Jom Buat Duit

Monday 7 May 2012

Profesional Yana - Pierre


PIERRE dan Yana sekali lagi akan berlakon sama dalam filem romantik yang berjudul Strawberry Cinta. 


PERNAH menjalinkan hubungan cinta selama lebih tiga tahun, keserasian Yana Samsuddin dan Pierre Andre kelihatan sangat secocok ketika digandingkan semula dalam filem 3 Temujanji. Namun, Yana dan Pierre mengakui bahawa pada mulanya, mereka agak kekok ketika ingin 'bercinta' semula dalam filem tersebut.

Bagaimanapun, sebagai seorang aktor dan aktres, mereka memilih untuk bersikap profesional dan mengetepikan kisah peribadi untuk memberikan yang terbaik terhadap lakonan masing-masing.
"Sewaktu kami berlakon filem ini, saya dan Yana telah setahun tidak berjumpa atau berlakon bersama. Jadi, bila jumpa semula, tidak dinafikan memang kami berdua terasa kekok dan memikirkan bagaimana untuk tidak kelihatan kekok dalam filem.

"Akhirnya kami mengambil jalan untuk bersikap profesional. Kami banyak berbincang mengenai watak dan karakter dalam filem ini. Mungkin juga dengan mengingati semula masa gembira kami dulu telah membuatkan keserasian itu timbul semula," ujar Pierre mengenai 'penyatuan' semula dia dan bekas kekasihnya itu.

Dalam nada bersahaja dan bergurau, Pierre atau nama sebenarnya Mohd Pierre Andre Nazarul Andre menambah, jika tiada keserasian, maka tidak bercintalah mereka sebelum ini. Katanya juga, keserasian itu telah ada sejak dulu, namun perlu dicari semula kerana ia telah lama hilang selepas mereka putus cinta.

Begitu jua pengakuan yang dibuat oleh Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin ketika ditebak persoalan yang sama dengan bekas kekasihnya itu. Kekok merupakan perkara pertama yang berlegar dalam mindanya ketika ditawarkan berlakon dalam filem tersebut.

"Walaupun dahulu kami pernah mempunyai hubungan istimewa, tapi selepas itu masing-masing tidak bertegur atau berlakon bersama selama setahun. Kemudian, secara tiba-tiba digandingkan dalam satu filem dan sebagai pasangan kekasih. Semestinya perasaan begitu (kekok) timbul.

"Tapi, Alhamdulillah, dia sangat membantu. Semasa kami melakukan sesi lampas otak, dia juga banyak bercerita serta semasa penggambaran pula, kami banyak berbincang bersama untuk hilangkan rasa kekok itu," tutur aktres tersebut.

Tambah wanita berusia 27 tahun ini lagi, sebagai seorang pelakon, bersikap profesional walaupun mereka pernah mempunyai masa silam yang barangkali masih melekat dalam hati adalah bonus buat mereka untuk menjadi anak seni yang baik.

Doa Pierre
"Tiada masalah berlakon dengan dia kerana saya rasa bergandingan bersama Yana adalah gandingan paling senang berbanding pelakon yang lain," itu kata-kata jujur yang keluar dari mulut jejaka berusia 27 tahun ini mengenai Yana.

Selain itu, Pierre juga tidak teragak-agak membuat pengakuan bahawa dia masih menyayangi Yana. Akan tetapi, perasaan sayang itu bukan seperti sayang buat kekasih, namun Pierre kini menganggap Yana seperti keluarganya sendiri.

"Saya tidak menghalang jika ada jodoh kami, dan saya juga tidak akan menghalang jika kami tiada jodoh. Ini kerana, bagi saya perhubungan saya dan Yana sebelum ini cukup baik. Saya akan mendoakan yang terbaik buat Yana selepas ini termasuk soal siapa yang bakal menjadi kekasih atau suaminya.

"Saya memang mahu yang terbaik buat dirinya dan semoga dia berbahagia tidak kira dalam perhubungan, masa depan mahupun karier," jelas Pierre tidak menyembunyikan perasaannya.

Yana tidak kisah
Keserasian merupakan sesuatu yang amat penting agar watak yang dilakonkan berjaya menambat hati penonton yang menonton. Bagi Yana, hubungan istimewa dia dan Pierre dianggap sebagai satu kelebihan kerana melalui pengalaman tersebut, ramai yang memuji keserasian mereka.

"Ramai juga yang bercakap memang keserasian saya dengan Pierre dalam 3 Temujanji itu jelas kelihatan. Namun, saya juga mendapat respons yang baik daripada orang ramai tentang keserasian saya dan Sam dalam filem Bini-biniku Gangster," beritahu Yana mengenai keserasian bersama pelakon yang pernah menjadi heronya.

Selepas ini, Yana dan Pierre akan kembali 'berjodoh' untuk dua buah naskhah lagi. Ia termasuk sebuah filem romantik yang berjudul Strawberry Cinta, yang mana Yana menjadi seorang wanita Korea dan Pierre pula sebagai pemandu pelancong.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters