Jom Buat Duit

Monday 2 April 2012

Anuar Zain Selesa bergerak solo



ANUAR ZAIN satu nama yang cukup besar dalam industri hiburan tanah air. Lihat sahaja kejayaan yang dicapainya hari ini, bukan sedikit. Berbakul anugerah sudah berada dalam genggamannya. Auranya sebagai penyanyi juga cukup jelas kerana setiap single yang dikeluarkannya pasti mendapat tempat di hati peminat.

Bukan itu sahaja. Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar, 42, juga sering menjadi pilihan pengarah dan penerbit untuk menyanyikan lagu runut bunyi dalam filem-filem mereka termasuklah filem S.A.M (Saya Amat Mencintaimu) arahan pengarah muda, Shafiq Yusof yang dilakonkan oleh
Lisa Surihani dan Shaheizy Sam.

Bercakap mengenai perkara itu, beritahu Anuar yang ditemui di Beijing, China sewaktu menjalani penggambaran video muzik dua buah lagunya yang menjadi pilihan Shafiq, dia bersyukur dan berasa amat berbesar hati.

Ini kerana dua lagunya telah menjadi pilihan utama Syafiq untuk dijadikan sebagai lagu tema filem sulung arahannya itu.

Faktor usia Shafiq yang baru menginjak usia 20 tahun bukannya satu halangan untuk Anuar, malah, dia yakin pengarah muda itu mempunyai daya kreativiti dan kemampuan yang tinggi.
"Walaupun dia masih muda, saya tidak kisah untuk bekerja dengannya kerana bagi saya kerjasama antara saya dan Shafiq sesuatu perkara baharu yang bagus untuk pihak saya. Dia muda, mungkin cara kerja serta kreativitinya berbeza memberi nafas segar dalam karya yang melibatkan lagu-lagu saya," katanya.

Disoal kenapa Anuar bersetuju untuk bekerjasama dengan Shafiq saat dilamar oleh pihak Skop Production, jawabnya: "Sebenarnya menerusi bekerjasama dengan filem S.A.M situasinya menang-menang. Saya tidak perlu bersusah payah keluarkan duit untuk membikin sebuah muzik video, semuanya dilakukan secara percuma oleh pihak Skop Production.

"Apabila lagu-lagu saya itu dijadikan lagu runut bunyi untuk filem, ia juga mendapat publisiti secara percuma.
"Jadi keuntungan di pihak saya cukup besar dan saya lihat tiada salahnya untuk saya bekerjasama dengan Shafiq kerana dia memang bersungguh-sungguh untuk gunakan khidmat saya dalam filemnya itu."

Menyentuh tentang dua buah lagu yang dipilih oleh Shafiq iaitu berjudul Ajari Aku dan Sempurnakan Aku yang diambil daripada album berjudul Anuar Zain itu, kata Anuar dia cukup terkejut apabila diberitahu lagu-lagu tersebut yang menjadi pilihan Shafiq.
Ini kerana kedua-dua buah lagu itu masih belum disiarkan di radio.

Sebelum dua buah lagu itu, dua lagu lain daripada album tersebut iaitu Ku Berjanji Kerna Cinta, Cinta Harus Memiliki dipilih terlebih dahulu masing-masing sebagai single pertama dan kedua.
Menurut perancangan Anuar, Ajari Aku bakal menjadi single ketiganya. Bagaimanapun, lagu itu sukar mendapat slot di stesen radio.
SYAFIQ sedang mencari syot menarik untuk dimuatkan ke dalam video muzik Anuar Zain yang bakal digunakan untuk mempromosi filem S.A.M (Saya Amat Mencintaimu).
 
"Memang saya terkejut dua buah lagu itu yang menjadi pilihan Syafiq kerana Ajari Aku sebenarnya sukar mendapat slot di stesen radio, kata mereka lagu itu tidak menepati piawaian. Mungkin dengan kerjasama dengan Skop Production, Ajari Aku akan mendapat publisiti menerusi filem dan seterusnya radio," balasnya lagi.

Sebelum ini, lagu-lagu Anuar sering menjadi pilihan produksi filem yang bertemakan cinta.
Antara filem yang pernah menggunakan khidmat suara dan lagunya termasuklah Sedetik Lebih untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa, Perpisahan (Cinta), Andai (Bintang Hati), Soal Hati (Soal Hati).

Ditanya tidak mahukah dia menyatukan semua lagunya yang pernah menjadi lagu runut bunyi filem dalam sebuah album, jawabnya sambil tersenyum dan berfikir sejenak: "Bagus juga idea itu, saya tidak pernah terfikir mengenainya. Itu cadangan yang menarik. Selepas ini saya mula berusaha untuk menjayakan idea itu.

"Seperti lagu Andai, ia kurang mendapat publisiti. Siapa tahu jika saya satukan semua lagu itu dalam sebuah album, lagu yang kurang popular juga akan menjadi popular."
Episod hitam
ANUAR (tengah) bergambar kenangan di Beijing bersama kru penggambaran video muziknya dan pihak media.
 
Selepas Anuar memenangi kes saman terhadap syarikat rakaman yang menaungi dirinya sebelum ini iaitu Syncrosound Records Label Music Sdn. Bhd. dengan menerima royalti untuk dua buah album berjumlah RM18,859.38, Anuar kini lebih selesa bergerak solo tanpa terikat kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman.

Dia bukan sahaja penyanyi, malah bertindak selaku penerbit album, memilih sendiri lagu yang ingin dimuatkan ke dalam album serta memikirkan strategi pemasaran untuk sesebuah album.
Jelas Anuar, selepas segala episod hitam serta pengalamannya sebagai penyanyi, sudah tiba masa untuknya berdiri di atas kaki sendiri tanpa bergantung pada mana-mana pihak.
"Sebelum ini, saya cukup berhati-hati dengan Syncrosound Records tapi saya terkena juga. Saya anggap itu sebagai dugaan dan daripada apa yang berlaku saya belajarlah. Sekarang dengan usia 42 tahun dan pengalaman selama 15 tahun dalam industri seni dirasakan sudah cukup matang dan yakin untuk bergerak sendiri.

"Selepas melakukan semuanya sendiri, saya kini lebih tenang, jika ada masalah yang berlaku saya tidak boleh salahkan orang lain sebaliknya diri sendiri. Saya juga menimba banyak pengalaman yang sebelum ini saya serahkan kepada orang lain dan saya memang selesa dengan cara baharu ini," luah Anuar jujur.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters