PERTH - Sebuah pesawat China yang terbang di kawasan pencarian baharu
di selatan Lautan Hindi yang terletak 1,800 kilometer (km) dari barat
Perth, Australia mengesan tiga objek yang berwarna putih, merah dan
oren.
Menurut agensi berita Xinhua, objek tersebut ditemui di dalam kawasan
pencarian baharu untuk mencari sebuah pesawat Penerbangan Malaysia
(MAS) yang hilang sejak 8 Mac lalu.
Kru pesawat Ilyushin IL-76 itu melihat objek tersebut pada jarak ketinggian 300 meter dari Lautan Hindi.
Agensi berita itu melaporkan, sebuah kapal milik China, Haixun 01 itu akan cuba untuk menjejaki objek tersebut dan mengambilnya selepas ia dilihat kru pesawat berkenaan.
Kelmarin, beberapa pesawat turut mengesan 11 objek termasuk dua objek
yang berbentuk segi empat tepat yang berwarna kelabu dan biru.
Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA) berkata, kapal-kapal akan cuba untuk mengambil objek tersebut.
"Objek-objek itu tidak boleh disahkan atau dipercayai sebagai
serpihan dari pesawat MH370 itu sehingga ia ditemui semula dan diambil
kru kapal-kapal tersebut," kata AMSA dalam satu kenyataan.
"Setakat ini, masih tidak diketahui berapa banyak bahan terbuang
seperti yang digunakan untuk aktiviti perikanan berada di lautan itu.
"Sekurang-kurangnya, satu objek perikanan telah dikenal pasti," menurut kenyataan itu.
Lokasi pencarian baharu itu beralih ke kawasan 1,100 kilometer ke timur laut dari kawasan pencarian sedia ada sejak kelmarin.
Perpindahan lokasi itu adalah disebabkan satu analisis terbaharu
mengenai data radar yang mendapati pesawat berkenaan terbang lebih laju
daripada yang dianggarkan sebelum ini menyebabkan minyak pesawat MH370
itu habis dengan cepat.
Kerja-kerja pencarian sebelum ini ditumpukan di kawasan sejauh 2,500 kilometer (km) dari barat laut Perth.
Namun, kawasan pencarian itu kini ditumpukan di kawasan yang terletak sejauh 1,850km dari barat Perth.
Pesawat itu yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang ketika ia sepatutnya menghubungi menara kawalan di Vietnam.
Ketika hilang, pesawat Boeing 777-200ER itu dalam penerbangan ke Beijing, China.
Seramai 153 warga China menaiki pesawat itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment