Jom Buat Duit

Monday 7 May 2012

Tomok Bakal Jadi Ayah

BAKAL AYAH...Tomok dijadual menimang cahaya mata pada bulan ini.
BAKAL AYAH...Tomok dijadual menimang cahaya mata pada bulan ini.

MERENUNG pada wajah dan penampilannya yang agak ‘funky’, sesiapa pun pasti tidak menyangka jejaka berusia 27 tahun ini sedang menghitung masa untuk bergelar ayah.
Cukup ‘stylo’ dan lagaknya juga masih keremajaan, bagaimana agaknya Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali dengan gelaran Tomok ini akan mengubah dirinya dengan gelaran baru yang besar tanggung jawabnya itu?

Bertemunya pada satu sesi fotografi, di Balai Berita, Bangsar, baru-baru ini, dari jauh kelihatan raut wajah Tomok berseri-seri menandakan keseronokan hidupnya ketika ini. Pada masa sama, sesekali terpancar juga rasa gusar dan berkali-kali juga dia membelek telefon bimbitnya, mungkin sedang risaukan seseorang yang ditinggalkan lama.

Mana tidaknya, demi menghadiri sesi fotografi, sang isteri yang tengah sarat menjaga kandungannya pula sedang duduk keseorangan di rumah.


Hal itu tentulah sudah cukup untuk membuatkan Tomok jadi tidak keruan walaupun hanya keluar rumah sebentar. Selepas menempuh detik indah sewaktu diijabkabulkan sebagai suami isteri dengan Rahayu Abas pada 1 Julai lalu, kini tiba saatnya untuk menerima kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga mereka.

“Tiada apa yang boleh menggambarkan perasaan saya pada saat ini. Apatah lagi buat pertama kali menjadi seorang ayah, saya sangat teruja dan tidak sabar-sabar untuk merasai pengalaman ini. Sedar tidak sedar, rupanya tidak lama lagi saya akan beralih ke fasa baru iaitu berkeluarga dan menimang anak.

“Bagaimanapun, perasaan gementar itu memang tidak dinafikan tetap ada memikirkan selepas ini tanggungjawab saya akan menjadi lebih berat. Setakat ini, saya dan isteri sudah ada beberapa nama untuk anak kami nanti namun belum memilih yang paling sesuai lagi. Syukurlah, tidak ada apa-apa yang tidak diingini berlaku kepada isteri saya dan malah sepanjang proses dia mengandung juga OK,” jelasnya gembira.

Dalam pada menantikan momen yang indah itu, juara program realiti One In A Million 3 yang juga vokalis New Boyz ini sudah tidak sabar menantikan filem futuristik lakonannya, Mantera, ditayangkan pada 17 Mei nanti.

“Pertama kali diberikan watak utama dalam filem sulung pula, pastinya saya berdebar menantikan bagaimana hasilnya serta penerimaan penonton terhadap filem ini. Ini adalah antara perkara terindah terjadi kepada saya dan semestinya mengangkat karier seni saya ke satu tahap yang lebih tinggi lagi, lari dari bidang nyanyian.

“Ketika mendapat tawaran ini kira-kira tiga tahun lalu, saya melihat ia satu peluang yang besar untuk mengembangkan lagi sayap dalam bidang seni walaupun pada dasarnya saya seorang penyanyi. Namun saya gagahkan untuk pergi uji bakat dan tidak sangka diterima malah diberikan watak utama pula.

“Pengalaman yang saya timba benar-benar hebat kerana bukan saja berpeluang merantau ke Dubai untuk penggambaran, saya juga dapat berjumpa dengan pelakon-pelakon di sana yang terbabit dalam filem ini. Selain itu, dikelilingi tenaga produksi yang cukup mantap, tidak pernah sekalipun diri ini rasa tersisih walaupun masih hijau dalam lapangan ini. Mereka pasti akan memberi tunjuk ajar dan dari situlah saya memperbaiki sedikit demi sedikit lakonan saya.

“Antara sebab saya memilih untuk menerima tawaran itu juga adalah kerana konsep dan jalan cerita yang ditonjolkan dalam filem ini sangat berlainan dengan filem tempatan lain. Mengetengahkan elemen sains fiksyen, walaupun Mantera banyak menggunakan teknik Imej Janaan Berkomputer (CGI) serta unsur robotik, ia tampak berkesan,” katanya.

Pertama kali mencuba bidang ini, mungkin terlalu awal untuk Tomok menghasilkan lakonan yang cukup berkesan dan semestinya perlu bermula daripada bawah. Akuinya, sebaik menerima untuk menjayakan filem itu, dia mengambil serius tanggung jawab besar itu lantas memberikan tumpuan sepenuhnya bagai menjiwai karakternya.

“Saya membawakan watak seorang pelajar kolej, Azman, yang sangat obses dengan dunia permainan terutamanya robotik. Untuk menjiwai watak itu, saya kemudian tidak menunggu lama dan menonton kembali filem-filem berciri futuristik ini termasuklah Transformers, G.I. Joe dan Ironman. Mujur juga sebelum penggambaran dijalankan, kami diberikan kelas lakonan terlebih dulu untuk pendedahan sebelum ke set sebenar Mantera.

“Membawakan watak superhero atau adiwira amat mencabar namun saya cukup puas hati dapat melakukannya. Saya sangat berharap penonton akan suka dan sudah berikan yang terbaik untuk menjayakan filem ini. Apa-apa juga kritikan yang diberikan selepas ini, saya bersedia untuk menerimanya. Ia akan ditayangkan di pawagam pada 17 Mei, jatuh pula pada hari lahir saya.

“Kiranya, bulan Mei adalah bulan yang paling bermakna untuk saya kerana bukan isteri dijadualkan melahirkan anak pada bulan ini, malah filem sulung lakonan saya juga turut ditayangkan. Inilah antara hadiah hari lahir paling ditunggu-tunggu,” ujarnya.

Mengakui bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaannya, Tomok bagaimanapun tidak teragak-agak untuk meneruskan pembabitan dalam bidang lakonan selepas ini. Apabila peluang sudah terbentang luas, inilah masanya untuk memperluaskan skop kerjaya seninya dan tidak mahu tertumpu dalam bidang nyanyian semata-mata.


TRIVIA TOMOK

  • Lagu yang paling disukai sekarang...
    Terukir Di Bintang (Yuna).
  • Kuasa luar biasa yang diinginkan...
    Terbang seperti Ironman.
  • Insan yang paling ingin ditemui...
    Tun Dr Mahathir Mohamad.
  • Tabiat buruk sukar dikikis...
    Liat bangun tidur.
  • Saat paling menyentuh dalam hidup...
    Menjuarai One In A Million 3 (OIAM).
  • No comments:

    Post a Comment

    Klik Untuk Saya k... :)

    free counters