Jom Buat Duit
Wednesday, 25 April 2012
Duet Datuk Siti Dan Sami Yusuf
NAMA Sami Yusuf barangkali sudah tenggelam bagi peminat di Malaysia lantaran fenomena Maher Zain. Hakikatnya, penyanyi Muslim kacukan Teheran-British itu muncul lebih awal di Malaysia bersama album pertamanya, Al-Mu'allim iaitu sekitar tahun 2003.
Setelah kemunculan lebih ramai penyanyi yang menyampaikan lagu genre ketuhanan, namanya kian pudar. Tidak mudah mengalah, Sami Yusuf, 31, kini akan muncul dengan album keempatnya, Salaam yang bakal memuatkan sembilan buah lagu termasuk sebuah lagu yang dirakamkan bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Ujarnya, memilih penyanyi nombor satu negara itu sebagai rakan duet merupakan langkah bijak menyatukan muzik dua benua Eropah dan Asia untuk album yang kemungkinan besar dikeluarkan pada bulan Jun nanti.
"Dia (Siti) merupakan seorang penyanyi berbakat yang sangat hebat dan mengagumkan! Dia mempunyai aura serta kelembutan sebagai penghibur sejati.
"Saya bakal beraksi bersama Siti dalam konsert di Singapura dan Kuala Lumpur menjelang Julai ini," ujar Sami yang ditemui ketika sidang akhbar di Restoran Hadramawt, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambahnya, lagu berjudul You Came To Me yang diciptanya sebelum datang ke Malaysia itu dinyanyikan dalam tiga versi iaitu bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab.
Malah, sebahagian daripada lirik berbahasa Melayu dalam lagu itu mendapat kerjasama daripada komposer berbakat, Yasin Sulaiman.
"Lagu ini sangat cantik susunan muziknya, ia menyuntik elemen tradisional yang sesuai dengan genre muzik yang saya bawa," kata penyanyi merangkap penulis lirik dan komposer yang memperkenalkan genre muzik yang dikenali sebagai spiritique itu.
Sewaktu ditemui ketika sedang merakamkan lagu tersebut bersama Sami di Studio Harem, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu, kata Siti, dia tidak mengambil masa yang panjang untuk menerima pelawaan Sami.
"Rugi untuk melepaskan peluang merakamkan sebuah lagu bercorak kerohanian secara duet dengan Sami.
"Siti juga sangat teruja kerana dapat mendendangkan lagu yang mempunyai melodi dan lirik yang indah dalam tiga bahasa ini, " ucap Siti.
Bintang rock Islam
Usai album pertamanya yang mendapat kejayaan sehingga diiktiraf Bintang Rock Islam oleh majalah berprestij di peringkat global iaitu Time, Sami tampil dengan buah tangan berikutnya berjudul My Ummah dan Wherever You Are.
Malah, ada beberapa lagu dalam album terdahulunya dinyanyikan dalam pelbagai bahasa antaranya, bahasa Parsi, Turki, Urdu dan Azeri.
Tidak banyak bezanya album keempat Sami berbanding album sebelum ini, katanya, apa yang membezakan adalah kematangan usia dirinya dan albumnya.
"Kalau dilihat dari segi revolusi muzik, tidak jauh berbeza kerana album ini masih dalam genre spritique, cuma apa yang berbezanya sudah tentu usia saya.
"Idea masih sama iaitu untuk menyatupadukan keamanan dan kasih sayang sesama manusia," ujar Sami yang lebih gemar mendengar muzik-muzik klasik.
Dalam pada itu, Sami turut memuji kumpulan nasyid Raihan yang diamatinya sangat berkembang dari segi muzik yang dibawa.
"Satu-satunya lagu kumpulan nasyid yang saya suka dengar semestinya kumpulan Raihan. Muziknya sangat berevolusi dan industri muzik Malaysia sepatutnya berbangga memiliki mereka (Raihan)," katanya.
Banyak kejutan
Selaras dengan pelancaran album keempatnya itu, Sami dijadualkan beraksi dalam konsert khas yang diberi nama Konsert Salaam Sami Yusuf bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam pada 14 Julai ini.
Sebelum itu, dia bakal menghiburkan peminat-peminatnya di Stadium Tertutup Singapura pada 8 Julai melalui konsert debutnya.
"Banyak kejutan akan ditampilkan khusus untuk konsert yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini. Sebanyak 18 buah lagu akan saya nyanyikan dan selebihnya perlu tunggu pada tarikh tersebut," janji pemilik syarikat rakaman Andante yang baru ditubuhkan itu.
Konsert Salaam Sami Yusuf dibawakan oleh Offshore Entertainment Production dengan kerjasama Shue Ellis Communication.
Sami kini berada di Salle Omnisports of Radès, Tunisia untuk konsert jelajah terakhir di sana sebelum ke Singapura dan Malaysia tidak lama lagi.
Tiket berharga serendah RM55 sudah mula dijual dan maklumat lanjut layari laman sesawang www.shuellis.com atau www.samiyusufofficial.com. - KHAIRUL AMRI HASSAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment