REKOD Dunia Guinness yang dipecahkan oleh Michael Hebranko pada tahun 1988 kerana dapat mengurangkan berat badan daripada 411 kilogram (kg) kepada 88kg dalam tempoh 19 hari mungkin sia-sia sahaja.
Ini kerana baru-baru ini doktor memberitahu bahawa dia tidak mungkin boleh hidup lebih lama kerana tidak menjaga pemakanan. Beratnya kini 253kg iaitu separuh daripada berat tertinggi yang dicatat Michael, 508kg.
Jelas doktor, lelaki berusia 58 tahun itu perlu mengurangkan semula berat badan sekurang-kurangnya sebanyak 64kg dengan segera untuk dia terus hidup.
Jika tidak, usianya tidak mungkin boleh mencapai angka 60 memandangkan dia mengalami masalah jantung, fungsi hati dan buah pinggang.
Dia kini hanya mampu berbaring di atas katil di rumahnya. Dia tidak lagi mampu berjalan apatah lagi melakukan pekerjaan.
"Saya tahu makanan bakal membunuh saya. Saya seorang penagih makanan seperti juga mereka yang menagih alkohol dan dadah.
"Saya pernah diberitahu bahawa jika saya terus makan, ini bermakna hayat saya tidak mungkin mencapai usia 60 tahun.
"Tarikh itu bakal tiba dua tahun lagi. Doktor percaya saya tidak akan mencapai usia itu jika terus begini," kata Michael yang mengalami obesiti teruk.
Ketidakupayaan Michael untuk mengawal kegelojohan makannya merupakan masalah utama yang memaksa dia menghabiskan hidangan yang mengandungi sehingga 13,260 kalori sehari.
Bernafas
Sekarang Michael ada masalah untuk bernafas pula. Topeng oksigen sentiasa ada di sisinya sebagai langkah berjaga-jaga.
Isterinya yang juga penghidap kanser terpaksa bekerja 12 jam sehari untuk menampung kehidupan mereka. Pada waktu petang, wanita kental itu akan pulang ke rumah seketika untuk memantau keadaan suaminya.
"Dia pernah menurunkan berat badannya sebelum ini. Jadi saya percaya dia boleh melakukannya lagi," kata Madeleine yang mempunyai berat badan 101kg.
Sebelum terlantar, Michael boleh menghabiskan empat set sandwic bebola daging atau ayam belanda untuk makan tengah hari.
Seterusnya dia mencuri-curi makan enam biji burger ayam dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
"Sampai di rumah saya akan masak sendiri sebuku besar daging untuk dimakan. Isteri saya sudah beribu kali menyuruh saya berhenti makan," cerita Michael.
Sebelum memecahkan rekod Guinness itu, Michael pernah terfikir untuk membunuh diri disebabkan masalah tersebut tetapi tidak mampu melakukannya.
Michael mencari seorang jurulatih kecergasan pada tahun 1988, Richard Simmons. Richard merupakan orang yang bertanggungjawab melatih Michael untuk makan dengan betul.
Dalam program itu, dia komited dengan pengambilan hanya 1,200 kalori sehari iaitu diet hidangan sayuran dan protein.
Michael menyingkirkan kira-kira 419kg untuk melayakkan dia memegang rekod penyingkiran berat badan paling banyak dalam Buku Rekod Dunia Guinness. Dalam rekod itu, berat badan terakhir Michael adalah 88kg.
Tetapi penurunan mendadak berat badannya itu hanya dinikmati seketika. Dia kembali berdepan dengan masalah kesihatan.
|
|
Tidak terkawal
Berat badannya kembali naik dalam tempoh enam tahun kemudian. Pada suatu ketika dia terpaksa dihantar ke hospital melalui udara kerana terlalu berat untuk diangkat.
Sejak tahun 1998 dia tidak boleh lagi menurunkan berat badannya di bawah 158kg seperti ketika dia 'kurus' dahulu.
Kini doktor memberitahu Michael bahawa dia mesti mengurangkan berat sekurang-kurangnya 63kg lagi bagi menambah peluangnya untuk terus hidup.
"Jika saya mampu melihat cucu-cucu saya membesar, ia memberi makna yang besar buat saya.
"Saya mahu setiap orang tahu bahawa obesiti adalah satu malapetaka," katanya dalam nada sugul.
Sementara itu, Doktor Kesihatan Pekerja, Hospital Pusrawi, Dr. Rosli Rahim berkata, pemakanan yang tidak terkawal dan gaya hidup tidak sihat perlu diubah segera bagi mengelak masalah kegemukan.
"Kesibukan bekerja dan tiada masa untuk melakukan senaman di samping mengambil makanan yang pelbagai tanpa mengira jumlah kalorinya merupakan punca obesiti.
"Tubuh kita memerlukan makanan yang seimbang termasuk mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran." ujarnya.
Menurutnya lagi, jika peningkatan jumlah penghidap obesiti dalam kalangan rakyat semakin meningkat, ia akan memberi kesan buruk kepada individu dan negara.
"Kesan jangka panjang masalah obesiti termasuklah penyakit jantung dan saluran darah tersumbat.
"Tenaga kerja untuk sesebuah negara juga akan berkurangan kerana ramai rakyat yang sakit akibat kegemukan," katanya
No comments:
Post a Comment