Jom Buat Duit

Sunday 5 February 2012

Shima Anuar Takut wajah sendiri



MULANYA keluarga tidak menggalakkan gadis manis ini menceburi bidang lakonan apatah lagi dia masih muda dan tidak melihat masa depan anak mereka sebagai pelakon.
Keluarga mana yang tidak risau apabila anak yang ditatang bagai minyak yang penuh bakal berdepan pancaroba sebagai anak seni yang sering terpalit gosip liar. Mereka bimbang anak yang dikasihi terjerumus dengan masalah sosial.

Bagaimanapun, Noor Hashima Anuar atau Shima Anuar, 21, berjaya meyakinkan ibu bapanya hingga mendapat kepercayaan penuh selepas membuktikan dia mampu menjadi pelakon dengan masa depan cerah.
Anak keempat daripada enam beradik ini mengakui keluarga kurang menggalakkan kerana risau dia tidak kuat menghadapi dugaan sebagai anak seni. Mereka melihat tidak semua pelakon mempunyai masa depan yang cerah.

“Tetapi saya teruskan juga keinginan itu dan akhirnya apabila mereka melihat lakonan saya dalam Sumpahan Kum Kum memegang watak utama, mereka mula memberi kepercayaan.

“Sekarang ini, saya sudah membuktikan pada mereka kemampuan untuk mengharungi pancaroba bergelar anak seni. Selepas Sumpahan Kum Kum, saya juga mendapat watak penting dalam 7 Petala Cinta. Apa pun, mereka masih lagi sering mengingatkan saya agar menjaga nama baik keluarga,” katanya.
 
Dalam Sumpahan Kum Kum yang kini ditayangkan di pawagam sejak 26 Januari lalu, menjadi taruhan besar untuknya mengukir nama. Dalam filem arahan Ismail Bob Hasim itu, Shima berganding dengan Fezrul Khan, Putri Mardiana serta si cilik Farisya Fatin Faizal.

Shima diberi watak utama sebagai Mila dalam filem itu selepas membuktikan bakatnya sebagai pelakon pembantu dalam drama bersiri Klik, Bini-Biniku Gangster dan Flat. Watak itu disifatkannya sangat sukar. Walaupun tidak mempunyai dialog yang banyak, ekspresi wajah yang ditunjukkan sudah cukup untuk menceritakan penderitaan yang dialaminya serta keinginannya untuk membalas dendam.
Kata Shima, dia banyak menonton filem hantu dan membaca sendiri cerita mengenai latar belakang kisah Kum Kum sebelum memulakan penggambaran filem itu. “Tidak banyak dialog saya tetapi ekspresi wajah sudah cukup menceritakan penderitaan yang dialami Mila sebelum mati dibunuh. Sama ada wajah cantik sekalipun, ketika disolek menjadi hodoh, ia sangat menggerunkan,” katanya Mengakui seorang yang penakut, Shima sendiri seram dengan wajahnya yang bertukar menjadi hodoh ketika melanggar pantang dengan melihat cermin sebelum 44 hari berlalu. Babak yang memerlukan dia berdiri di tanah perkuburan lama, turut membuatnya kecut tetapi mengikut nasihat ibunya, Shima menyedekahkan al-Fatihah buat arwah.

Kata Shima, dia juga banyak bertanya kepada pelakon senior yang turut membintangi filem itu seperti Kaza, Lydiawati, Maimon Mutalib dan Abdul Razak Ahmad, meminta nasihat dan tips untuk menjiwai apa jua watak yang diberikan agar ia nampak ‘natural’ dan tidak dibuat-buat.

“Saya menonton cerita hantu lain seperti Jangan Pandang Belakang dan Santau untuk menjiwai watak dalam filem seram ini. Saya juga ada mendengar cerita mengenai hantu kum kum ketika kanak-kanak dulu dan saya cuba mencarinya di dalam Internet.

“Kak Nana (Putri Mardiana) pernah berlakon dalam filem seram dan dia membantu saya bagaimana untuk menjiwai watak Mila. Kak Lela pula (Lydiawati) memberikan tips untuk menghasilkan airmata dengan emosi agar kesedihan itu dapat dirasai penonton,” katanya.

Di sebalik wajah lembut milik siswazah Seni Lakon Universiti Teknologi Mara di Puncak Perdana, Shah Alam, ini, dia sebenarnya seorang yang peramah dan suka bergurau. Shima kini sibuk dengan penggambaran siri Cinta Buat Emelda untuk siaran TV3 menerusi slot Akasia bermula bulan depan. Gadis daripada Rawang, Selangor, ini turut menantikan filem keduanya, 7 Petala Cinta yang akan ditayangkan di pawagam pada 17 Mac ini. Kali ini Shima berganding dengan Fizo Omar, Aeril Zafril dan Diana Amir.

Dalam filem itu, Shima menggambarkan wataknya sebagai Saidatul Nafisah lebih mencabar kerana langsung tidak sama dengan dirinya yang sebenar. Akuinya, bukan satu tugas mudah apabila dia harus menunjukkan emosi sama ada marah, suka atau ketawa melalui matanya apabila memakai tudung labuh, berstokin, sarung tangan, jubah dan purdah dalam filem itu.

“Saya juga memakai kemeja T dan jeans di dalam ketika penggambaran dilakukan dalam keadaan cuaca sangat terik menyebabkan saya pengsan.
“Mungkin kerana saya tidak biasa dengan pemakaian seperti itu menyebabkan kejadian itu berlaku. Sepanjang penggambaran, walaupun tidak mempunyai babak saya membiasakan diri dengan pakaian itu agar tidak kekok,” katanya.

Mengakui tidak selamanya dalam bidang lakonan, Shima berkemungkinan besar akan menyambung pelajaran dalam bidang perundangan pada tahun depan.

Bagaimanapun, dia tidak menetapkan sampai bila akan terus menjadi pelakon.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters