Jom Buat Duit

Sunday 13 May 2012

Saham sensasi Rusdi Ramli


WAJAH Rusdi Ramli jarang menjadi penghias majalah dan surat khabar mahupun bahan sensasi dalam portal hiburan. Namun itu bukan petanda bahawa pemenang trofi Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 itu sudah semakin suram.

Tergolong dalam angkatan pelakon senior, namanya masih kekal dalam liga tersendiri. Sebagai alasan paling kukuh, Rusdi, 42, masih menjadi taruhan kepada tiga buah filem yang masih menunggu tarikh tayangan.

Salah sebuah filem lakonannya yang ditunggu-tunggu ialah Tanda Putera, begitu juga dengan Awan Dania The Movie. Sebuah lagi filem lakonannya Mencari Cinta pula, baru selesai menjalani penggambaran.

“Rasanya saya dinilai menerusi hasil kerja. Saya akui bukan jenis pelakon yang suka melayan dan menjual produk kepada peminat di laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Nasib baik peminat boleh tengok saya di kaca televisyen.

“Lakonan satu-satunya cara saya berkomunikasi dengan peminat,” katanya yang kini berada di lokasi penggambaran drama bersiri berjudul Mis Cinta untuk RTM.

Alang-alang bercerita tentang saham Rusdi yang terpampang di mata pengarah dan penerbit filem, anak dramatis hebat Norlia Ghani itu ditanya tentang lakonan beraninya bersama janda jelita, Nora Danish yang hangat diperkatakan.

Beraksi sebagai pasangan suami isteri, Rusdi dan Nora diminta untuk memberikan nilai sensasi.
“Itu kira filem paling romantik yang pernah saya lakonkan. Pengarah ada dalil tersendiri kenapa perlu babak-babak sedemikian. Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan justifikasi sebab filem masih dalam suntingan.

“Apa yang dipaparkan dalam treler yang ditayangkan semasa majlis pelancaran baru-baru ini hanyalah pengenalan kepada filem berkenaan,” kata Rusdi yang berasa pelakon bukanlah faktor utama pelaris filem sebaliknya pembinaan karakter serta jalan cerita yang ampuh.
Sedang muncul menerusi Lara Hati menerusi slot Ratu di TV9, Rusdi menjayakan watak Hadeef, pemuda yang terlalu menyintai Roseida lakonan Noorkhiriah.

Kata Rusdi, meskipun watak Hadeef mungkin bukan satu kesukaran buatnya tetapi sebagai seorang aktor, dia diminta menyatukan emosi dengan watak yang dilakonkan.

“Saya rasa Hadeef sangat jujur dengan perasaannya sehinggakan dia sanggup melakukan perkara yang bodoh hanya kerana terlalu menyintai Roseida. Hasil pengamatan, saya percaya lelaki sebegitu memang wujud,” katanya menyimpan suspen agar penonton menghayati sendiri konflik kisah yang disiarkan setiap Isnin dan Selasa, pukul 8.30 malam itu.

Dalam perkembangan lain, Rusdi kini sedang menantikan kelahiran cahaya mata ketiga. Isterinya, Sharon kini hamil lima bulan. Hasil perkahwinan pertama, Rusdi mempunyai seorang anak lelaki bernama Efiezal Ridza, 22, manakala perkahwinan dengan Sharon dikurniakan seorang anak lelaki, Rio Ridza yang mencecah usia tiga tahun.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters