Nabila Dally
SERASI dengan nama Nabila Dally sebelum ini, pelakon berbakat besar yang dicungkil menerusi program realiti TV bercorak lakonan, Pilih Kasih musim pertama, akhirnya mengambil keputusan untuk menukar namanya sebagai Bella Dally.
Akuinya, tiada apa yang kurang atau jelik dengan nama sebenarnya itu, cuma keputusan menggunakan Bella Dally sebagai nama komersial bertujuan mengelak kekeliruan.
“Terlalu ramai bernama Nabila di kalangan selebriti kita. Contohnya, kita ada Nabila Huda dan Ika Nabila. Jadi tidak salah rasanya saya menggunakan nama Bella Dally untuk mengelak kekeliruan.
“Lagipun Bella adalah nama timangan saya di rumah, juga panggilan di kalangan rakan terdekat. Bella dan Nabila bunyinya tidak jauh berbeza,” kata gadis yang akan menginjak usia 21 tahun pada September depan.
Ketika ditanya adakah bintang baru yang cantik ini menukar nama kerana nama itu membawa nasib yang tidak baik atau disebabkan merajuk dengan bekas pengetua Pilih Kasih iaitu aktor Rosyam Nor, dia menafikan hal itu.
“Tiada kaitan dengan semua itu. Seperti yang saya katakan, ia disebabkan ada ramai artis bernama Nabila. Ia tidak ada kena-mengena dengan isu apapun, cuma saya sekadar mahu dikenali sebagai Bella kerana ia lebih unik,” katanya.
Keputusan menukar nama pernah dilakukan pelakon Shahrizal Jaszle yang sebelum ini dikenali sebagai Shah Jaszle, begitu juga Bob AF yang ingin digelar sebagai Bob Yusof.
Bagaimanapun, masing-masing mempunyai alasan yang berbeza seperti Shahrizal misalnya menganggap nama Shah Jaszle itu ‘panas’ dan tidak serasi dengannya.
Menyorot dunia lakonan, gadis kelahiran Sabah itu ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Friday I’m In Love arahan Ahmad Faizal Abdul Rashid.
Ia bakal disiarkan menerusi TV9 tidak lama lagi.
Antara lakonan Bella yang diingati penonton tentunya drama Qalesya yang disiarkan menerusi Astro dan terbaru, Vanilla Coklat yang bersiaran di Slot Lestary TV3 iaitu Bella beraksi di samping Izara Aisya.
Sekian lama terikat dengan watak klise iaitu peranan hitam, kali ini menerusi Friday I’m In Love yang diterajui Qushari atau Qi, Bella diberi kepercayaan membawakan watak gadis baik bernama Ana.
“Selalu sangat dapat watak jahat tapi untuk drama ini, saya akhirnya dapat watak baik. Mula-mula memasuki industri hiburan saya memang selalu tertanya-tanya kenapa selalu dapat watak jahat.
“Karakter itu bukan saja susah untuk dijiwai, malah saya sendiri berasa kurang selesa kerana diri saya sama sekali tidak begitu. Saya bimbang ekoran terlalu kerap membawa watak jahat, orang sangkakan perwatakan sebenar saya di luar sama seperti dalam lakonan.
“Tapi lama-kelamaan, saya jadi suka pula kerana apabila membawakan watak baik, intonasi dan pergerakan terbatas. Sebaliknya, untuk watak antagonis, seseorang pelakon bebas melakukan pergerakannya melainkan watak itu jahat dalam diam.
“Jadi selepas menilai dan melalui pengalaman kedua-duanya, saya akui melakonkan watak jahat lebih memberi kepuasan. Perwatakan jahat juga boleh dikawal iaitu membuatkan orang tetap suka pada kita meskipun watak itu sangat jahat atau kejam. Tetapi terpulang pada cara kita menzahirkan peranan sebegitu,” katanya.
Tiga tahun menyusuri kehidupan anak seni, jika dibandingkan dari segi populariti artis seangkatannya seperti Neelofa dan Izara Aishah, Bella masih belum menyerlah walaupun kemunculan dua pelakon jelita itu yang tidak memperoleh ruang publisiti yang luas seperti diperolehnya menerusi Pilih Kasih.
Pun begitu, Bella tidak pernah berasa cemburu dengan kejayaan orang lain.
“Ada orang berjaya dalam masa yang singkat, ada orang dengan cara sebaliknya.
Yang pasti, saya tidak pernah rasa cemburu. Saya tidak menafikan mereka berdua lebih ‘hot’. Mereka adalah bakat kelahiran Dewi Remaja yang kita tahu melahirkan ramai bintang terkenal di persada hiburan.
“Saya berharap satu hari nanti saya juga mampu menyerlah seperti mereka,” katanya.
Akui Bella, kontroversi salah satu cara untuk dikenali, namun dalam perjalanan seninya, dia enggan dicemari gosip yang boleh mencalarkan maruah diri dan keluarga.
“Seawal kemunculan dulu, saya pernah terpalit dengan gosip yang kurang enak.
Saya dituduh gemar bertukar lelaki dan ke kelab malam. Saya menjadikan gosip ini sebagai pengajaran.
“Kalau boleh, saya mahu diterima kerana bakat, bukan dikenali kerana saya ini orangnya penuh kontroversi.
“Orang tua saya juga selalu pesan, mereka izinkan saya berlakon tetapi minta saya jaga nama baik keluarga. Saya harap saya tidak menghampakan mereka,” katanya.
Bakal muncul dengan siri Inspirasi Varasiti dan filem Gila Gila Remaja 2 tahun ini, Bella mengakui belum puas untuk mengasah bakatnya dan kerana itulah dia tidak bersedia untuk menerima sebarang tawaran mengacara atau menyanyi.
“Saya mahu fokus dalam bidang lakonan dulu dan memperbaikinya. Benar saya suka juga mengacara dan menyanyi tetapi lakonan adalah minat utama saya,” katanya.
Trivia BELLA DALLY
No comments:
Post a Comment