BANGGA...Hafiz, Budi dan M Nasir girang ketika Awan
Nano diumumkan sebagai juara AJL26.
DATUK M Nasir tetap unggul. Jarang sekali dia pulang dengan tangan kosong
kalau masuk bertanding. Bukti yang terbaru melalui Anugerah Juara Lagu ke-26
(AJL26) yang berakhir di Stadium Putra, Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Awan Nano yang seni katanya karangan Budi Hekayat dan dinyanyikan Hafiz Suip,
akhirnya berjaya dijulang sebagai juara. Dengan kemenangan itu, mereka bertiga
berkongsi wang RM35,000.
Dengan hanya pakaian lusuh dan berkaki ayam, Hafiz tetap berjaya mencuri
tumpuan juri sehingga meraih trofi Vokal Terbaik. Anak muda berasal dari Sarawak
itu turut meraih kejayaan berganda seperti AJL25 bagi kategori itu dengan wang
tunai RM10,000.
Ia turut dibantu penyanyi 1980-an, Herman Tino yang
berlakon sebagai ayah Hafiz melalui muzik video mereka.
Tempat kedua menjadi milik 3 Suara - Ning Baizura, Shila Amzah & Jaclyn
Victor - dengan lagu mereka, Beribu Sesalan, karya Kevin dan lirik oleh Tinta.
Lagu Karma nyanyian Faizal Tahir membolot tempat ketiga. Masing-masing menerima
wang tunai RM15,000 dan RM12,000 serta trofi.
Persembahan mantap Alyah persis patung di atas satu kotak muzik yang
berpusing pula melayakkannya menang Persembahan Terbaik (RM10,000).
Bagi
Hafiz, kemenangannya itu membuatkan dia menadah tangan mengucapkan kesyukuran
terhadap Ilahi.
“Alhamdulillah, lagu Awan Nano berjaya menjadi juara dan
sekali lagi saya menang Vokal Terbaik. Apabila lagu ini layak ke peringkat akhir
AJL26, ini naikkan lagi semangat saya kerana saya tak mahu mempersiakan karya
Datuk M Nasir ini.
“Selepas keluar AF (Akademi Fantasia 7), saya masih
belajar vokal dengan Cikgu Syafi (Syafizawati Sharif). Bagaimanapun, dua minggu
sebelum berlangsungnya AJL26, saya giat berlatih vokal dengannya. Hampir setiap
hari saya ke kelas Cikgu Syafi.
“Saya juga berlatih persembahan dan
penghayatan dengan pengarah kreatif, Izwan. Kejayaan saya pada malam ini juga
kerana doa ibu bapa dan peminat yang tak henti memberikan sokongan,” katanya
yang ditemui selepas berakhirnya pertandingan.
Walaupun ramai yang kata
lagu itu sangat ‘berat’ dan susah untuk dinyanyikan, Hafiz tidak pula mengambil
pendapat ramai itu sebagai tekanan, sebaliknya dia mengambilnya sebagai cabaran
buat dirinya bagi mempersembahkan yang terbaik.
“Baik atau buruknya
sesuatu perkara itu, ia adalah cabaran buat saya. Memang benar, sukar untuk
menyanyikan lagu ini dan tidak boleh bergantung kepada kehebatan vokal
semata-mata kerana Awan Nano padat dengan emosi. Apabila menyanyikan lagu ini ia
seperti bercerita kisah hidup kita.
“Seni katanya menyentuh jiwa dan
untuk melahirkan emosi. Saya bayangkan walau apa pun berlaku, kita mesti
menyayangi dan menghargai ibu bapa kita,” tegasnya.
Apabila sudah
dinobatkan yang terbaik, Hafiz sedar perjuangannya tidak berhenti setakat itu
saja, sebaliknya dia menggalas harapan dan amanah yang besar daripada
peminat.
Dengan segala usaha dan persediaan untuk menghadapi cabaran
AJL26, Hafiz puas hati dengan persembahannya dan akan menyimpan wang
kemenangannya untuk masa depannya dan keluarga.
M Nasir yang sudah biasa
menjulang trofi AJL bagaimanapun hanya mampu mengucapkan itu semua adalah
suratan nasib.
Nasir bagaikan kehabisan kata-kata dengan kemenangan Awan
Nano kerana baginya komposer muda yang bersaing pada malam itu cukup hebat
seperti Aizat (Sungai Lui), Yuna (Penakut & Gadis Semasa) dan Najwa Latif
(Cinta Muka Buku).
