KAHERAH - Sebuah mahkamah di selatan Mesir menjatuhkan hukuman mati
ke atas 529 orang penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi kerana
membunuh seorang anggota polis dan menyerang polis.
Mahkamah di Minya itu membuat keputusan tersebut semalam selepas
hanya dua sesi perbicaraan manakala para peguam tertuduh mendakwa mereka
tidak berpeluang untuk mengemukakan hujah pembelaan.
Mereka yang didapati bersalah itu merupakan sebahagian daripada 545
tertuduh yang dibicara atas tuduhan membunuh seorang anggota polis,
percubaan membunuh dua anggota polis lain, menyerang sebuah balai polis
dan beberapa tindakan ganas lain.
Lebih 150 suspek dihadap ke mahkamah manakala yang lain dibicara tanpa kehadiran mereka.
Seramai 16 lagi dibebaskan daripada semua tuduhan tersebut.
Semua tertuduh ditangkap selepas beberapa demonstrasi ganas yang
tercetus susulan operasi polis membanteras tunjuk perasaan pro-Morsi di
Kaherah pada Ogos tahun lalu.
Beratus-ratus orang terbunuh dalam keganasan tersebut. - AP
No comments:
Post a Comment