HUBUNGAN rapat dan mesra antara penyanyi genit Adira dan penyanyi
kelahiran Singapura, Aliff Aziz bukan lagi rahsia. Mereka berdua juga
tidak lagi menyembunyi hubungan rapat itu, malah telah memuat naik
gambar bersama di Instagram baru-baru ini.
Jika diselak lipatan sejarah, kedua-dua mereka sememangnya mempunyai rekod percintaan yang pernah mencetuskan kontroversi.
Adira pernah dikaitkan dengan Hafiz manakala Aliff sudah tentu
'meletup' dengan cintanya bersama pelakon Anne Ngasri yang musnah di
pertengahan jalan.
Tidak mengambil pusing sejarah silam masing-masing, baik Adira mahupun Aliff mengakui serasi bersama.
Kata Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi ketika ditemui
pada majlis makan malam bersama peminatnya di Hotel De Palma, Ampang,
Kuala Lumpur baru-baru ini, dia cukup selesa berkawan dengan Aliff dan
menyifatkan Aliff sebagai lelaki yang baik.
"Saya selesa berkawan rapat dengannya, bagi saya dia seorang lelaki
yang baik, berfikiran terbuka dan mudah dibawa berbincang," akui Adira.
Bagaimanapun kata Adira, hubungan mereka menjadi rapat selepas
kontroversi cinta Aliff dan aktres Anne Ngasri berakhir. Enggan
mengambil pusing kata-kata orang sekeliling, Adira mahu menjalani
kehidupannya dengan cara sendiri.
"Ya, orang pasti tidak berhenti bercakap tentang kisah silam saya
mahupun Aliff kerana karier kami sebagai artis. Selagi kami selesa
berkawan rapat, saya tidak lihat ia satu kesalahan," tutur penyanyi yang
berasal dari Ranau, Sabah itu lagi.
Disoal tentang gambar mereka memakai cincin yang sama dimuat naik ke
Instagram, Adira enggan mengulas lanjut kerana bimbang jawapannya akan
dijadikan spekulasi pada kemudian hari.
"Itu hanyalah gambar biasa sahaja, jika saya ulas mengenainya, akan
timbul pula spekulasi yang baharu. Saya hanya berkawan rapat dengannya,
itu sahaja yang boleh saya beritahu," jelas Adira.
Ditebak lagi dengan soalan jika enggan mendedahkan hubungan rapat
mereka kepada khalayak kenapa pula dia mengundang Aliff ke majlis makan
malam bersama peminatnya yang turut dihadiri ahli keluarga termasuk ibu
Adira sendiri?
"Memang saya yang jemput dia atas sebab dia kawan saya. Selain dia,
saya juga jemput ramai rakan artis yang lain bukan dia seorang sahaja.
Tidak ada sebarang agenda sebalik itu. Hubungan Aliff dengan keluarga
saya biasa-biasa sahaja tidaklah terlalu rapat," ujarnya.
Idam konsert solo
Jika dilihat perjalanan kerjaya seni Adira, dia antara penyanyi yang
cukup bertuah kerana mempunyai deretan lagu popular sejak keluar
daripada program Akademi Fantasia musim kelapan.
Popular dengan lagu Ilusi dan Ombak Rindu, kerjaya Adira dilihat
antara penyanyi yang berjaya berbanding rakan seperjuangannya yang lain.
Pada majlis makan malam yang pertama kali dianjurkan oleh kelab
peminatnya itu, persembahan Adira persis mengadakan mini konsert solo
dengan menyanyi lapan buah lagu.
Tersenyum mendengar pujian itu, anak bongsu daripada lapan
adik-beradik itu memberitahu sebagai penyanyi dia turut mengidam untuk
mengadakan sebuah konsert solo suatu hari nanti.
"Memang saya simpan cita-cita dan impian untuk mengadakan sebuah
konsert solo jika diberi peluang. Cuma sekarang saya tidak berani
meletakkan sebarang sasaran untuk mengadakan konsert kerana belum ada
sebarang perancangan ke arah itu.
"Kalau diberi peluang dan mempunyai penaja, memang saya teringin
sangat. Itu kemuncak kerjaya seorang penyanyi, saya ingin berjaya
seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain yang berjaya mengadakan
konsert solo. Mungkin perjalanan ke arah itu masih panjang tetapi saya
tidak akan berhenti berusaha," ujarnya tegas.
