Jom Buat Duit

Thursday 17 May 2012

Apek mahu berdamai

APEK tiada masalah untuk berlakon dalam produksi David Teo. 

KEMELUT yang melanda hubungan pelawak terkenal, Saiful Apek dan pemilik syarikat produksi Metrowealth International Group Sdn. Bhd. (MIG), David Teo sebelum ini menarik perhatian ramai.
Apek yang merupakan sahabat baik kepada arwah Bob Kuman naik berang apabila David menggunakan perkataan ‘sedekah’ ketika ditemu bual dalam satu program televisyen lantas melepaskan kemarahan itu dalam akaun Twitter dan Facebook miliknya.

Malah, dia turut meminta penerbit terkenal itu membuat permohonan maaf secara terbuka serta menuntut bayaran tertunggak berjumlah RM200,000 yang sepatutnya diselesaikan hasil kutipan filem terbitan bersamanya iaitu Lady Boss dan Anak Mami Kembali.
Akhirnya pada hari Selasa lalu, Apek tampil membuat penjelasan berkenaan krisis yang tercetus antara dirinya dan David Teo. Ikuti temu bual antara Saiful Apek dan Kosmo! ketika ditemui di Subang Avenue, Subang, Selangor itu.

Kosmo!: Boleh Apek ceritakan situasi terkini antara anda dan David Teo?
SAIFUL APEK: Pada mulanya saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini sehingga saya menonton program Melodi beberapa minggu lalu dan Ahad lepas. Saya tidak dimaklumkan sesiapa mengenai kes tuntutan saya yang difailkan pada tahun 2006 telah dibatalkan. Kalau saya tahu tak akan saya nak bising, itu bermakna mengancam diri sendiri. Saya akur dengan keputusan itu dan tiada lagi persengketaan antara kami. Bagi saya memaafkan adalah penyelesaian yang paling tepat. Saya harap jangan bangkitkan lagi isu ini.

Setelah isu ini selesai, anda pernah berjumpa atau menghubungi David?
Belum sempat bersua muka lagi dan pihaknya juga belum menghubungi saya. Kalau pada mulanya dulu dia yang datang cari saya rasanya tidak salah jika dia melakukan perkara yang sama sekarang. Sebelum ini pun pernah terserempak beberapa kali dengan dia tapi tiba-tiba hilang. Apapun, saya ucapkan terima kasih kepada David Teo kerana berani membuat permohonan maaf secara terbuka dan menghormati adat masyarakat Melayu.

Jika David menawarkan anda berlakon atau bekerja di bawahnya, adakah anda setuju?
Secara amnya saya tiada masalah, saya boleh berlakon kalau ditawarkan tapi sanggupkah pihak tertentu menanggung akibat kelak? Orang ramai akan bercakap-cakap, ambil saya berlakon apabila sudah timbul polemik. Ya, kalau ditawarkan saya terbuka.

Anda rasa ralat atas kejadian yang berlaku sekarang? Apa tindakan anda selepas ini?
Saya tidak dapat pastikan apa yang akan dilakukan selepas ini. Bagi saya tidak begitu ralat sebab isu ini sudah terlampau lama, yang ralatnya sudah tentu anak-anak saya sebab mereka ada berlakon dalam filem Lady Boss tujuh tahun lalu.

Anda ada meluahkan rasa tidak puas hati dalam akaun Twitter dan Facebook milik anda sebelum ini, kenapa?
Sebelum itu saya ingin memohon maaf kepada semua berkenaan tulisan saya yang kurang rasional yang ramai sifatkan saya meroyan. Isu ini ada sejak arwah (Bob Kuman) ada lagi dan baru sekarang tergerak untuk bersuara.

Isu apa yang anda maksudkan?
Berjuang dan bersuara dengan saluran yang lebih afdal dan sahih bagi pihak yang terlibat dalam sesebuah produksi termasuk artis dan kru. Perkara yang saya tuntut tiada kena mengena dengan agama atau bangsa tapi hak yang sepatutnya dijaga dan dibela.

Mungkin anda ada usul atau cadangan untuk diutarakan?
Saya mencadangkan untuk menubuhkan satu biro khas yang disertai semua persatuan secara berpusat. Matlamatnya untuk mempunyai satu laman istimewa bagi mengeratkan silaturrahim dan menyelesaikan masalah dalam industri seni tempatan. Jadi kepada artis atau kru produksi yang ingin menyuarakan ketidakpuasan hati boleh melalui saya. Saya sifatkan diri saya sebagai pencetus dan perantara untuk disuarakan kepada pihak bertanggungjawab.

Boleh huraikan lagi berkenaan biro itu?
Biro yang dimaksudkan itu saya namakan KEMAS 0.0 (Kebajikan Eksklusif Masyarakat Artis dan Seni). Perkara yang ditekankan merangkumi kepekaan terhadap tawaran kontrak dan perjanjian antara artis, kru produksi dan syarikat penerbitan, keselamatan, insurans, perubatan, penginapan, pengangkutan, mekanikal, bayaran, sumbangan idea, royalti dan jumlah waktu bekerja. Tindakan ini baru permulaan dan harap mendapat maklum balas positif.

Nasihat kepada generasi baharu?
Saya menyeru supaya rakan-rakan artis lain menggunakan saluran dan cara yang betul sebelum menandatangani perjanjian. Jadikan kami iktibar. Seboleh-bolehnya elakkan menggunakan perkataan ‘sedekah’ sebaliknya ditukarkan kepada terma ‘hadiah’ yang bersifat lebih merestui.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters