Jom Buat Duit

Tuesday 3 April 2012

Pelamin cinta Azza Elite & Azlan



SEJOLI...Azza dan Azlan gembira selepas diijabkabul sebagai suami isteri.

BERTEMU jodoh memang suatu yang sukar dijangka. Namun ketentuan Tuhan sudah tertulis hingga masa menentukan segalanya berlaku. Pengalaman manis dilalui pelakon drama popular, Noor Azzarima Zawari atau Azza berpeluang merasai detik bahagia buat kali kedua.

Kelmarin menjadi hari bersejarah buat Azza yang juga bekas anggota kumpulan Elite apabila selamat melangsungkan majlis pernikahan bersama jejaka pilihan, Azlan Zulaily.

Majlis yang diadakan secara sederhana dan ringkas dihadiri 100 tetamu terdiri anggota keluarga, rakan artis dan pihak media berlangsung dalam suasana tenang dan lancar.

Azza yang kelihatan anggun dengan gaun warna krim rekaan Syafieq Aiman menguntum senyum gembira saat Azlan melafazkan akad nikah yang disempurnakan imam Masjid Al-Syakirin Bukit Antarabangsa, Selangor.


Walaupun Azlan melafazkan akad sebanyak tiga kali kerana gemuruh, ia tidak menghalang pasangan ini sah bergelar suami isteri. Sebagai tanda ikatan suami isteri, Azlan memberikan wang hantaran sebanyak RM10,000 bersama tujuh dulang manakala pihak Azza membalas sembilan dulang.

Azza ditemui sebaik majlis akad nikah selesai menyatakan perasaan syukur dan gembira kerana hasratnya membina mahligai bahagia bersama suami menjadi kenyataan.

Katanya, dia tidak mahu terburu mengadakan majlis persandingan. Cuma, apa yang penting adalah melaksanakan acara pernikahan kerana masing-masing terikat dengan jadual kerja.

“Saya hanya mendapat cuti tiga hari sebelum kembali ke lokasi penggambaran drama bersiri Baitul Rahmat. Kami memang berhasrat mengadakan majlis resepsi dan ia akan menyusul kemudian.

“Buat masa ini, kami masih merancang tarikh sesuai untuk majlis persandingan nanti. Kami sebenarnya turut menerima jemputan pasar raya Mydin yang sudi menaja acara resepsi yang ingin diadakan di cawangan baru di Taman Meru, Ipoh, Perak.

“Sebolehnya saya lebih suka acara persandingan nanti dibuat ringkas dan apa yang paling penting adalah bertemu dan meraikan rakan serta kenalan yang hadir,” katanya.

Sebagai raja sehari, sudah tentu Azza mengharapkan majlis persandingan yang akan diadakan memberikan elemen romantik pada mereka dan tetamu yang hadir.

Menyelami hidup berumahtangga, Azza mengakui persefahaman antara dan kasih sayang antara satu sama lain penting dalam membawa kebahagiaan yang diimpikan.

“Saya tidak mempunyai masalah dengan jadual kerja suami kerana saya tahu bagaimana kerjanya sebagai pramugara. Namun, saya sendiri sebagai isteri perlu bijak membahagikan masa agar mempunyai masa untuk bersamanya.

“Apa yang saya lihat anak angkat saya, Marissa dapat terima Azlan dengan baik. Begitu juga keluarga saya sememangnya sebelum ini sukar untuk saya bawa mana-mana lelaki berjumpa mereka.

“Sebaliknya, apabila saya kenal dengan dia, saya rasa dia boleh diterima keluarga saya dan memang tiada masalah,” katanya turut menerima cincin daripada ibu mentua.

Azza, 35, menyatakan jadual kerjanya masih sibuk dengan penggambaran drama sehingga September nanti. Namun dia tetap akan mencari masa terluang untuk mengadakan majlis resepsi dijangka diadakan pada Mei nanti.

Azlan pula tidak berselindung perasaan gementar ketika berdepan situasi disatukan sebagai suami kepada Azza yang mempunyai ramai peminat. Kata jejaka berasal dari Sungai Petani, Kedah ini, dia gembira sebaik majlis akad nikah selesai. Ketika diijab kabul, dia mengakui merasai perasaan tanggungjawab sebagai suami.

“Saya menyukai karakter diri Azza yang penyayang. Malah, saya menganggap anaknya seperti anak saya juga dan ini membuatkan semangat saya kuat untuk hidup berumahtangga.

“Seperti Azza, jadual kerja saya juga tidak menentu. Mungkin saya dapat meluangkan masa bersamanya ketika cuti,” katanya yang berpeluang mendapat cuti seminggu.

Pada majlis akad nikah, Azza menerima barang hantaran antaranya beg tangan, pewangi Gucci dan barangan kemas Habib manakala barangan untuk Azlan berupa pewangi dan tali pinggang.

Seperti mana pasangan suami isteri lain, Azza bersama Azlan berhasrat berbulan madu selepas mendirikan rumah tangga. Namun, mereka masih membuat perancangan mengenai destinasi pilihan. Dalam pada itu, pasangan bahagia ini juga menyimpan impian menimang cahaya mata jika dimurahkan rezeki.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters