Jom Buat Duit
Sunday, 13 May 2012
Anis jelmaan Saloma
BERDANDAN cara orang lama dengan kebaya potongan klasik kemas tersarung di tubuh gadis belasan tahun itu.
Pengakuannya tentang minat dan kecenderungan menyanyikan irama klasik tambah membuatkan si manis yang memperkenalkan dirinya, Riana Anis itu seorang yang unik.
"Sebenarnya saya juga meminati rentak muzik kontemporari, lagu-lagu balada, rock dan dangdut. Tapi untuk mula-mula memperkenalkan diri ke dalam industri muzik, saya pilih irama klasik. Rasanya tak salah sebab saya masih muda. Saya ada banyak masa untuk tampil dengan irama-irama lain selepas ini," katanya yang baru sahaja muncul dengan album sulungnya, Pengembara.
Mempertaruhkan 16 buah lagu-lagu klasik yang dinyanyikan semula, album terbitan Dream Music itu sudah dilancarkan pada 27 Mac lalu.
"Saya jatuh cinta dengan lagu-lagu klasik. Bagi saya, tidak semestinya lagu-lagu klasik hanya dinyanyikan oleh penyanyi-penyanyi berusia. Jika ia dinyanyikan oleh penyanyi muda, rasanya irama itu akan menghimpun semula peminat baharu. Peminat hari ini akan lebih seronok jika ada penyanyi baharu yang menyanyikan lagu-lagu klasik seperti Hati Muda atau Daku Menunggu," kata Riana Anis berkeyakinan.
Mudah dibahasakan Anis, pemilik nama Nuriana Anis Jamlul Abidin itu bukan sehari dua muncul di pentas nyanyian. Sebaliknya, dia bersama dua abang kandungnya merupakan anggota kumpulan Sentuhan Brothers sejak lima tahun lalu. Mereka sudah biasa mendapat undangan menyanyi di majlis-majlis korporat bahkan turut popular di Singapura.
"Di Singapura, ramai orang panggil saya Anis Saloma, kalau dipromosikan pun, nama Anis Saloma yang akan terpampang di poster-poster. Saya sendiri selesa dengan gelaran itu, ia satu penghormatan apabila saya diterima sebagai versi baharu kepada seorang biduanita legenda bernama Saloma," ujarnya yang turut berkebolehan menyampaikan lagu-lagu dalam bahasa Jepun dan Mandarin.
Memilih irama klasik tidak bermakna menjauhi trend muzik semasa. Kata Anis, selain sedang mengikuti kelas muzik bersama Chew Paul Wah, dia bersama Sentuhan Brothers juga sering dijemput sebagai band penutup tirai setiap kali berlangsungnya gig muzik indie anjuran Kelab Budak-Budak Malaya.
Bercerita tentang kemunculannya untuk menyertai muzik arus perdana, kata Anis, semuanya berlaku secara kebetulan.
"Saya ditemui oleh seorang penerbit album dari Singapura, namanya Yazzit. Dia melihat saya menerusi YouTube pada Februari 2011 dan pada Mac tahun yang sama, saya dijemput ke Singapura untuk membuat rakaman album.
"Saya anggap album ini sebagai buah tangan pertama saya. Bawah pengurusan Media Inspirasi, saya kini dalam proses untuk menyiapkan album kedua pula. Ramadan nanti, saya juga akan tampil dengan sebuah album lagu-lagu ketuhanan yang dipetik daripada sinetron popular dari Indonesia. Untuk album sinetron itu, saya bekerjasama dengan seorang komposer dari Jakarta," katanya yang turut diundang untuk persembahan pembukaan sambutan Hari Ibu bersama Anuar Zain di Bandar Utama, semalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment