DARK SHADOWS dilakonkan oleh para pelakon terkenal antaranya Johnny Depp, Eva Green dan Michelle Pfeifer.
FILEM Dark Shadows merupakan filem kerjasama kelapan antara Tim
Burton dan Johnny Depp. Filem itu diangkat daripada program soap opera
yang berpentas pada tahun 1966 hingga 1971.
Filem ini bermula dengan keazaman seorang gadis meninggalkan New York
untuk bekerja dengan keluarga Collins. Victoria lakonan Bella Heathcote
kemudian muncul di tengah-tengah keluarga Collins yang berhadapan
dengan masalah kewangan namun masih berazam untuk meneruskan legasi
keluarga yang membuka pekan Collinswood. Di rumah agam Collins, Victoria
bertemu keluarga tersebut dan berhadapan dengan pelbagai peristiwa.
Kemunculan aktres Bella tenggelam timbul dalam filem ini namun
kecantikan klasiknya sangat tepat membawakan dua watak iaitu Vicky dan
Jossette.
Johnny Depp terus memberi kelainan dalam karakter yang unik, itu sesuatu yang pasti dalam filem ini.
Walaupun sudah terbiasa dengan karakter yang pelik, tetapi dia antara
aktor yang berjaya membawakannya tanpa rasa jelak. Kali ini Johnny
membawakan watak Barnabas, anak hartawan yang disumpah. Dia kemudian
muncul sebagai puntianak, salah satu karakter atau genre yang diperakui
Johnny sebagai kegemarannya. Ada kelucuan dalam karakter yang dibawanya,
tampak naif kerana Barnabas tiba-tiba bangkit setelah dua dekad ditanam
di dalam keranda.
Eva Green tampil memukau dalam gaya ahli sihir. Kadangkala wataknya
sebagai Anjelique menutup kehadiran pelakon lain seperti Michelle
Pfeifer atau Helena Bonham Carter. Cinta yang wujud dalam diri Anjelique
buat Barnabas membuatkan dirinya bertindak kejam
Menariknya bagi Helena kali ini, dia membawakan karakter Dr. Hoffman
yang normal. Jarang-jarang sekali untuk Helena tampil sebegini namun
dalam filem suaminya yang ini, aktres ini tampil bersahaja dengan
berfesyen 1970-an.
Dark Shadows merupakan sebuah corak filem yang ringan dengan latar
belakang dan set yang menarik. Membawa khalayak ke tahun lampau dan
kemudian kembali ke tahun 1970-an, pakaian dan set serta pemilihan lagu
membuatkan kita seperti berada di era itu. Kemunculan Alice Cooper dalam
filem ini menambahkan lagi seri, begitu juga Karen Carpenter di kaca
televisyen memberi kesan khas terhadap tahun 70-an dalam filem ini.
Untuk peminat tegar Johnny Depp dan khalayak yang sukakan
kolaborasinya dengan Tim Burton, filem ini akan menyemarakkan kecintaan
kalian terhadap kerjasama ini.
Komen Sofia: Sangat sukakan set dan lagu-lagu yang dipilih untuk filem ini. Begitu juga dengan kemunculan Alice Cooper.
No comments:
Post a Comment