Jom Buat Duit

Wednesday 23 January 2013

Beego, Linda kahwin 8 Jun


BEEGO dan Linda dijadualkan bakal menjalani kehidupan sebagai suami isteri menjelang bulan Jun tahun ini.

WALAUPUN pernah dikecewakan dengan isu rumah tangga yang hanya mampu bertahan selama empat bulan dan menduda sejak tahun 2009, Beego atau nama sebenarnya Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, 33, tidak pernah berputus asa untuk mencari kebahagiaan bersama insan yang lain.
Dia yang sebelum ini berkahwin dengan Intan Shahira Mohd. Shahru pada 28 Disember 2007, mengakui akan melangsungkan perkahwinan kali keduanya pada pertengahan tahun ini bersama pelakon terkenal, Linda Hashim.

Pelakon yang meraih populariti menerusi sitkom Puteri, arahan Aziz M. Osman itu, telah merisik dan sekali gus mengikat tali pertunangannya bersama Linda,29, pada Oktober tahun lalu.
Beego yang sebelum ini telah membelanjakan keseluruhan kira-kira RM157,000 bagi persiapan perkahwinan terdahulu sempat memberitahu Kosmo! mengenai persiapan pernikahan keduanya itu pada majlis kesyukuran dan berzanji sempena Maulud Nabi yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu, Klang, Selangor yang dianjurkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman).
Ikuti temu bual bersama Beego yang buat pertama kali mendedahkan tentang tarikh sebenar pernikahannya dengan Linda.

Kosmo!: Benarkah khabarnya Beego akan berkahwin dengan Linda pada tahun ini?
BEEGO: Ya, saya dan keluarga telah merisik Linda pada Oktober tahun lalu dan majlis itu yang meraikan pertunangan saya dan dia diadakan secara mengejut. Ia akan diakhiri di jinjang pelamin tidak lama lagi. Insya-Allah kami akan berkahwin pada 8 Jun tahun ini.

Beego kata pertunangan itu dilakukan secara mengejut, boleh jelaskan dengan lebih lanjut?
Saya dan keluarga sebenarnya datang hanya untuk merisik Linda. Bagaimanapun, apabila semua ahli keluarga berkumpul dan kegembiraan itu memuncak, kedua-dua belah pihak secara tidak langsung meminta kami mengikat tali pertunangan pada masa yang sama. Mujur, saya ada membawa sebentuk cincin berbatu permata selain daripada cincin belah rotan sebagai tanda merisik.

Melihat kepada kegembiraan itu, jadi keluarga Linda boleh menerima dengan hati terbuka kisah hidup Beego yang turun dan naik mahkamah?
Alhamdulillah, saya telah menerangkan segalanya kepada keluarga Linda tanpa ada berselindung apa-apa dan mereka boleh menerima saya dengan seadanya. Hanya saya dan teman-teman rapat sahaja yang tahu perkara sebenar. Mereka yang membaca dalam media cetak itu hanya mengenali dan mengetahui kisah hidup saya secara kasar.

Berbalik kepada soal perkahwinan, sudahkah Beego menyediakan barang kelengkapan perkahwinan dan membuat perancangan untuk upacara itu nanti?
Saya sudah membeli barang-barang hantaran seperti kasut, beg tangan dan pewangi. Bagi perancangan upacara perkahwinan kami nanti, majilis akan diuruskan oleh kakak sulung Linda sendiri, Erin yang memiliki butik andaman Erin & Erinas Wedding.

Jadi Beego cuma menguruskan barang-barang hantaran sahaja?
Tidak juga, untuk tempat dan konsep, kami dan Erin akan sama-sama berbincang bagi mendapatkan penyelesaian yang terbaik. Bukan apa, kakak Linda ingin yang terbaik untuk adiknya, jadi kami dengan berbesar hati mengalu-alukan keikhlasan Erin untuk membantu kami.

Di manakah lokasi persandingan itu nanti?
Insya-Allah, kami akan mengadakan persandingan di Finas, Kuala Lumpur dengan kerjasama Seniman dan juga Finas sendiri.

Kenapakah Beego memilih Finas dan tidak di hotel mewah seperti kebanyakan artis yang lain?
Saya rasa semua rakan artis dan media sudah biasa dan mengenali tempat ini, jadi lebih mudah jika saya membuat majlis perkahwinan itu nanti di Finas sahaja.

Apakah konsep perkahwinan Beego dan Linda nanti?
Ia berkonsep dalam taman.

Bagaimanakah pula dengan kad jemputan dan senarai tetamu yang akan diundang?
Kami baru sahaja ingin menempah kad jemputan. Bagi senarai tetamu yang akan dijemput, sudah tentulah keluarga dan sahabat handai, rakan-rakan artis dan para media.

Adakah Beego akan menjemput bekas isteri nanti?
Saya tidak mahu membawa sejarah hitam kehidupan yang lepas ke masa hadapan saya. Jadi, saya rasa cuma orang yang memberi kebahagiaan dan kebaikan buat diri saya sahaja yang akan saya undang ke majlis perkahwinan saya itu nanti.
KOSMO

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters