai pertandingan muzik berprestij itu.
Tidak kurang ada yang menganggap anak kelahiran Kuala Lumpur itu tidak mampu menyanyi secara langsung.

Antara komen peminat menerusi Twitter adalah:
“Pernah dengar Diandra Arjunaidi tidak pandai menyanyi live. Saya rasa sesiapa yang menyatakan perkara itu adalah benar”.
“Maaf. Rakaman atau secara langsung. Saya masih tidak menyukai suara Diandra Arjunaidi”.
Kosmo! segera mendapatkan maklum balas daripada Diandra mengenai perkara itu.

Kosmo!: Apakah komen anda apabila dikritik hebat oleh peminat di Twitter?
DIANDRA ARJUNAIDI: Saya sedih dan sensitif kerana mereka tidak tahu cerita sebenar.

Apakah cerita di sebalik vokal anda yang ‘hancur’ ketika menyampaikan lagu tersebut pada separuh akhir Muzik-Muzik 27?
Sebenarnya saya baru balik daripada mengadakan persembahan di konsert Yuna yang berlangsung di Kuching, Sarawak. Semasa di Kuching lagi saya sudah demam dan kehilangan suara. Bila saya menyanyi dan kemudiannya pulang ke Kuala Lumpur untuk separuh akhir Muzik-Muzik 27 suara saya menjadi semakin teruk. Saya ada minum air asam jawa untuk memulihkan suara, tetapi masih tidak baik.

Adakah benar dakwaan peminat mengatakan anda tidak mampu menyanyi secara langsung?
Itu tidak benar. Saya boleh menyanyi secara langsung.

Ada juga yang mengatakan anda tidak mempunyai bakat menyanyi? Komen anda?
Saya tidak rasa yang suara saya seteruk seperti yang orang cakap. Kalau saya tidak ada bakat menyanyi, Yuna tidak ambil saya menyertai syarikat miliknya, Yuna Room Records (YRR).

Bila anda menghadapi dugaan seperti ini adakah anda rasa putus asa?
Saya tidak akan putus asa sebab ia adalah salah satu asam garam dalam industri. Sebagai pendatang baharu saya kena terima kutukan yang orang beri. Yuna dan Hujan juga sebelum ini pernah dikritik dengan teruk. Yuna juga ada beri nasihat kepada saya supaya tidak mudah patah semangat dan tunjukkan kepada mereka (peminat) yang kita mampu buat yang terbaik.

Buat pertama kali lagu ciptaan anda, Angkasa berjaya ke peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 27, tetapi ia tidak dapat dilakukan dengan baik. Adakah anda kecewa?
Sudah tentu saya kecewa sangat, tetapi saya anggap tiada rezeki. Sebagai seorang pendatang baharu, sudah ke peringkat separuh akhir juga sudah bagus untuk saya. Insya-Allah, saya akan cuba untuk tahun depan dan akan lebih menjaga kesihatan.

Apakah harapan anda kepada peminat?
Saya harap peminat sentiasa menyokong. Kalau tidak minat tidak mengapa, asalkan jangan beri kutukan yang melampau.

Apakah perkembangan terbaharu anda?
Insya-Allah tahun depan dalam bulan Februari atau Mac album kedua saya berada di pasaran.
Berapa buah lagu yang ditulis anda dalam album kedua tersebut dan apakah judul single pertama?
Terdapat 10 buah lagu yang kesemuanya ditulis oleh saya. Single pertama album kedua saya iaitu Sama Saja sudah saya nyanyikan dalam beberapa persembahan.

Menerusi album kedua nanti adakah anda akan lebih berhati-hati dari segi tatabahasa kerana dalam lagu Angkasa terdapat kesalahan tatabahasa yang digunakan?
Saya akui kurang fasih menulis dan bertutur dalam bahasa Melayu. Saya sebenarnya membesar dengan penggunaan bahasa Inggeris namun saya cuba untuk menghasilkan lagu-lagu dalam bahasa Melayu dan cubaan pertama saya sudah tentu single Angkasa. Untuk album kedua saya ada meminta tolong kawan-kawan untuk melihat lirik yang ditulis agar tidak berlaku kesilapan lagi.
Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters