SEPERTI irama muzik lain, putaran muzik nasyid turut berdepan evolusi yang menyaksikan survival irama untuk disemarakkan dan dibiakkan oleh pejuang-pejuangnya. Boleh digelar jihad muzik untuk memekarkan bunga-bunga kerohanian dan cinta Ilahi dalam jiwa, penyanyi nasyid dari Malaysia sebenarnya sudah terukir di peta dunia hiburan Islamik dan disegani ramai.
Jika tidak kerana kukuhnya penerimaan peminat di tanah air terhadap irama itu, masakan penyanyi lagu-lagu kerohanian antarabangsa Maher Zain berkali-kali berkampung di Malaysia untuk membuat persembahan dan promosi album baharu.
Tahun 1996 hingga 2000 menyaksikan tahun gemilang kepada kuasa irama nasyid. Ketika itu, Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana dan In-Team antara yang tidak asing di bibir peminat, namun segalanya mulai menyusut dan kini penghormatan terhadap nasyid semakin tipis.
Pemansuhan kategori nasyid dalam pesta meraikan pencapaian artis dari segi populariti contohnya dalam Anugerah Bintang Popular baru-baru ini, memberi isyarat bahawa artis nasyid sudah hilang satu tempat di mata umum.
Tidak menunggu sehingga bertahun untuk memulihkan semangat para pejuangnya, penganjuran Anugerah Nasyeed.Com oleh Nasyeed Edutainment Publishing Sdn. Bhd. pada 13 dan 14 April lalu cukup memberi makna. Ia seperti sinar baru kepada muzik yang cukup indah penghayatannya terutama kepada pencinta lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian.
Buat julung kali diadakan, acara yang berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur itu turut mendapat ruang apabila ia disiarkan secara langsung oleh TV Islamik Malaysia, TV Alhijrah.
Penaung kehormat
Melihat penganjuran yang berjalan lancar bermula dari peringkat perbincangan, promosi dan jelajah sehingga malam anugerah, Pengasas Nasyeed.Com, Azmee Abdul Manap berkata, apa yang paling membanggakan adalah sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada setiap karyawan nasyid.
"Setiap minggu, ada sahaja kumpulan yang tidak tercalon ke peringkat akhir tetapi tetap hadir memberikan sokongan.
"Semangat itulah yang kami mahu. Anugerah sekadar memberi pengiktirafan tetapi apa yang lebih penting daripada itu ialah setia kawan, permuafakatan dan kerjasama. Penyanyi nasyid harus bersatu hati dalam apa jua perkara," kata Azmee.
Lebih menguatkan keyakinan, dunia nasyid tempatan sebenarnya tidak pernah pudar di mata seorang negarawan ulung bernama Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu sendiri menyifatkan dakwah melalui kesenian dan menanam rasa cinta terhadap Allah dan Rasul yang menjadi asas nasyid merupakan cara paling mudah untuk mengajak peminat ke arah kebaikan.
"Melukis dengan perkataan," itu antara pesanan yang diberikan oleh Tun Mahathir kepada para penyanyi nasyid yang datang berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Bersetuju menjadi penaung kehormat program Anugerah Nasyeed.Com kerana menganggap ia sebuah program yang baik, Mahathir menjelaskan beliau sudah lama berhasrat untuk membantu tetapi tidak didekati oleh mana-mana pihak.
"Saya bersyukur melihat kumpulan nasyid bergabung dalam satu badan. Bila berkumpul, lebih banyak kekuatan dan hikmah. Saya melihat nasyid adalah salah satu cara berkomunikasi dan dapat membawa pengetahuan kepada pihak lain."
"Kita akan mudah lupa. Jadi apabila kita suarakan pendapat atau informasi dengan berlagu, ia lebih mudah sampai dengan ingatan yang kemas. Nasyid ialah cara untuk menyampaikan mesej berkenaan agama. Perkataan mestilah tepat dan khalayak akan lebih faham tentang agama," ujar Mahathir yang mengamati perjalanan dunia nasyid dan menyifatkan muzik dan melodi nasyid dahulu kurang bervariasi.
"Saya sudah berusia 87 tahun dan telah banyak zaman saya lalui termasuk nasyid. Saya kesal muzik dari Barat menjadi pilihan orang kita. Lagu Barat dahulu boleh didengar kerana melodi dan liriknya yang baik tetapi tidak sekarang. Saya berharap kita dapat membina satu benteng daripada kemasukan lirik atau lagu yang bermoral rendah. Ini adalah satu tugas untuk ahli nasyid, bukan sahaja dari segi perkataan tetapi juga muzik. Saya harap para penyanyi nasyid dapat membina pendekatan ini dengan cara kita yang bermoral dan beretika," pesan Mahathir yang mahu lagu nasyid bukan sahaja diterima golongan Islam tetapi juga bukan Islam.
No comments:
Post a Comment