“Apabila bertanding, saya memang mahu menang dan apabila buat lagu, saya
mesti buat yang sedap dan melebihi daripada biasa sambil memikirkan mungkin
orang boleh suka dengan lagu itu. Walaupun pada masa sama saya sebenarnya tak
ada kuasa menentukan apa yang orang suka. Saya tak tahu nasib lagu ini kerana
komposer lain pun hebat juga.
“Dengan kemenangan ini, lagu berentak
balada kembali diminati kerana balada hari ini ada aliran tersendiri dan ia
semakin berubah kerana banyak dipengaruhi muzik Indonesia,” katanya.
Budi
yang agak ‘cemburu’ menyaksikan betapa kuatnya pengaruh lagu dari seberang
menguasai muzik di negara ini, menjadikannya sebagai cabaran untuk mengarang
seni kata yang terbaik dan puitis.
“Lebih 10 tahun kita dihambat lagu
dari negara seberang. Oleh itu, saya cuba mengangkat perkataan yang rendah
(nano) yang selalu digunakan orang kampung supaya menjadi perkataan
‘mainstream’,” katanya.
Mewakili rakan lain, Ning pula berkata, peminat
menentukan populariti lagu Beribu Sesalan, sekali gus melayakkan mereka bertiga
berdiri di pentas AJL26.
“Keistimewaan lagu ini terletak pada susun kata
lirik dan melodinya. Pada awalnya, sukar untuk mencari paduan 3 Suara tetapi
dengan populariti lagu ini sekarang, 3 Suara mula menjadi ikutan.
“Ketika merakamkannya kami tidak membayangkan yang akan jadi ‘sebesar’
ini. Dengan kejayaan 3 Suara ini, kami sudah mendapat undangan untuk mengadakan
konsert di Singapura pada 20 November nanti. Kami tak sangka lagu Beribu Sesalan
turut diminati orang di sana,” katanya.
Bertanya pendapatnya mengenai
kemenangan Hafiz kategori Vokal Terbaik, katanya, dia meletakkan sasaran Jaclyn
yang menang menerusi lagu Sedetik Lebih.
“Pun begitu, saya suka Awan Nano
diangkat sebagai juara kerana tiada lagu sebaik lagu itu,” katanya.
Faizal sebenarnya mengidam untuk menggenggam trofi juara AJL juga tetapi
tahun ini masih bukan rezeki untuknya.
“Secara jujurnya saya langsung
tidak menjangkakan saya akan berada dalam senarai Top 3. Ini pertandingan AJL
yang paling saya rasa rileks kerana saya tidak mengharapkan apa-apa kemenangan
dan saya tak rasa yang saya sedang bertanding.
“Saya juga rasa lega dan
tidak tertekan apabila nama saya tidak dicanangkan antara yang akan menang.
Apabila diumumkan Karma mendapat tempat ketiga, ia di luar jangkaan,”
katanya.
Alyah pula menyambut kemenangannya dengan linangan air mata
kerana perjuangan selama 12 tahun memberikan kenangan paling manis. Dua akui
sudah biasa berdepan kekalahan. Alyah yang cantik mengenakan gaun rona coklat
keunguan rekaan Hatta Dolmat berjaya memukau hadirin dengan persembahannya yang
sangat mantap.
Malah kemunculan aktor Remy Ishak pada pengakhiran lagu
memberi impak yang lebih besar kepada Kisah Hati. “Saya bagi 110 peratus untuk
persembahan pada malam ini tanpa mengharapkan apa-apa pun. Saya serahkan semua
kepada Allah SWT. Selama 12 tahun menyanyi, saya banyak melalui kekalahan, jadi
apabila bertanding dalam AJL26, saya tak fikir nak menang melainkan buat yang
terbaik saja demi meneruskan kerjaya seni saya.
“Konsep persembahan
adalah idea saya sendiri kerana saya memang sukakan cerita fantasi. Kemunculan
Remy adalah kejutan kerana dia begitu sibuk dengan penggambaran dramanya.
Sebenarnya kalau tak dapat Remy, saya ada terlintas mahu menjemput penjaga gol
kebangsaan kita, Apek (Khairul Fahmi Che Mat),” katanya.
Pertandingan
yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil itu disaksikan 15,000 penonton
yang dihoskan Faizal Ismail (FBI) dan Cheryl Samad. Hadiah pemenang disampaikan
Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB), Ahmad Izham
Omar.
Buat kali pertama juga, acara yang dinantikan setiap tahun itu
memperkenalkan Anugerah Juara Mobile yang diadili berdasarkan lagu paling banyak
dimuat turun dengan kerjasama Celcom. Ia dimenangi Sedetik Lebih ciptaan Edry
Abdul Halim.