|
Beritahu wanita dengan nama penuh Nor'asikin Karman itu, faktor utama album impiannya itu tertangguh lama adalah kerana dia harus bertungkus-lumus selama empat tahun mengumpul duit untuk menyudahkan album tersebut selain dia sendiri mempersiap diri untuk bergelar seorang penyanyi.
Tidak bernaung di bawah mana-mana label, dia juga menjalani proses merakam lagu-lagunya yang dilakukan secara berperingkat.
Mengakui tempoh masa empat tahun itu agak lama dan terkadang membuat dia tidak sabar, namun dia akan segera muhasabah diri. Apa yang penting kata Norish, dia mahu album impiannya dihasilkan dengan sempurna.
"Saya mengaku pernah berputus asa dengan semua ini. Tapi, anak-anak yang telah mendengar lagu-lagu saya sebelum ini memberi semangat dengan mengatakan saya harus meneruskan usaha saya dan jangan hanya membuat kerja yang saya suka separuh jalan.
"Mereka juga tidak mahu saya hanya memainkan lagu di dalam bilik sahaja. Mereka tidak mahu saya biarkan impian saya untuk menjadi penyanyi terkubur begitu sahaja. Selain itu, rakan-rakan dan para peminat juga sering beri sokongan dan pendapat kepada saya dan mereka inilah yang membuat saya bertahan sehingga album ini berjaya disudahkan," cerita Norish sewaktu ditemui pada majlis pelancaran album Terus Melangkah yang diadakan di Vogue The Club, Mont Kiara, Petaling Jaya, Selangor.
Seperti membuktikan kata-katanya bahawa peminat yang menjadi kekuatannya untuk melahirkan album, hal itu terlihat jelas pada majlis pelancaran albumnya itu.
Ada peminat yang hadir bukan sahaja dari Semenanjung Malaysia, malah ada di kalangan mereka juga yang sanggup datang dari jauh seperti Sarawak dan Sabah serta Singapura.
Mengulas tentang sokongan yang diberikan peminatnya, Norish memberitahu sejujurnya dia hanya mahu melakukan sebuah majlis pelancaran album yang sederhana.
"Tidak pernah saya terfikir untuk membuat pelancaran di tempat gah begini. Saya sebenarnya ingin membuat majlis yang kecil yang hanya dihadiri oleh rakan media sahaja.
"Namun, ramai peminat yang ingin terlibat sama dan menghadiri serta memeriahkan majlis ini. Sebenarnya, majlis pada hari ini banyak yang ditaja oleh kawan-kawan dan peminat saya, malah, lokasi pelancaran ini juga ditaja," cerita Norish terharu dengan bantuan keluarga, rakan dan peminat yang dihulurkan kepadanya.
Jual album sendiri
Terus Melangkah memuatkan sebanyak enam buah lagu dan antaranya merupakan Rahsia Hati hasil ciptaan Julfekar, Terus Melangkah ciptaan Damien dan Norish sendiri menyumbangkan sebanyak tiga buah lagu antaranya adalah Pencinta dan Kasihku Selamanya.
"Semua lirik yang dihasilkan dalam album ini merupakan curahan hati serta pengalaman pahit dan manis saya sepanjang bergelar anak seni, seorang ibu dan wanita. Seperti lagu Kasihku Selamanya, saya hasilkan lagu ini khas buat bekas anak tiri saya," ujarnya tentang album yang dijual pada harga RM24.90.
Tambah Norish, album sulungnya itu tidak dijual di kedai muzik, sebaliknya sesiapa yang berminat boleh membeli terus daripadanya sendiri.
"Peminat juga boleh berhubung dengan saya melalui laman Facebook untuk membeli album ini selain dijual ketika saya mengadakan persembahan di mana-mana," katanya lagi.
Sementara itu, dia bakal mengadakan siri jelajah bagi mempromosi albumnya ini di seluruh Malaysia dan akan ke Brunei sebagai lokasi pertama. Ujar Norish, dia sendiri akan turun padang untuk menjual album pertama kepada peminat.
"Saya akan menjual album sendiri sambil menghiburkan peminat. Sayalah seniman jalanan," jelas Norish ringkas mengenai karier yang baru dibinanya ini.
Bersaing
Biar telah memaklumkan dia melahirkan album tersebut kerana minat, namun ramai yang tertanya-tanya, apa yang memberi keyakinan kepada Norish untuk menjadi penyanyi sedangkan kini ramai pelapis muda yang bersaing dalam industri muzik tempatan.
Menjawab persoalan tersebut, jelas wanita berusia 38 tahun ini, kehadirannya sebagai penyanyi baharu dalam bidang muzik bukan untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi sedia ada.
Ujarnya: "Saya tidak bersaing dengan mereka. Saya tahu saya punya platform dan pengikut sendiri yang sangat kuat menyokong karier seni saya, tidak kira dalam bidang lakonan mahupun nyanyian."
Tambahnya lagi, dia sedar pasti ada yang bertanya tentang kualiti vokalnya sebagai penyanyi.
"Jawapannya hanya akan anda peroleh apabila membeli album saya," katanya yang juga memberitahu perjuangan tidak boleh dihentikan hanya kerana takut bersaing dengan penyanyi sedia ada atau generasi baharu.
No comments:
Post a Comment