Jom Buat Duit

Friday, 15 February 2013

Fahrin Ahmad akui kekok jadi penyanyi

KEKOK dan bagai tidak percaya. Itulah yang terlintas dalam fikiran aktor Fahrin Ahmad apabila mendengar lagu berjudul Siapa Ingin Membawa dendangannya sendiri buat pertama kali.
Lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik oleh Fetri Yahya itu merupakan lagu runut bunyi untuk drama bersiri terbaharu di slot Akasia TV3, Rindu Bertamu di Abu Dhabi lakonan Fahrin bersama pelakon Tasha Shila, Fouziah Gous, Shahrizal Jaszle dan Aiman Hakim Ridza.

Menurut Fahrin yang ditemui pada majlis pelancaran drama itu di Kuala Lumpur baru-baru ini, dia bukan sengaja untuk menjadi penyanyi kerana semua berlaku tidak dirancang.
“Semuanya bermula dengan gurauan apabila saya kata boleh cuba untuk menyanyi tetapi kena buat betul-betul dan lagu harus sesuai dengan tahap vokal saya.

“Penerbit drama ini terus minta lagu dan suruh saya menyanyi lagu ini. Semuanya berjalan dengan pantas kerana proses rakaman mengambil masa selama tiga hari sahaja,” kata Fahrin.
Tidak mengikuti sebarang kelas vokal mahupun mempunyai pengalaman menyanyi secara langsung di hadapan khalayak, Fahrin sendiri berasa sungguh lucu apabila dia ditebak dengan persoalan adakah dia kini mahu jadi penyanyi?

“Sebenarnya saya sendiri berasa kelakar sebab selama 10 tahun menjadi pelakon, ini kali pertama kali saya menyanyi. Sebelum ini saya menyanyi di karaoke untuk suka-suka sahaja, tidak pernah pun masuk studio rakaman sebelum merakam lagu untuk drama ini.

“Bagi saya, nyanyian adalah satu cabang yang baharu kerana sebelum ini saya telah menjadi pengacara, jadi apa salahnya untuk mencuba,” ujarnya.

Tambah Fahrin, meskipun sudah memiliki sebuah single, dia belum terfikir untuk menjadikan nyanyian sebahagian daripada kerjaya utamanya.

“Nyanyian sekadar kerjaya sampingan sahaja. Saya lihat dulu respons peminat terhadap lagu pertama ini, jika ada sambutan bolehlah diteruskan.

“Jika tidak ada sambutan, inilah lagu pertama dan terakhir saya (ketawa). Saya bukan ikut trend pelakon jadi penyanyi, tetapi hanya sahut cabaran yang diberikan kepada saya,” tuturnya.
Bercerita mengenai pengalamannya di studio rakaman membuatkan Fahrin sedar bahawa menjadi penyanyi bukan satu perkara yang mudah.

“Selepas saya melalui sendiri pengalaman merakam lagu, baru saya sedar bahawa nyanyian bukan mudah. Sekarang saya lebih menghargai penyanyi.

“Menyanyi perlukan latihan, tidak mustahil jika saya diberi masa yang lebih lama, mungkin saya boleh menyampaikan lagu ini dengan lebih baik.

“Bagaimanapun, saya menyedari diri ini boleh menyanyi tetapi bukanlah penyanyi yang baik. Jika lagu ini diterima peminat, saya sudah cukup bersyukur,” balasnya.

Abu Dhabi
Berbicara tentang drama bersiri Rindu Bertamu di Abu Dhabi yang menggantikan drama bersiri popular, Setia Hujung Nyawa, Fahrin yakin drama lakonannya itu mampu menarik perhatian peminat.

“Drama ini cukup menarik jalan ceritanya kerana naskhahnya berdiri dengan sendiri. Drama Setia Hujung Nyawa mempunyai ramai pengikut mungkin kerana cerita daripada sebuah novel popular.
“Saya berharap drama Rindu di Abu Dhabi akan mengatasi drama Setia Hujung Nyawa. Gementar juga kerana saya dengar rating drama itu sangat tinggi,” ungkapnya.

Bercakap tentang pengalamannya sepanjang sebulan menjalani penggambaran drama di Abu Dhabi, kata Fahrin, pada mulanya sukar untuk menyesuaikan diri.
Namun, keramahan rakyat Malaysia di sana melayan semua kru dan pelakon menyebabkan mereka merasa seperti berada di tanah air sendiri.

“Abu Dhabi memang tempat yang cantik untuk bercuti tetapi kalau sudah hampir sebulan duduk di sana tetap rindu nak balik Malaysia. Nasib kami baik, di sana ramai rakyat Malaysia, jadi tidaklah rasa janggal sangat,” terangnya.

Drama bersiri 28 episod terbitan Zeel Production yang bersiaran setiap Isnin hingga Khamis mulai 11 Februari lalu itu mengisahkan tentang Firdaus (Fahrin) yang membawa diri ke Abu Dhabi kerana difitnah.

Angkara fitnah tersebut, Firdaus terpaksa memutuskan pertunangan dengan Fatin (Fouziah Gous) dan berkahwin dengan Ain Farohah (Tasha Shila). kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)