Tahun ini, penyanyi putih melepak ini bertambah sibuk apabila album penuh pertamanya dijangka keluar pada tahun ini.
Ceria bercerita tentang albumnya, katanya, sudah lama dia menantikan kemunculan sebuah album sejak bergelar penyanyi.
"Akhirnya, album pertama saya akan berada di pasaran pada tahun ini
juga. Terdapat lima buah lagu lama dan lima buah lagu baharu. Pembikinan
album sudah hampir selesai, malah kulit album juga sudah ada.
"Jujurnya, memang saya tidak sabar untuk mempunyai album penuh
sendiri. Saya harap apabila album ini keluar kelak, peminat akan
menyukainya kerana saya telah meletakkan fokus saya seratus peratus
ketika proses rakaman dan keseluruhan pembikinan album," luahnya.
Selain menyanyi, Adira juga telah bergelar pelakon selepas berlakon
dalam beberapa drama khas untuk keluaran raya dan juga drama bersiri
pertamanya iaitu Tiara lakonan bersama Aliff.
Masih belajar tentang ilmu lakonan beritahu Adira, dia hanya berlakon jika mempunyai kemampuan sahaja.
"Saya suka berlakon tetapi saya masih perlu banyak belajar tentang
lakonan. Selepas Tiara saya belum terlibat dalam mana-mana drama kerana
apabila berlakon saya harus memberi fokus seratus peratus.
Penggambaran drama Tiara dilakukan ketika bulan Ramadan, waktu itu
jadual nyanyian saya agak kosong, sebab itu saya boleh berlakon.
"Buat masa sekarang disebabkan jadual saya yang padat, saya tidak
mampu untuk beri komitmen. Saya tidak mahu menerima tawaran tetapi akan
menyusahkan orang lain dan tidak mampu berlakon dengan baik.
"Sudahlah saya baharu nak belajar berlakon, kalau terikat dengan
kerja lain, saya kepenatan dan tidak dapat beri fokus sebab itu buat
masa ini saya fokus pada nyanyian terlebih dahulu," tuturnya.
Rai bersama peminat
Bercerita lanjut mengenai majlis makan malam bersama peminat, katanya
itu adalah kali pertama majlis seumpama itu diadakan bersama kelab
peminatnya, Adira Fans Club. Sudah lama dirancang sejak bulan Disember
tahun lalu, Adira berpuas hati apabila dapat membuat persembahan khas
buat peminatnya sahaja.
"Sebenarnya peminat yang beri cadangan untuk anjurkan majlis seperti
ini. Melihat kepada sambutannya, saya terharu kerana ada yang datang
dari Sabah dan negeri-negeri lain semata-mata untuk bersama saya dalam
majlis ini," katanya lagi.
Meskipun bayaran RM80 dikenakan pada setiap orang, majlis itu penuh
dengan 400 orang peminat, malah pada saat-saat akhir mereka terpaksa
menambah meja untuk memenuhi kehadiran di luar jangkaan itu.
"Tidak sangka ramai yang datang hari ini sampai terpaksa ditambah
meja. Bagi saya majlis ini sangat berjaya dan selepas ini saya akan
mengadakan majlis yang sama di negeri kelahiran saya di Sabah. Rasanya
sudah lama peminat di sana menantikan majlis seumpama ini," tuturnya.
Selain persembahan Adira, majlis malam itu turut diserikan dengan
persembahan penyanyi veteran Uji Rashid dan celoteh pengacara majlis
Sharifah Shahora yang mencuit hati.
Cuma apa yang kurang disenangi adalah persembahan tidak sopan dan
keterlaluan penari-penari maknyah yang dikenali sebagai paper doll.
Mengulas lanjut mengenai persembahan kurang sopan itu, kata Adira,
dia sendiri tidak menyangka persembahan tersebut akan diadakan dan
meminta maaf bagi pihak penganjur.
"Saya tahu akan ada persembahan paper doll tetapi kami tidak sempat
nak berlatih kerana pada waktu siang dewan itu digunakan untuk sebuah
majlis perkahwinan, Kami hanya masuk pada pukul 6 petang sahaja.
"Jadi, saya tidak tahu bagaimana corak persembahannya. Memang saya
juga terkejut kerana pakaian mereka agak terdedah. Saya minta maaf
sangat, selepas ini saya akan lebih berhati-hati supaya kejadian yang
sama tidak akan berulang," ungkapnya. KOSMO
No comments:
Post a Comment