Jom Buat Duit

Thursday, 1 March 2012

Erykah Badu sedih




NAMA Erykah Badu mungkin kurang dikenali dan agak asing di kalangan peminat muzik tempatan generasi baharu, tetapi dia merupakan seorang penyanyi dari Amerika Syarikat yang cukup terkenal dengan irama funk, hip-hop dan soul.

Bagaimanapun, kini namanya tiba-tiba menjadi sebutan gara-gara pembatalan konsertnya pada saat-saat akhir yang sepatutnya diadakan semalam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur setelah melanggar garis panduan Agensi Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).
Semuanya berpunca daripada penyiaran gambar penyanyi tersebut menerusi akhbar The Star yang menunjukkan bahagian dadanya tertera perkataan Allah yang dikatakan tatu dan telah menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Dalam satu sidang akhbar tergempar yang diadakan semalam, Erykah yang turut ditemani Pengarah Urusan Pineapple Concerts Sdn. Bhd., Razman Razali selaku penganjur menyatakan dia cukup terkejut apabila konsertnya itu telah dibatalkan.

Kosmo!: Boleh jelaskan tentang perkataan Allah yang tertera di dada Erykah itu?
ERYKAH: Ingin saya jelaskan bahawa gambar yang telah disiarkan di sebuah akhbar Inggeris itu merupakan gambar yang diambil dalam satu sesi fotografi untuk pembikinan salah sebuah album saya dan tidak ingat bila gambar itu diambil. Namun, ia bukanlah tatu. Ia sekadar lukisan badan yang dibuat untuk sesi fotografi berkenaan. Kini perkataan tersebut sudah tidak ada lagi di dada saya (sambil menunjukkan sedikit bahagian dadanya kepada media).

Apakah tujuan Erykah berbuat demikian?
Sebenarnya, sewaktu sesi fotografi itu saya mendapat inspirasi daripada filem arahan Alejandro Jodorowsky berjudul The Holy Mountain. Dalam filem tersebut, ia membawakan mesej cinta dan kasih sayang terhadap semua manusia tanpa mengira agama.
Adakah Erykah tahu gambar sebegitu menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini?
Sudah tentu saya tidak tahu kerana tidak menyangka fahaman agama di Amerika Syarikat berbeza dengan Malaysia. Kalau di negara asal saya, ukiran sebegitu hanya dilihat sebagai sebuah hasil seni yang tidak mendatangkan apa-apa implikasi.

Apakah perasaan Erykah setelah mendapat tahu konsert anda dibatalkan pada saat-saat akhir?
Saya sangat terkejut dan tidak mampu berkata apa-apa kerana tujuan saya datang ke sini semata-mata mahu menghiburkan para peminat memandangkan ini kali pertama saya berada di Malaysia. Malah, saya gembira kerana majoriti rakyat di negara ini sangat mesra dan pihak penganjur juga melayan saya dengan baik.
Namun, saya sedih kerana impian mahu membuat persembahan akhirnya berkubur. Kalau boleh saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak, tetapi akhbar Inggeris yang menyiarkan gambar saya itu seharusnya lebih peka agar sebarang kesilapan dapat dielakkan.

Selaku penganjur pula, adakah Razman berusaha agar konsert berkenaan dapat diteruskan pada malam ini (semalam)?
RAZMAN: Sebaik sahaja saya dihubungi oleh pihak Puspal, saya terus mengadakan pertemuan dengan mereka. Pada mulanya saya ingatkan menerusi pertemuan itu saya dapat menjelaskan perkara yang sebenar dan berharap ia dapat diteruskan seperti biasa.
Bagaimanapun, saya telah dimaklumkan bahawa permit konsert berkenaan yang diluluskan oleh Puspal pada Disember 2011 telah ditarik balik dan kami terpaksa membatalkan konsert yang sepatutnya diadakan pada malam ini (semalam).

Berkenaan dengan gambar tersebut, adakah pihak penganjur yang membekalkannya kepada akhbar The Star?
 Kami ada membekalkan gambar-gambar Erykah sebagai promosi kepada semua pihak media. Namun, kami langsung tidak membekalkan sebarang gambar yang telah menimbulkan kontroversi dan tidak pasti bagaimana pihak The Star mendapatkannya.
Adakah pihak penganjur akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut?
Perkara berkenaan masih lagi dibincangkan oleh pihak syarikat, tetapi memang sudah ada perancangan untuk kami berbuat demikian memandangkan banyak kerugian yang terpaksa ditanggung setelah konsert ini dibatalkan.
EMOSI. Erykah di samping Razman pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters