Jom Buat Duit

Tuesday, 13 March 2012

Tak lupa asal usul - STEPHEN Rahman Hughes



STEPHEN Rahman Hughes, nama yang cukup gah di pentas teater tempatan sejak memegang peranan sebagai Hang Tuah dalam teater Puteri Gunung Ledang.
Sejak itu profil dirinya dibina dengan cukup cemerlang apabila dia membawakan watak Merong dalam filem yang menelan belanja sehingga RM8 juta, iaitu Hikayat Merong Mahawangsa.

Tidak berhenti di situ, Stephen berjaya menambah peminatnya apabila terlibat dalam drama muzikal popular Kitchen Musical yang ditayangkan di beberapa buah negara sekitar Asia.

Sungguhpun begitu, kebanyakan karya yang melibatkan dirinya dihasilkan dalam bahasa Inggeris.
Kurang berdialog dalam bahasa Melayu dan jarang sekali terlibat dalam naskhah yang memerlukan Stephen bertutur dalam bahasa itu, apa yang membuatkan Stephen muncul dalam sebuah album penuh bahasa Melayu.
Padahal, ketika rakaman album sulung yang diambil judul daripada namanya itu, Stephen mengakui menghadapi kesukaran untuk memahami erti setiap bait lirik yang dinyanyikan.
Adakah album itu dibikin semata-mata kerana dia mempunyai peminat yang ramai di Malaysia sekali gus mampu mengaut keuntungan?

Jawab Stephen yang ditemui pada majlis pelancaran albumnya di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini: “Sebenarnya saya tidak sangka saya akan membina karier di Malaysia dan mempunyai peminat di sini, semua bermula atas peluang yang diberikan oleh Datin Seri Tiara Jacquelina menerusi teater Puteri Gunung Ledang.
“Apabila meluaskan kerjaya di sini, ramai peminat bertanya bila saya mahu merakamkan lagu dalam bahasa Melayu?

“Jadi, album ini dibikin sebagai penghargaan dan tanda terima kasih saya kepada peminat di sini yang tidak henti memberikan sokongan, selain itu darah Melayu yang mengalir dalam diri membuatkan saya ingin merakamkan album dalam bahasa Melayu.”
Tambah Stephen, meskipun memiliki darah Melayu sebelah ibunya yang berasal dari Johor, namun kerana dia membesar di England, identiti Melayunya sedikit kabur.

BARU muncul dengan album bahasa Melayu, Stephen berhasrat untuk menghasilkan album Inggeris pada masa depan.


“Saya dibesarkan di England dan saya tidak tahu bagaimana keadaannya di Malaysia sehingga saya menjejakkan kaki di sini untuk membina kerjaya.
“Disebabkan kerja dan album ini, saya mula memahami budaya Melayu dengan lebih mendalam dan identiti Melayu saya mula terserlah. “Saya menyanyi berpandukan kamus untuk memahami lirik lagu pada mulanya tetapi sekarang atas tunjuk ajar teman-teman, penguasaan bahasa Melayu saya sudah semakin baik.
“Jika dahulu saya tidak memahami langsung sepatah ayat yang ditutur dalam bahasa Melayu tetapi sekarang saya boleh memahaminya dan boleh bertutur meskipun masih ada kekurangan,” jawabnya.

Berbangga memiliki darah separuh Melayu yang mengalir dalam tubuhnya, kata Stephen, setiap kali berada di Malaysia, secara automatik lidahnya boleh bertutur dalam bahasa Melayu.
“Saya sayang dan cukup senang berada di Malaysia. kerana saya tahu negara ini sebahagian daripada diri saya. Setiap kali berada di sini, pertuturan saya bertukar secara automatik.
“Ada teman saya yang terkejut apabila saya bertutur dalam bahasa pasar bukannya bahasa baku yang dipelajari menerusi kamus. Walaupun sudah boleh memahami bahasa Melayu, saya masih dalam proses belajar untuk menjadi lebih baik,” ujarnya merendah diri.

Sememangnya, Stephen mempunyai darah Melayu, tetapi adakah Stephen hanya mempelajari bahasa Melayu disebabkan tuntutan kerjayanya di Malaysia?
“Saya akui pada mulanya kerana tuntutan kerjaya tetapi lama kelamaan, perasaan ingin tahu dan belajar datang daripada diri sendiri. Mengenali ramai saudara saya di Malaysia sepanjang hampir lima tahun aktif di Malaysia menyedarkan saya bahawa budaya dan bahasa Melayu itu cukup indah dan sangat tinggi nilai,” luahnya lagi.

Album Inggeris
Tidak hanya album bahasa Melayu, menurut aktor yang pernah memegang watak Hang Tuah itu, dia juga menyimpan hasrat untuk merakamkan album dalam bahasa Inggeris pada masa depan.
Stephen berkata, hasrat itu timbul apabila mendapati dia mempunyai ramai pengikut daripada negara seperti Singapura, Indonesia dan Filipina selepas drama muzikal lakonannya The Kitchen Musical popular di negara berkenaan.
STEPHEN mula mengumpul peminat tempatan selepas kemunculan sulungnya menerusi teater Puteri Gunung Ledang.
 
“Saya terkejut semasa lawatan saya ke Indonesia dan Filipina baru-baru ini ramai yang mengenali saya dan menjerit nama saya. Jadi, saya fikir ini adalah peluang terbaik untuk mengembangkan kerjaya di Asia dengan menghasilkan sebuah album berbahasa Inggeris,” beritahunya.
Sambungnya lagi, untuk album tersebut dia ingin merakamkan beberapa buah lagu lama yang popular dengan penduduk Asia termasuk lagu baharu.
Bagaimanapun ujar Stephen, ia masih dalam peringkat perancangan dan perbincangan dengan syarikat rakamannya di Malaysia iaitu Sony Music Malaysia.

“Sebelum ini ramai yang bertanyakan bila saya ingin merakamkan album Melayu dan setelah impian itu terlaksana ramai pula mahu saya menghasilkan album berbahasa Inggeris. Dengan populariti yang ada menerusi The Kitchen Musical saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk berbuat demikian.
“Bagaimanapun masih banyak perkara perlu diberi pertimbangan dan setakat ini ia sekadar idea dan masih terlalu awal untuk memperkatakan tentangnya,” tuturnya yang ingin memberi tumpuan pada album sulungnya ini terlebih dahulu.

Hollywood
Demi tuntutan kerjaya, Stephen yang menetap di London bersama isterinya Anjali Mehra sentiasa berulang-alik antara Malaysia dan London. Dia hanya akan berada di Malaysia jika mempunyai projek sahaja.
Selepas ini, Stephen akan pulang ke London dan akan kembali semula ke Malaysia pada April depan untuk menyambung semula promosi albumnya ini.
Kata Stephen, dia dalam perancangan mahu mengadakan persembahan istimewa untuk peminatnya nanti.

Selain London dan Malaysia khabarnya, Stephen juga akan melebarkan sayap seninya ke Hollywood dan akan terlibat dalam sebuah projek di sana.
“Ya, saya memang akan meluaskan kerjaya ke Amerika dalam masa terdekat dan perancangan untuk ke sana sudah berjalan.

Buat masa ini masih terlalu awal untuk saya ceritakan perkembangan saya di Amerika kerana saya baru sahaja hendak membina tapak di sana.
“Saya sudah ada agensi yang akan menguruskan kerjaya di sana dan untuk peringkat permulaan mereka akan membina profil saya terlebih dahulu supaya dikenali oleh pihak penerbitan,” balasnya yang berkahwin pada September 2010 di Itali.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters