Jom Buat Duit

Thursday, 26 April 2012

Jelmaan Aung San Suu Kyi



SOROTAN mata Yang Zi Chong atau nama pentasnya, Michelle Yeoh, 49, terpendam sejuta perasaan yang tidak terungkap kata-kata. Dia kelihatan cukup teruja sewaktu pertemuan di Hotel Ritz Carlton, Kuala Lumpur sempena promosi filem terbaharu lakonannya, The Lady baru-baru ini.
Ia jelas mencerminkan perasaan Michelle tatkala berada di tanah tumpah darah sendiri. Akuinya, dia sentiasa merindui tempat kelahirannya biarpun sering berkelana jauh di negara asing demi karier seninya.
"Saya sentiasa merindui Malaysia, ini tempat kelahiran saya. Perkara pertama yang akan saya buru adalah bihun kari, sudah pasti saya masih menggemari masakan tempatan," ujarnya.

Barangkali ramai tidak menyangka Ratu Malaysia 1983 itu merupakan satu-satunya aktres yang dibenarkan oleh aktor Jackie Chan melakukan lagak ngeri sendiri dalam setiap filem lakonannya.
Malah, Michelle yang dahulunya pernah menuntut di Royal Academy di London, United Kingdom seringkali mempamerkan aksi lincah seakan-akan gerak tari setiap kali berlakon.
Dalam pada itu, berbeza pula usaha yang dicurahkan Michelle untuk filem The Lady yang bakal menjengah pawagam pada 3 Mei ini.

Menerusi filem itu katanya, menuntut dia untuk lebih banyak bermain dengan pergolakan emosi dan jiwa sebagai seorang pemimpin wanita.
"Saya yang mahu merealisasikan watak Daw Suu (Aung San Suu Kyi) sejak empat tahun lalu. Selepas mendapat idea itu saya meminta pengurus saya mencarikan mana-mana produksi yang sudi menghasilkan filem biografi seperti ini.
"Muncul juga beberapa buah syarikat yang berminat tapi akhirnya saya memilih Luc Besson memandangkan dia merupakan seorang individu yang sangat saya kagumi berdasarkan hasil karyanya sebelum ini," katanya.
The Lady arahan Beeson yang merupakan pengarah terkenal Perancis itu mengisahkan bagaimana Aung San Suu Kyi berusaha keras mendesak keamanan dan demokrasi dipulihkan di Myanmar tanpa ada keganasan.

MICHELLE teruja berlakon di bawah arahan pengarah Perancis, Luc Beeson untuk filem The Lady.


Dalam pada itu, filem ini memaparkan kasih sayang dan pengorbanan pemimpin demokrasi itu yang dipisahkan dengan keluarganya dalam tempoh waktu yang panjang sebelum dibebaskan daripada tahanan di rumah sendiri.

Politik
Sangat besar cabaran untuk wanita kelahiran Ipoh, Perak itu untuk menghidupkan karakter Aung San Suu Kyi. Selaku seorang pemimpin yang disegani, Michelle juga harus berhati-hati memandangkan negara Myanmar masih belum stabil sepenuhnya dari segi politiknya.

Filem ini bagaimanapun mendapat tentangan hebat di negara China ekoran dakwaan bahawa perjuangan Aung San Suu Kyi menuntut demokrasi merupakan simbol ketakutan.
"Saya tidak melihat perkara itu bersifat politik. Mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini adalah kasih sayang dan keamanan. Malah ia bukan ancaman kepada mana-mana pihak.
"The Lady bercerita mengenai ikatan kekeluargaan yang teguh dan tentang betapa bernilainya sebuah demokrasi," katanya.

Michelle juga menegaskan bahawa dia tidak berminat untuk terlibat dalam politik walaupun dia tetap memerhatikan situasi politik dan pilihan raya yang berlaku di negara Myanmar.
"Filem ini menjalani penggambaran di Yangon, Myanmar dan beberapa kawasan di Thailand, jadi sudah pasti tempat-tempat itu menjadi sebahagian daripada diri saya.

MICHELLE mengakui sangat teruja pulang ke tanah kelahirannya, Malaysia.
 
"Saya masih ikuti perkembangan politik di sana tapi tidak sesekali berminat untuk terlibat dalam dunia itu," ungkapnya.
Dalam pada itu, Michelle secara berseloroh berkata: "Filem ini sepatutnya diberikan judul The Lady & The Gentleman kerana sokongan kuat sepanjang masa yang diberikan Michael Aris kepada Aung San."

Tukar rejim kehidupan
The Lady yang menjalani penggambaran pada tahun lalu turut berdepan beberapa kontroversi. Antaranya, ada beberapa nama pelakon dan kru yang terbabit tidak boleh dikreditkan.
"Pihak produksi bimbang akan keselamatan keluarga beberapa individu dari Myanmar dan utara Thailand yang membantu saya menjayakan filem ini, jadi langkah terbaik adalah tidak meletakkan nama mereka yang ada sesetengahnya merupakan pelarian," ujar Michelle.
The Lady menuntut pengorbanan yang besar daripada Michelle selaku pendukung watak utamanya. Katanya, dia terpaksa menukar rejim kehidupan hariannya lapan bulan sebelum memulakan penggambaran pada tahun lalu.

Michelle sebelum ini juga pernah bertemu dengan anak sebenar Aung San Suu Kyi iaitu Kim Aris di London. Ujar Kim ketika itu, ibunya memiliki badan yang lebih kurus berbanding Michelle.
Fakta itu menyebabkan Michelle terpaksa menurunkan berat badannya.
"Kalau biasanya saya bangun tidur pada pukul 6 pagi tapi saya awalkan dengan bangun pada pukul 4 pagi untuk melakukan aktiviti bersenam.

"Kemudian saya akan lakukan tugas seperti biasa. Pulang ke rumah saya akan sambung bersenam dalam masa lebih kurang dua jam. Ia bertujuan untuk menurunkan berat badan saya dengan cara yang betul.
"Selain itu, saya perlu kawal diet pemakanan saya dan melebihkan aktiviti kardiovaskular," katanya yang kehilangan hampir sembilan kilogram untuk mendapatkan sosok tubuh seperti Aung San Suu Kyi yang sebenar.

Malah, dia melantik seorang tutor bahasa Inggeris untuk mengajarnya bercakap dengan cara berhemah persis pemimpin pujaannya yang pernah memenangi hadiah Nobel Keamanan Dunia pada tahun 1991.
"Daw Suu miliki postur badan yang sangat menakjubkan, selama enam bulan saya berlatih untuk berdiri, duduk dan berjalan sepertinya.
"Dari segi bercakap pula saya ada melantik seorang tutor bahasa," cerita Michelle

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters