Jom Buat Duit

Friday 9 March 2012

John Carter padat aksi, pengembaraan

pix_middle

BERJAYA membina kerjayanya sebagai pengarah dan penulis lakon layar bagi filem animasi dengan meraih pelbagai anugerah, Andrew Stanton lebih yakin dengan sentuhan terbarunya, John Carter yang mula menemui penonton di seluruh dunia.
John Carter yang mula ditayangkan di Malaysia mulai semalam, adalah karya epik fantasi membariskan pelakon popular dengan mengangkat penceritaan yang diterjemahkan daripada novel nukilan Edgar Rice Burroughs berjudul Princess of Mars, kira-kira 100 tahun lalu.

Filem yang menelan belanja sekitar AS$250 juta ini adalah percubaan sulung Stanton dalam filem epik kerana sebelum ini beliau terkenal menerusi karya animasi hebat termasuk Up, Toy Story, A Bug’s Life, Monsters Inc, Finding Nemo, The Incredibles, Cars, Ratatouille dan WALL-E.

Jelasnya yang ditemu bual penulis di hotel mewah Boulders Hotel & Golden Spa Door Resort, Arizona, John Carter bakal menjadi kayu pengukur terbaru buatnya.

Ia juga peluang terbaik terus mengukuhkan lagi kemampuannya baik sebagai penulis mahupun pengarah filem.
“Memang awalnya saya gementar dan bimbang kerana menghasilkan filem aksi fantasi sebegini . Ia adalah sesuatu yang sukar dan berdepan banyak risiko.
Mana tidaknya, ia memerlukan satu produksi yang komited dengan pemantauan teliti agar setiap gerak pelakon mengikut plot cerita.

“Karya animasi yang saya hasilkan sebelum ini tiada sebarang had atau sekatan dari segi imaginasi, namun kali ini ia membabitkan lakonan manusia dan bentuk yang berbeza.

“Ia harus relevan bentuk cerita dan rekaan set yang dicipta tenaga produksi.
Itulah antara cabaran yang harus saya lalui lebih-lebih lagi pihak Walt Disney sendiri sudah meletakkan sepenuh keyakinan buat diri saya.

“Saya ingin percubaan pertama ini akan menjadi sesuatu yang hebat kerana ramai pihak mahu melihat bagaimana hasil kerja saya dalam sebuah produksi filem bukan animasi.

“Saya mengharapkan supaya semua peminat filem saya sebelum ini datang menyaksikan karya saya kali ini dan menilai sejauh mana baiknya kesan visual yang kami buat,” katanya.

Filem ini mengisahkan perjalanan seorang pahlawan, John Carter yang secara magik tercampak ke Planet Barsoom yang juga dikenali sebagai Marikh.

Selain terpaksa berdepan dengan rasa janggal akan kehidupan pelik dan masyarakat yang pelbagai rupa di sana, Carter tiba-tiba terpaksa menjadi ketua yang memimpin puak di sana dalam menentang musuh yang ingin menghapuskan mereka.

Pelbagai kejadian yang berlaku hingga membuatkan Carter akhirnya bertemu puteri raja. Tidak setakat aksi dan babak cemas pertarungan, filem ini juga sarat dengan elemen drama dan percintaan.

Watak utamanya yang sarat elemen hero gagah dilakonkan bintang muda, Taylor Kitsch yang sebelum ini terkenal menerusi filem Snakes On A Plane, The Covenant, Gospel Hill dan X-Men Origins: Wolverine.

Selain Kitsch, filem yang turut memaparkan pelbagai kehidupan aneh di Marikh itu membariskan pelakon lain termasuk Lynn Collins, Willem Dafoe, Thomas Haden Church, Samantha Morton, Ciaran Hinds dan Mark Strong.

Mengakui gembira kerana berpeluang bekerja dengan barisan pelakon yang hebat dan tidak ada masalah dalam memenuhi permintaannya, Stanton melihat kebebasannya sebagai seorang penulis dan pengarah dimanfaatkan secara ‘total’.

“Persamaannya, saya masih lagi duduk berjam-jam bersama penyunting terutama dari segi teknikal dan kesan khas yang digunakan dalam filem ini. Terlalu banyak ‘green screen’ kami gunakan bagi mewujudkan suasana sebenar di planet yang pelik itu.

“Namun kelainannya, saya tidak boleh terlalu membayangkan sesuatu yang melangkaui kemampuan manusia kerana sebelum ini, semuanya watak kartun dalam filem saya. Saya perlu lebih kreatif dalam menyuntik rasa menarik kepada penonton dan memberi lebih fokus pada setiap watak yang saya bina. Itulah antara kekuatan sebenar John Carter.

“Uniknya kali ini, saya tidak lagi terikat dengan piawaian sebelum ini iaitu kebanyakan penonton yang mengikuti filem saya adalah kanak-kanak dan keluarga mereka. Lantas saya harus memastikan filem ini ada elemen kelakar agar kanak-kanak tidak akan ‘membenci’ saya,” katanya berjenaka.

Petang itu, sidang media yang dihadiri kira-kira 50 wakil media antarabangsa seluruh dunia itu berpeluang mendekati ramai pelakon utama filem John Carter termasuk pengarah dan produsernya.

Malah Stanton turut ditemani tiga penerbit yang mempertaruhkan jutaan ringgit pada kreativitinya iaitu Jim Morris, Colin Wilson dan Lindsey Collins.

Jelasnya lagi, John Carter juga adalah pertemuan kembali buatnya bersama tiga produser yang juga pernah bersama-sama menerima pengiktirafan sebelum ini menerusi Finding Nemo.

“Bukan lagi soal filem saja tapi pelaksanaan projek ini saya sifatkan sebagai gabungan semula bersama tiga penerbit yang sudah seperti keluarga saya sendiri.

“Morris, Wilson dan Collins adalah tiga produser yang tidak pernah berhenti daripada terus mempercayai hasil kerja saya. Mereka sentiasa menyokong dan yakin dengan apa saja keputusan yang saya lakukan.

“Oleh itu, saya seronok bekerja dengan mereka dan semua pelakon filem ini,” katanya yang berharap peminat di Asia juga akan menyokong filem menarik ini.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters