KLANG: Seorang wanita bukan saja mendera anak teman lelakinya berusia 13 tahun dengan memukulnya dengan getah paip dan memberinya makan nasi berlaukkan garam, malah menyumbat batang mop dan cili padi ke dalam kemaluannya kerana enggan melakukan kerja rumah.
Lebih teruk lagi, wanita itu menyimbah mangsa dengan air panas sehingga menyebabkannya melecur kerana mengesyaki kanak-kanak itu berbohong.
Perbuatan kejamnya mendapat balasan apabila Mahkamah Sesyen di sini, semalam menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun selepas mengaku salah atas lima pertuduhan termasuk mencederakan dan memasukkan objek ke dalam kemaluan mangsa.
Hakim Siti Noraida Sulaiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Shalina Sundiri Abdullah, 42, dan memerintahkan ia berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 7 Mei 2011.
Manakala, bapa kanak-kanak itu yang juga pemandu lori berusia 40 tahun dipenjara empat tahun selepas mengaku salah menganiaya anaknya dengan cara memukul mangsa dengan menggunakan kayu di pangsapuri sama.
Mengikut pertuduhan, Shalina didakwa memasukkan cili padi dan batang mop ke dalam kemaluan mangsa di sebuah pangsapuri di sini, pada Mac 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 377 CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Wanita itu didakwa atas dua pertuduhan mencederakan kanak-kanak itu dengan memukul mangsa dengan menggunakan getah paip dan kayu, di tempat sama pada 25 Mac 2010 dan sekitar Mac 2011.
Dia didakwa mengikut 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana daripada dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan mencederakan kanak-kanak itu menyimbah air panas ke tubuh mangsa, di tempat sama pada April 2011.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.
Manakala, bapa kanak-kanak itu didakwa menganiaya anaknya dengan memukul mangsa dengan kayu di rumah mereka, antara 25 Disember 2010 dan 30 April 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Maisarah Kamal, manakala pasangan kekasih itu diwakili peguam Gerard Lazarus.
Berdasarkan fakta kes, kanak-kanak terbabit didera Shalina ketika tinggal di rumah bapanya, pada cuti sekolah akhir tahun 2010.
Shalina memerintahkan anak teman lelakinya itu membuat kerja rumah dan tidak membenarkannya ke sekolah selepas sesi persekolahan tahun berikut bermula.
Mangsa dipukul dengan getah paip dan kayu besar apabila kanak-kanak itu tidak melakukan apa yang disuruhnya.
Pada satu ketika, Shalina memasukkan batang mop ke dalam kemaluan kanak-kanak itu, ketika tangannya diikat di balkoni pangsapuri, kononnya sebagai hukuman kerana mangsa keluar dari rumah.
Tidak cukup dengan itu, wanita itu memasukkan cili padi ke dalam kemaluan anak kecil itu menyebabkan mangsa menjerit kepedihan.
No comments:
Post a Comment