Jom Buat Duit

Sunday 17 February 2013

Top 10 Orang Terkaya di Malaysia 2013

Robert Kuok, bilionair Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion pada tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan, Ananda Krishnan dan Pengerusi Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow.

Ananda yang menduduki tempat kedua sejak 2004 telah mengalami penyusutan kekayaan apabila ia merosot 23.5 peratus berbanding tahun lepas dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn. Bhd. bernilai RM32.9 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari 2013.

Hong Piow pula mengekalkan kedudukannya di tempat ketiga dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business terbitan 16 Februari.

Pada 20 Januari lalu, kaji selidik yang dilakukan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan bahawa bilionair telekomunikasi, T. Ananda Krishnan sebagai orang paling kaya di Malaysia mengatasi kekayaan yang dimiliki oleh Kuok.

Menduduki senarai keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan yang melonjak daripada kedudukan keenam pada tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group yang turun ke tempat keenam.

Kekayaan Leng Chan melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group bernilai RM11.09 bilion pada tahun ini.

Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya dengan kekayaan berjumlah RM10.6 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.

Tan Sri Lee Shin Cheng melalui syarikatnya IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion.

Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan.

Kekayaan Kok Thay bertambah sebanyak 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion, manakala Kim Hua bertambah sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion.

Tan Sri Tiong Hiew King melalui Rimbunan Hijau Sdn. Bhd., berada di tempat kesembilan dengan aset bernilai RM6.35 bilion manakala jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng melalui Hotel Properties Ltd., menduduki tempat kesepuluh dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters