Jom Buat Duit

Wednesday 22 February 2012

Diiktiraf tanpa diterima

KETIKA memilih untuk memuatkan ‘subjek’ yang bakal dipaparkan malam ini bagi mengisi episod Dunia Tersembunyi, pelbagai persoalan perlu produksi fikirkan jawapannya terlebih dahulu bagi mengelak daripada dikaitkan dengan isu sensitif di Malaysia.

Kerap juga jalan cerita episod malam ini terpaksa diolah dan suntingannya melalui proses rumit memaksa penyunting, Mohamad Azlan Mohamed Nor lebih prihatin dengan setiap visual yang dimuatkan dalam paparan ini.

Bahkan, jalan cerita ‘taboo’ ini yang dirangka sebelum kami tiba di destinasi, terpaksa diubah beberapa kali sehinggalah kami pulang ke tanah air semata-mata bagi mengelak daripada dijadikan ‘perisai’ oleh kelompok tertentu.

Namun, kami berbalik kepada objektif program ini diterbitkan iaitu memaparkan budaya dan cara hidup yang diamalkan segelintir masyarakat seluruh dunia.
Meskipun menyedari ‘subjek’ dipilih mewakili cara hidup dan budaya yang agak radikal daripada norma manusia, namun ia sekadar perkongsian maklumat dan pengalaman kru penerbitan untuk penonton tempatan dan tidak bersifat eksploitasi ke atas mana-mana pihak.

Apa yang dimaksudkan ialah kelompok yang memiliki perlakuan, perasaan, pemikiran dan penampilan berlawanan daripada zahir sebenar atau lebih dikenali sebagai transgender.

Kembara ke wilayah selatan India, Tamil Nadu pada pertengahan tahun lalu memberi peluang kepada kami untuk mengenali kelompok ini dengan lebih dekat. Ia bukan satu fenomena asing kerana kelompok ini juga turut terdapat di setiap sudut pelusuk dunia. Namun, apa yang membezakan mereka di Tamil Nadu berbanding di tempat lain ialah pengiktirafan sebagai jantina ketiga.

Secara langsung, ia memberi alasan relevan untuk kami mendekati dan menyaksikan sendiri sisi tersembunyi sosio-masyarakat di India selepas pengiktirafan jantina ini pada 2008.

Disangkakan mudah untuk menjejaki kelompok ini meleset kerana meskipun diiktiraf kerajaan, namun tidak diterima secara total oleh masyarakat tempatan. Justeru, kami berhadapan kesukaran untuk mencari sumber utama kerana keengganan penduduk berkongsi maklumat.

Mujurlah dengan bantuan Tamil Nadu Aids Foundation, segalanya dapat kami lunaskan dengan jayanya. Kepercayaan, antara alasan utama kelompok yang wujud sejak ribuan tahun ini diberikan pengiktirafan. Malah, pelbagai keistimewaan turut disediakan antaranya membabitkan skim perumahan, kesihatan dan pendidikan.

Dilaporkan, permintaan tinggi menerusi pembedahan di hospital menyebabkan ada yang memilih untuk melakukan prosedur ngeri menukar jantina menggunakan kaedah tradisional. Namun, diiktiraf tidak menjamin sejahtera.

Umum di India masih lagi tidak mampu menerima kemunculan jantina selain lelaki dan wanita. Akibatnya, sebahagian besar kelompok ini terhimpit atas pilihan sendiri. Malah, menagih simpati sebagai pengemis antara pekerjaan utama sebahagian mereka.

Ada juga yang lemah jiwa menanggung sengsara lantaran dibuang keluarga yang tidak dapat menerima ‘fizikal baru’ anak sendiri sehingga memaksa mereka memilih untuk terjerumus ke kancah pelacuran bagi menampung sara hidup.

Pengakuan selebriti transgender, Rose Venkatesan dan aktivis Priya Babu mengukuh�kan kenyataan bahawa budaya yang bertentangan dengan hukum pencipta sampai bila-bila pun gagal peroleh bahagia.

Jangan lupa menyaksikan perkongsian maklumat dan pengalaman kami mengenai ‘Jantina Ketiga’ dalam Dunia Tersembunyi, jam 9 malam ini hanya di TV3.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters