JIKA sebelum ini pendengar mungkin mengenali kumpulan duo Sleeq menerusi kolaborasi mereka dengan Ramlah Ram menerusi lagu Sesaat Kau Datang, atau paling tidak pun single Cun Saja.
Kini Sleeq kembali berkolaborasi tetapi dengan bintang YouTube, Najwa Latif pula menerusi lagu Untuk Dia.
Bukan itu sahaja, kumpulan hip hop dari Singapura itu turut bergandingan dengan Zizan Razak dan Dali Ahli Fikir menerusi lagu Tepi Sikit.
Barangkali sedikit mengejutkan ramai apabila duo itu turut berjaya mencuri tumpuan hero filem Ombak Rindu, Aaron Aziz untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu yang diberi judul Salam Semua untuk album ketiga Sleeq.
Pastinya kesemua kolaborasi tersebut membuatkan sesetengah pihak terfikir adakah kumpulan yang dianggotai oleh Alif Abdullah, 23, dan Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, 23, itu sekadar menumpang populariti artis lain yang sudah popular untuk turut meraih populariti?
Kosmo! berkesempatan bersua dengan kedua-dua jejaka yang masih mengikuti program perkhidmatan negara mereka sewaktu sesi fotografi yang diadakan di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini untuk menghurai persoalan tersebut.
Kosmo!: Bagaimana Sleeq boleh berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi berkenaan?
SLEEQ: Kami menjalankan sistem pertukaran dengan Najwa Latif. Dia mempelawa kami untuk berkolaborasi dalam sebuah lagu.
Jadi kami mencipta sebuah lagu untuk Najwa berjudul Sahabat dan dia menyumbangkan lirik dan suaranya untuk lagu Untuk Dia.
Sementara, kami pernah bekerjasama dengan Zizan dan Dali Ahli Fikir untuk projek sempena Hari Raya Aidilfitri tahun lalu dan lagu Tepi Sikit dirakam sejurus selepas kami saling mengenali. Aaron juga ada meminta untuk rap dalam lagu Salam Semua sewaktu pertama kali mendengar demo lagu itu di studio.
Tidakkah kolaborasi ini mendatangkan kesukaran terutama untuk membuat persembahan?
Kami rasa tiada masalah dari sudut itu memandangkan sudah banyak lagu kolaborasi dihasilkan hingga sekarang. Langkah terbaik adalah berbincang sebelum setiap kali menerima undangan membuat persembahan.
Bagaimana tercetus idea untuk menulis lirik?
Setiap lirik yang dihasilkan ikhlas daripada hati berdasarkan pengalaman dan kehidupan seharian. Mungkin melibatkan kisah cinta, kerjaya mahupun kesengsaraan dalam menempuhi ranjau kehidupan. Kebanyakan lirik lagu-lagu kami berkisar ke arah memberi kekuatan dan keyakinan diri.
Berkolaborasi dengan artis-artis popular mungkin juga dilihat sebagai satu kaedah untuk menumpang populariti? Komen anda?
Langsung tidak berniat begitu! Kami bekerjasama bukan sekadar artis tapi juga komposer dan pemuzik yang kami rasakan sekepala serta memenuhi kualiti kriteria yang mereka inginkan. Malah kami bukan memilih yang popular saja. Lagipun, kolaborasi ini dibuat demi konsep album ketiga kami.
Jadi, boleh ceritakan konsep album yang dimaksudkan.
Untuk album ketiga, kami menumpukan kolaborasi berbanding lagu solo. Daripada enam buah lagu dalam album itu, empat daripadanya menampilkan kolaborasi dengan mana-mana artis mahupun penyanyi. Insya-Allah album itu akan dilancarkan pada bulan September ini. Single pula akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.
Selepas ini adakah Sleeq ingin berkolaborasi dengan artis lain?
Sudah tentu! Antaranya Awie, Hazama dan Azlan. Kami meminati Awie sejak daripada kecil dan bercita-cita untuk berpadu suara dengannya.
Soalan akhir ini khusus untuk Ahmad Syarifullah. Dahulu anda pernah dikaitkan bercinta dengan penyanyi Amanda Imani tetapi kemudian putus? Sekarang sudah ada penggantikah?
Saya tidak mahu bercerita lanjut tentang perkara itu. Bagi saya tutup buku lama, buka buku baharu. Apa yang penting sekarang ini saya mahu fokus kepada karier seni saya ini.
No comments:
Post a Comment