Jom Buat Duit

Friday 9 March 2012

Li Ka-shing terkaya di Asia




HONG KONG: Taikun Hong Kong Li Ka-shing merampas semula kedudukan teratas sebagai lelaki terkaya Asia selepas tujuh tahun, mengetepikan Lakshimi Mittal dari India dalam senarai terbaru bilionair Forbes yang dikeluarkan, semalam.
Ka-shing yang berusia 83 tahun mempunyai harta bernilai AS$25.5 bilion (RM8 bilion), mengatasi ahli perniagaan keluli berpangkalan di London, Lakshimi yang kerugian $10.4 bilion (RM33.3 bilion) tahun lalu apabila saham dalam ArcelorMittal, pembuat keluli terbesar dunia menjunam. Lakshimi yang turut terkeluar daripada senarai 10 teratas dunia buat kali pertama sejak 2005 kini dianggarkan mempunyai harta bernilai $20.7 bilion (RM66.2 bilion).

Ka-shing yang mempunyai nama gelaran “superman” ekoran kejayaan perniagaannya dalam tempoh yang panjang memulakan perniagaan sebagai pembuat bunga plastik dan kini mempunyai empayar perniagaan yang meluas termasuk hartanah telekom, kemudahan awam, pelabuhan dan peruncitan.
Satu daripada setiap tujuh kediaman di Hong Kong, bandar raya di selatan China dibina oleh syarikatnya yang turut mengendalikan 70 peratus daripada pelabuhan bekas koloni Britain itu, menurut Forbes. Lelaki kedua terkaya Asia dalam senarai tahunan Forbes ialah warga India, Mukesh Ambani dengan harta bernilai $22.3 bilion (RM71.3 bilion). Hartanya berkurangan apabila saham daripada konglomerat minyak dan gas miliknya, Reliance Industries mengalami susut nilai ekoran kejatuhan pengeluaran gas.

Dalam senarai dunia, Ka-shing meningkat daripada tangga ke-11 kepada ke sembilan, manakala Mukesh dan Mittal menduduki tempat ke-19 dan ke-21. Sementara itu, taikun telekom Mexico, Carlos Slim berada di kedudukan teratas dalam senarai dunia dengan harta bernilai $69 bilion (RM220.8 bilion). - AFP

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters