Jom Buat Duit

Thursday 5 January 2012

Abot atasi kemurungan



BERTEMU media akhir-akhir ini, Abot sering bercerita akan tampil dengan ‘single’ terbaru. Tidak cukup itu, penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Camar ini juga memberitahu dia akan menghasilkan novel terbaru susulan kejayaannya menulis beberapa novel antaranya, Tinggal Jangan Lepaskan.
Bagaimanapun, kemunculan Abot tidak konsisten dan dilihat timbul tenggelam dalam dunia seni sehingga menimbulkan tanda soal.

Sebaik bertemunya persoalan ini diajukan kepadanya, memang mengejutkan apabila Abot mendedahkan bahawa hidupnya pernah jadi tidak keruan dan kemurungan.
Bukan mahu membuka pekung di dada, namun tujuannya sekadar bercerita situasi yang membelenggu dirinya selama ini.


“Orang mungkin hanya melihat luaran saya saja, tapi tak mungkin faham apa yang ada dalam jiwa saya. Namun, sekarang saya tak mahu berahsia lagi. Memang betul ramai tanya kenapa saya tenggelam timbul. Jawapan yang saya berikan adalah saya masih aktif menulis novel.

“Saya sebenarnya pernah mengalami perubahan fizikal dan tahap kesihatan. Saya pernah keguguran anak kedua. Sejak itu semua yang dibuat serba tak kena dan badan semakin berisi. Emosi saya memang bercelaru. Kalau tak kuat iman, macam-macam jadi. Nasib baik Allah S.W.T sentiasa melindungi saya dan menjadikan saya sentiasa ingatkan diri dan keluarga,” katanya.

Abot berkata ketika itu dia banyak berzikir dalam menghadapi ujian getir dalam hidupnya. Untuk mencari rezeki menerusi nyanyian ia agak sukar kerana suaranya tidak konsisten. Mujurlah dia ada bakat menulis lagu dan novel.

“Alhamdulillah tapi kemudiannya, bakat menulis saya pula terganggu. Novel yang sepatutnya yang dijanjikan siap dalam masa tiga bulan, tergantung hingga setahun lamanya. Tumpuan saya hilang setiap kali mengadap komputer. Saya yakin semuanya berpunca daripada masalah kesihatan yang dialami dulu. Saya tertekan kerana memikirkan janji dengan pelbagai pihak. Mujurlah suami memahami dan banyak beri semangat.

“Dalam pada itu, kami turut diuji dengan keadaan kesihatan anak sulung kami yang kena serangan asma sejak umur empat bulan. Sekarang dia sudah 10 tahun. Mungkin berkat doa dan ikhtiar tanpa jemu, seorang kawan tiba-tiba mengunjungi kami untuk memperkenalkan sejenis minuman jenama Cordy Juice. Selepas dua bulan saya beri kepada anak saya itu, sesak dadanya pun hilang,” katanya.

Kini Abot yang sudah berimej skaf dan tudung, mahu bangkit semula. Dia sedang rancak menyusun semula perjalanan karier seninya yang pernah terbantut. Buat permulaan Abot akan muncul dengan novel, My Happy Tree yang dijual bersama mini album lima lagu yang berkaitan dengan jalan cerita novel itu sendiri.

“Sebenarnya sudah lama saya mahu bertudung. Ia bukan penghalang buat karier seni saya kerana saya tetap akan menyanyi dengan gaya sama seperti dulu. Bahkan genre album saya masih sama iaitu alternatif.

“Proses cetakan novel serta album ini sudah siap dan akan diedarkan Visi Kreatif. Pelancarannya akan dibuat selepas sambutan Tahun Baru Cina.

Saya juga jual sendiri setiap kali buat persembahan. Antara lagu yang dimuatkan dalam album ini adalah Mencari Isteri, Selamat Hari Mati dan Intan Abah.

“Alhamdulillah ramai yang mula membantu merealisasikan impian saya termasuk sokongan daripada Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan (KPKK) dari segi pembiayaan.

“Saya buat kertas kerja dan KPKK menilai dari segi kreativiti saya apabila menyatakan kesediaan membantu. Selain sibuk dengan karier, saya sambung belajar dalam jurusan Penyiaran & Filem di Kuala Lumpur Metropolitan University,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters