Jom Buat Duit

Saturday 14 April 2012

Mania, persaingan profesional dan wang

CHAQ (dua dari kiri) menjadi peserta pertama yang meninggalkan pentas Mania.


PROGRAM realiti terbaharu terbitan Astro, Mania telah memulakan 'pertempuran' pada minggu lalu.
Tiga orang komposer yang bukan calang-calang, Datuk M.Nasir, Aubrey Suwito serta Ahmad Dhani dari Indonesia telah memilih bala tentera masing-masing untuk bertempur saban minggu.
Atilia, Akim, Hafiz, Estranged dan Aril duduk di bawah empayar Ahmad Dhani. Aubrey Suwito pula memilih Jaclyn Victor, Alyah, Awi Rafael dan Adira sementara M.Nasir bersama Hazama, Ebi, Stacy, Kristal dan Shila Amzah.

Secara kasar, Mania adalah sebuah lagi program realiti yang jika dilihat daripada konteks bisnes, ia bakal memberi keuntungan yang besar kepada pihak Astro.
Ini kerana, kebanyakan peserta yang bertanding merupakan bintang yang lahir daripada program realiti televisyen. Maka secara automatik, mereka telah mempunyai kelompok fanatik tersendiri yang tidak kisah untuk menabur duit mengundi artis pujaan mereka sehingga mampu menjadi juara.
Dalam masa yang sama, rating program tersebut juga akan konsisten kerana secara kebetulan peserta yang bertanding juga lahir daripada stesen televisyen ini.

Sementara daripada segi persaingan, harus diakui ia adalah satu ‘permainan’ yang mantap. Malah ia juga memberi tekanan kepada kedua-dua belah pihak iaitu artis dan komposer itu sendiri.
Memang benar, pengundi yang menjadi penentu siapa yang akan bertanding pada minggu-minggu akan datang dan siapa yang akan terkeluar, namun daripada segi profesional, ia sedikit sebanyak akan mencalar reputasi penyanyi yang sudah ada nama itu sendiri serta komposer yang memang sudah diakui magis mereka jika mereka tewas pada awal pusingan.

Mujur, pada minggu pertama, artis sulung yang disingkirkan ialah Chaq. Bukan mahu menidakkan potensi Chaq, tetapi secara realistik, dia memang tidak mempunyai kelab peminat yang sudi menabur duit mengundi.
Pada masa yang sama, walaupun dia telah berusaha keras memberi persembahan terbaik dan gurunya Aubrey Suwito sendiri mengakui Chaq ada potensi, tetapi ia masih belum mampu bersaing dengan persembahan daripada rakan-rakan lain.

Bercakap mengenai persembahan artis pada minggu pertama, boleh dilihat semuanya cuba memberi persembahan yang baik untuk menjaga reputasi masing-masing. Artis yang dilihat telah memberi saingan pada minggu pertama, termasuklah Akim yang kelihatan begitu bersahaja, yakin dan mengeluarkan potensi diri mengikut tunjuk ajar gurunya.

Kristal pula memberi sebuah persembahan ‘rock kapak’ yang begitu konsisten menerusi lagu Pawana sementara Jaclyn Victor berusaha memikat hati peminat dengan persembahan pentas yang rileks dan Stacy membuktikan bukan sahaja kepada gurunya, M.Nasir yang memaksa dia mempersembahkan lagu Toxic, malah kepada umum bahawa dia mempunyai bakat yang bukan sedikit.
Sementara bagi peserta lain, bukan mereka tidak memberi saingan. Lihat sahaja Awi Rafeal yang sentiasa bersemangat untuk memberi kelainan atau Atilia yang kelihatan cukup dewasa dan profesional dalam percaturan seperti ini, semuanya mempunyai strategi tersendiri untuk bertahan.

Semoga sehingga menuju ke final, pengundi bersikap rasional dalam memilih pemenang. Jika peminat tidak rasional, artis yang bertanding itu sendiri perlu mempunyai kesedaran dan mengutip sebanyak mungkin ilmu secara percuma untuk mempertingkatkan kredibiliti apabila dapat menimba ilmu daripada tiga komposer yang sebenarnya mempunyai tanggungjawab lebih besar daripada artis yang bertanding itu sendiri.
Malah jika boleh dikatakan, Mania sebenarnya bukan medan untuk artis sahaja bertempur, tetapi adalah
platform untuk tiga orang komposer menebarkan magis mereka serta mencungkil potensi dan menguji anak-anak buah mereka untuk keluar daripada zon selesa dengan pelbagai percubaan baharu yang diberi pada setiap minggu.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters