KOMERSIAL...Mimi ada pakej.
MIMI Ernida, 20, mungkin masih asing dalam arena lakon layar, tetapi hakikatnya dia sudah bertapak dalam industri sejak 2009 selepas bakatnya dikesan menerusi rancangan Pencarian Gadis Melayu (PGM) musim ketiga terbitan TV9. Berdarah kacukan Melayu Pakistan, wajahnya cukup manis dan tidak hairanlah produser tidak teragak-agak mengambilnya berlakon.
Biarpun masih kaku berdepan lensa kamera, mungkin juga gementar kerana jarang melalui sesi fotografi, namun jelas terserlah kesungguhannya menerima segala arahan untuk cuba memberikan ‘pose’ terbaik.
Bila diminta bercerita titik tolak pembabitannya dalam bidang seni, Mimi atau nama penuhnya, Nor Shamimi Ernida Mansor, menjelaskan semuanya bermula apabila ibunya sendiri mencadangkan dia untuk mencuba nasib dalam program PGM yang kebetulan mengadakan uji bakat di Alor Setar.
“Ketika itu, saya masih lagi bekerja sebagai kerani di sebuah pejabat guaman di sana. Kalau bukan kerana mama, saya pun tidak tahu uji bakat itu diadakan. Mama yang beriya-iya menyuruh saya menghadirinya kerana dia tahu saya memang minat bidang pengacaraan sejak di bangku sekolah lagi.
“Tidak sangka pula, walaupun saya hanya datang suka-suka tanpa persediaan yang rapi, tidak lama kemudian pihak produksi menghubungi saya dan memaklumkan saya berjaya menjadi peserta PGM musim ketiga.
“Sesungguhnya, berada beberapa minggu dalam rancangan itu, bagaikan tidak puas kerana dari hari ke hari pelbagai perkara diajarkan kepada kami dan semakin lama semakin dahagakan lebih ilmu.
“Dari situlah juga minat saya untuk melangkah ke bidang lakonan tercetus apabila pada peringkat akhir, kami diberikan tugasan untuk berlakon dan ketika itu saya sudah memasang angan-angan menjadi pelakon. Walaupun tumpas dan gagal mendapat tiga tempat teratas namun pengalaman itu cukup untuk saya jadikan bekalan melangkah lebih jauh ke bidang hiburan.
“Dua minggu berlalu, saya tiba-tiba mendapat panggilan daripada Metrowealth Pictures (MIG) menawarkan sekiranya saya berminat untuk menjadi artis mereka. Sukar untuk saya gambarkan perasaan gembira pada ketika itu kerana bohong kalau saya katakan tidak mahu.
“Bagaimanapun, mereka tidak mendesak saya untuk terus memberikan jawapan. Tidak mahu gopoh, saya berbincang terlebih dulu dengan ayah dan mama mengenai tawaran berkenaan dan akhirnya mereka bersetuju dengan syarat saya kena pandai jaga diri. Syukurlah, mereka tidak pernah berhenti menyokong minat saya.
“Sebaik menandatangani kontrak, saya mendapat ‘kerja’ pertama iaitu memegang watak pembantu sebagai Farah dalam filem Alamak Toyol. Dengan itu, bermulalah pengalaman baru merasai sendiri bagaimana keadaan di lokasi penggambaran yang ternyata tidak semudah seperti sangkaan awal saya,” jelas anak sulung empat beradik ini.
Sejak itu, tawaran demi tawaran datang kepadanya dan sehingga kini, dia sudah berlakon dalam beberapa drama seperti Ku Sangka Dua Rupanya Tiga, Santau Merasuk serta telefilem Balik Kampung. Selain itu, Mimi juga akan muncul dalam filem Aji No Moto dan bergandingan dengan adik Pierre Andre, Mikael Andre sebagai watak utama menerusi filem Satu Lawan Satu.
Pada pandangan mata kasar, jika diteliti raut wajahnya, Mimi seorang yang cantik dan bersifat ayu. Namun, jelasnya, dia sebenarnya seorang yang lasak dan sukakan benda-benda ekstrim. Tidak hairanlah ketika diajukan soalan watak apa yang diimpikannya, lantas dia menjawab watak wanita lasak.
Sangat mengagumi lakonan Rosyam Nor dan Aaron Aziz, Mimi juga menyimpan impian untuk beraksi di samping dua pelakon tampan dan berkaliber itu suatu hari nanti. Bagaimanapun, baginya, masih banyak yang perlu diperbaiki untuk meningkatkan mutu lakonannya apatah lagi dia baru setahun jagung berada di lapangan ini.
Dalam pada itu, walaupun kini dia perlu beri tumpuan sepenuhnya dalam lakonan, namun tidak mematahkan semangatnya untuk menembusi bidang pengacaraan pada suatu hari nanti.
“Mana mungkin saya boleh tinggalkan minat pengacaraan yang masih menebal dalam diri saya. Andai saja peluang itu tiba, saya pasti tidak akan melepaskannya.
“Dulu sewaktu masih kecil, saya selalu berangan-angan akan muncul sebagai penyampai di kaca televisyen dan bercakap seorang diri di depan cermin,” imbasnya.
Menjadikan Datin Normala Samsudin sebagai idolanya, katanya, jika benar cita-cita itu menjadi kenyataan, dia berhasrat untuk mengacarakan rancangan yang berbentuk kewanitaan.
Trivia Mimi
Nangis puas-puas sampai letih. Selepas itu, ajak kawan-kawan keluar
Buat aksi rempit ketika di sekolah menengah
Ahli perniagaan
Paris
Lamborghini
Brad Pitt
No comments:
Post a Comment