Jom Buat Duit

Saturday 5 January 2013

Siapa bakal jadi juara dalam AJL esok

DUA belas lagu yang bertanding pada Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) di Stadium Putra, Bukit Jalil malam esok memiliki kekuatan dan kelebihan tersendiri. Malah semuanya dikatakan berpeluang untuk menang. Namun segala-galanya bergantung pada penilaian pihak juri dan rezeki masing-masing.

Justeru, lagu manakah yang bakal diangkat sebagai Lagu Terbaik AJL27? Semuanya bakal terjawab pada malam kemuncak anugerah yang bermula jam 9 malam.

Daripada 12 lagu yang bertanding, tiga daripadanya disebut-sebut akan mengungguli Lagu Terbaik iaitu Terukir Di Bintang (Yuna), Patah Seribu (Shila Amzah) dan Ku Akui (Hafiz).

Lagu lain yang turut memberi saingan sengit adalah Ombak Rindu (Hafiz & Adira), Idola (Lan & The Typewriter), Teman Pengganti (Black & RJ) dan pendatang baru, Amir Jahari dengan lagu Tanpamu. lagu Anak Kampung dendangan penyanyi popular dari Sabah, Jimmy Palikat bersama kumpulan One Nation Emcees pula diramal–kan akan menyaingi kategori Persembahan Terbaik yang akan dinilai menerusi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

Karya lain yang turut melangkah ke peringkat akhir AJL27 ialah Pelangi Senja (Stacy), Andai Ku Bercinta Lagi (Mojo), Lagu (Bedroom Santuary) dan Simetri (Hazama & Amy Search).

Mungkinkah Juara Akademi Fantasia, Hafiz yang baru saja diangkat sebagai Artis Lelaki Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM 2012) bakal mengulangi kejayaannya tahun lalu dengan merangkul trofi Juara Lagu dan Vokal Terbaik?

Paling mencuri tumpuan pada tahun ini pastinya persembahan Shila Amzah yang sudah memenangi pelbagai anugerah iaitu Lagu Terbaik dalam Anugerah Industri Muzik 19; Power Vocal Award (Shout! Awards 2012) dan Artis Wanita Terbaik (APM 2012).

Shila yang baru kembali dari Shanghai ketika dihubungi berkata, dia sangat bersyukur kerana lagu Patah Seribu berjaya melangkah ke final.

“Saya tidak meletakkan harapan tinggi pada AJL27 kerana mara ke peringkat akhir pun sudah cukup bermakna buat karier seni. Terus terang, saya sangat sibuk dan tidak cukup masa untuk berlatih. Justeru, sebaik tiba dari Shanghai, saya gunakan masa yang singkat ini untuk berlatih sebaik mungkin.

“Apapun, saya berusaha memberikan yang terbaik dan selebihnya saya serahkan kepada pihak juri untuk membuat penilaian,” katanya yang bakal menggayakan busana rekaan Hazwani Osman pada malam persembahan nanti.

Dalam pada itu, Black yang mempertaruhkan lagu Teman Pengganti berkata, dia percaya lagu duetnya dengan RJ itu memiliki kekuatan tersendiri dan berpeluang untuk menang.

“Dari segi persiapan, saya fokuskan pada aspek vo kal dan persembahan. Pada masa sama, saya dan RJ berdoa semoga kami diberikan kesihatan yang baik pada malam persembahan nanti. Saya juga berehat seketika daripada aktiviti seni untuk memberikan fokus pada AJL27,” katanya.

Dalam perkembangan lain, penganjuran AJL27 kali ini ialah kategori Persembahan Terbaik yang membabitkan undian SMS 100 peratus daripada penonton.

Tahun ini, AJL27 menampilkan barisan 10 juri termasuk yang ‘diimport’ dari luar bersama nama besar dalam bidang muzik tempatan untuk mengadili per–sembahan finalis malam esok.

Barangkali, ramai peminat yang kecewa kerana Yuna menarik diri pada saat akhir untuk menyampaikan lagu Terukir Di Bintang. Namun, kekecewaan peminat sedikit sebanyak terubat kerana artis yang dipilih Yuna untuk menggantikan tempatnya juga bukan calang-calang iaitu Aizat Amdan yang bakal menyampaikan lagu ciptaannya itu.

Apa yang pasti, penganjuran AJL27 tidak lengkap tanpa persembahan barisan artis popular tanah air. Antara yang bakal membuat persembahan ialah Misha Omar, Ziana Zain, Faizal Tahir dan Royal Air Force.

Ia turut dimeriahkan dengan persembahan penyanyi rock lama seperti Ramli Sarip, Man Kidal, Aris Ariwatan, Joey BPR dan Rahmat Mega. Gandingan hos yang mengacarakan Purple Carpet pula menampilkan trio iaitu Kamal Adli, Miera Lyana dan Sazzy Falak.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters