Jom Buat Duit

Monday, 2 April 2012

Hetty tetap terulung


HETTY kini memilih untuk mengadakan persembahan pada majlis-majlis amal sahaja.


KASIH, Kuda Hitam, Hati Lebur Jadi Debu dan Panti Asuhan merupakan secebis daripada 138 buah lagu yang pernah didendangkan oleh penyanyi tersohor Indonesia, Hetty Koes Endang sepanjang penglibatannya dalam dunia seni suara selama 42 tahun.

Masih popular dan bertenaga biar usianya kini sudah mencecah 55 tahun, pemilik nama sebenar Hetty Koes Madewy itu baru-baru ini sukses menghiburkan lebih 1,000 penonton yang hadir sempena Malam Gala Amal Kaseh di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur hujung minggu lalu.

Membuka persembahan dengan lagu Panti Asuhan diiringi rangkaian lagu-lagu yang melonjakkan namanya seperti Marilah Kemari, Tak Ingin Sendiri, Rindu, Hati Lebur Jadi Debu, Melodi Perpisahan, Jangan Ditanya, Cinta dan Kemesraan Ini Jangan Cepat Berlalu, pastinya tidak lengkap tanpa lagu Kasih dan Kuda Hitam.

Menganggap Malaysia khususnya Kuala Lumpur seperti rumah keduanya, isteri kepada Yusuf Erwin Faisal itu bagaimanapun kini lebih cerewet memilih jenis majlis yang melibatkannya membuat persembahan.

"Cinta saya kini untuk persembahan amal, bukan lagi komersial," tegasnya yang ditemui selepas usai membuat persembahan baru-baru ini.
Malah, dia merasakan dirinya bukan lagi seorang penyanyi sebaliknya sekadar seorang suri rumah yang masih boleh menyanyi.

Sudah diistilahkan bersara daripada membuat persembahan di negaranya sendiri, Indonesia, kata Hetty lagi dia perlu memohon keizinan anak-anaknya sebelum membuat sebarang keputusan untuk membuat persembahan di Malaysia, Singapura dan Brunei.
"Saya sentiasa rindu akan suasana di Kuala Lumpur. Kalau di Indonesia saya hanya memberikan tumpuan kepada perniagaan dan urusan keluarga sahaja, tidak lagi membuat persembahan nyanyian," ujarnya yang memiliki perniagaan perabot kayu di Jakarta, Indonesia.

Hetty yang diiringi pemuzik yang dikendalikan rakan karibnya sejak 29 tahun lalu, Datuk Ramli M.S menjelaskan faktor itu turut menjadi prioriti untuk dia membuat persembahan di Malaysia.
"Saya bekerja bersama Ramli (Datuk Ramli M.S) sudah lama. Kebanyakan persembahan saya melantik dia sebagai pengarah muzik. Kami serasi dan dia tahu apa yang saya mahukan," tambah ibu kepada empat cahaya mata itu.

Sementara itu, ujar Hetty lagi, stamina dan kudrat yang dimiliki untuk menghiburkan orang ramai
terutama peminatnya merupakan kurniaan daripada Allah.
"Kalau dulu saya istilahkan jadual seharian saya seperti ada 50 hari dalam sebulan, maknanya saya terima acara pagi dan petang, itu barangkali sumber inspirasi saya bertahan hingga sekarang," ceritanya yang mengakui kekuatannya turut meraih inspirasi semangat dan doa para peminatnya.
Mentafsirkan jiwanya lebih ke arah lagu-lagu pop seperti lagu Cinta yang dinyanyikannya pada malam itu, tambah Hetty, karakter berbeza memainkan peranan penting sepanjang proses rakaman dalam studio setiap kali membikin album.

"Biasanya saya akan bermula dengan menyanyikan lagu pop pada awal pagi sewaktu masuk studio rakaman, kemudian pada petangnya dangdut dan malamnya pula baru mood keroncong," katanya yang mengakui dia tidak memerlukan tempoh yang panjang untuk menyiapkan proses rakaman setiap albumnya.

Hetty juga sebelum ini pernah mengikuti kelas belajar teknik nyanyian lagu klasikal selama enam bulan bertujuan mempelajari teknik dan sebutan dalam nyanyian.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters