Jom Buat Duit

Tuesday, 27 November 2012

Zee Avi Tidak hilang jati diri

BERTEMU buat pertama kalinya dengan penyanyi Zee Avi dalam satu sesi fotografi bersama Kosmo! pada hujung minggu lalu, dia nyata cukup peramah. Bahkan sepanjang sesi temu bual berlangsung, Zee atau nama sebenarnya Izyan Alirahman tidak kekok berbahasa Melayu dan sesekali terselit dialek Sarawak yang menjadi darah dagingnya.
Luahnya, satu perkara yang mungkin ramai orang tidak tahu tentang dirinya adalah dia merupakan warganegara Malaysia dan anak kelahiran Miri, Sarawak.

"Ramai peminat yang terkejut apabila saya memberitahu mereka, saya rakyat Malaysia. Saya bangga saya rakyat Malaysia dan lahir di Miri, Sarawak. Tidak ada apa yang perlu saya malu kerana saya sayangkan Malaysia. Bahkan, pada setiap persembahan saya di luar, pasti saya akan selitkan cerita mengenai Malaysia," katanya yang merupakan duta pelancongan negeri Sarawak.
Kata gadis berusia 27 tahun itu, dia telah diajar hidup di rantau orang sejak berusia 17 tahun. Ketika itu, Zee meninggalkan Malaysia demi menuntut ilmu fesyen di Universiti American InterContinental di London, England.

Selepas lagunya dimuatnaik di laman perkongsian video YouTube, Zee telah dilamar oleh syarikat rakaman Brushfire Monotone/Universal Records, sebelum album pertamanya diterbitkan pada tahun 2009.

Sejak album pertamanya yang berjudul Zee Avi dilancarkan di pasaran, jadual hariannya mula padat dan New York menjadi destinasi tempat tinggalnya.
"Saya sudah terbiasa berdikari sejak berusia 17 tahun. Ibu bapa saya hanya membayar yuran pengajian, manakala duit poket saya cari sendiri. Jadi, kini pada usia 27 tahun tinggal sendirian bukan satu masalah besar buat saya. Ibu bapa juga tidak putus memberi nasihat dan kata-kata semangat setiap kali menghubungi saya.

"Walaupun hidup di negara orang, saya tetap mengamalkan budaya tempatan. Bagi saya, jati diri itu penting untuk membentuk siapa saya pada hari ini. Saya juga tidak pernah letih atau bosan bercerita tentang keindahan Malaysia setiap kali rakan dan peminat di Amerika bertanya tentangnya," tutur Zee yang kini berpindah ke Los Angeles beberapa minggu sebelum taufan Sandy melanda bandar New York.

Album Melayu
Zee yang telah melahirkan dua buah album, Zee Avi dan Ghost Bird kini dalam peringkat awal proses membikin album ketiganya.


Mengakui terdorong untuk mencipta lagu buat pertama kali kerana tiada lagu yang sesuai dengan jiwanya ketika itu, dia tidak menyangka akan bergelar penyanyi dan berada di bawah syarikat rakaman antarabangsa.

"Mula-mula saya cipta lagu ketika belajar di London. Saya bosan, jadi saya menulis lirik dan mencipta lagu kerana tiada lagu di radio ketika itu sesuai dengan jiwa saya. Ia sekadar untuk suka-suka dan mengisi masa lapang, tidak sangka sekarang saya jadi penyanyi. Sampai sekarang saya masih belajar untuk menerima hakikat itu (ketawa)," ujarnya.
Apabila disoal bilakah mahu melahirkan album penuh dalam bahasa Melayu, Zee tersenyum lebar. Jelasnya, dia sendiri tidak sabar lagi untuk muncul dengan album penuh dalam bahasa Melayu kerana itu impiannya.

"Memang saya sendiri tidak sabar untuk lahir dengan album penuh bahasa Melayu, tetapi buat masa ini fokus saya hanya untuk album ketiga.
"Selepas album ketiga ini, saya ada masa lapang. Mungkin pada hujung tahun hadapan atau tahun 2014. Saya belum boleh beri kata putus, tetapi saya memang teringin sangat membikin sebuah album bahasa Melayu," balasnya.

Jika melahirkan album bahasa Melayu, luah Zee dia amat sukakan muzik nostalgia seperti lagu-lagu daripada R. Azmi dan Allahyarham Datuk Ahmad Jais.
Katanya: "Kalau saya melahirkan album bahasa Melayu, inspirasi saya daripada muzik-muzik lama. Bagi saya muzik lama sangat jujur dan meresapi jiwa. Sebab itu pada tahun 2012 kita masih boleh menerima muzik lama. Antara lagu yang saya suka seperti Nasib Penyanyi, Serba Salah dan Hitam Manis."

Aizat
Bercakap tentang Aizat, penyanyi lelaki yang dikaitkan rapat dengan dirinya kini, mata Zee terus bersinar. Akuinya, sebelum ini dia langsung tidak mengenali Aizat.
Selepas muzik Aizat diperkenalkan oleh rakannya, Zee cukup kagum dengan bakat muzik yang dimiliki Aizat serta abangnya, Anas.
"Saya tidak tahu kenapa baru sekarang saya kenal Aizat. Kami berkenalan baru-baru ini dan terus boleh rapat sebab kami satu kepala apabila berbicara tentang muzik. Memang saya suka berkawan dengannya.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
ZEE AVI mengaku pernah bercinta, tetapi kini pada usia 27 tahun, dia belum bertemu dengan cinta sejati lagi.

"Kami telah bekerjasama baru-baru ini dan saya juga telah ke studio Kasi Gegar Entertainment. Sebenarnya bukan semua orang yang sesuai bekerja dengan nada suara dan muzik saya, tetapi tidak untuk mereka. Mungkin kami akan bekerjasama dalam sebuah lagu pada masa depan, siapa tahu? Tunggu dan lihat," luah Zee berahsia.

Bercerita mengenai Yuna yang juga mencapai sukses di luar negara sepertinya, Zee juga berbangga apabila rakan seperjuangan telah mengharumkan nama Malaysia. Bagaimanapun, kesibukan jadual menyebabkan mereka tidak berkesempatan untuk bekerjasama.

"Biarpun sama-sama berada di Amerika Syarikat, sebab masing-masing sibuk, kami tidak sempat untuk bertemu. Apabila saya berpindah ke Los Angeles, Yuna sedang sibuk dengan konsert jelajahnya. Apa pun, saya bangga dengannya kerana dia cukup berbakat besar dan melakukan dengan baik di sana," kata Zee.
Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)