DIBUNUH...polis mengusung mayat mangsa yang ditemui dalam keadaan bogel.
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mati dipercayai dibunuh kekasih sejenisnya sebelum mayat mangsa ditinggalkan dalam keadaan bogel dalam sebuah bilik hotel empat bintang di Jalan Ampang, di sini, semalam.
Mayat lelaki berusia 37 tahun yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang, ditemui dengan kesan kecederaan serius di belakang kepalanya oleh pekerja hotel berkenaan kira-kira jam 3 petang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, mangsa sepatutnya mendaftar keluar dari hotel itu jam 12 tengah hari, tetapi gagal berbuat demikian menyebabkan pekerja hotel itu memeriksa bilik mangsa menginap.
Menurutnya, selepas dipanggil beberapa kali dan tidak berjawab, pekerja berkenaan membuka pintu bilik menggunakan kunci pendua sebelum mendapati mangsa terbujur kaku di dalam bilik berkenaan.
“Siasatan awal mendapati mangsa yang mendaftar masuk kira-kira jam 6 petang kelmarin keluar dari biliknya jam 12 tengah malam sebelum kembali ke biliknya jam 1 pagi bersama seorang wanita dipercayai warga tempatan.
“Berdasarkan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di hotel itu, wanita terbabit keluar dari bilik mangsa sejam kemudian sebelum mangsa didatangi seorang kenalan lelakinya pada jam 2.30 pagi yang berada bersama-sama mangsa hingga jam 12 tengah hari,” katanya.
Katanya, pemeriksaan awal Unit Forensik Polis Kuala Lumpur mendapati punca kematian mangsa disebabkan hentakan objek tajam pada kepalanya.
“Kami percaya lelaki terakhir berusia awal 40-an yang berada bersama mangsa adalah suspek utama yang melakukan pembunuhan.
“Polis turut menolak kemungkinan kejadian bermotifkan samun berikutan semua barang berharga mangsa tidak diambil dan siasatan kini menjurus sama ada mangsa mempunyai hubungan songsang dengan suspek terbabit,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu polis dengan menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di 03-21159999 atau balai polis berhampiran.
No comments:
Post a Comment