DI samping berita baik siri televisyen lakonannya, Smash disambung untuk musim kedua, pelakon teater yang mencipta nama di pentas Broadway, Megan Hilty mendapat durian runtuh apabila meraih tawaran kontrak rakaman album daripada anak syarikat Sony, Masterworks.
Hilty kini sebumbung dengan rakan gandingannya dalam Smash, Katharine McPhee, selain Wilson Philips dan Kristin Chenoweth. Menurut Hollywood Reporter, belum diketahui bilakah tarikh albumnya akan diterbitkan, namun Hilty kini sedang sibuk merakam lagu di studio.
Beritahu Hilty kepada MTV News: "Saya kini bakal mengikut jejak karier Kristin Chenoweth yang menjalani transisi daripada sensasi Broadway kepada aktres dan penyanyi. Dia telah menemui kunci untuk memanjangkan hayat karier seninya dalam bisnes hiburan dengan melakukan apa sahaja atas nama seni dan sentiasa memastikan diri kekal relevan dengan kehendak pasaran. Saya kini berada di landasan yang sama dengan Kristin."
Sebelum kemunculannya dalam Smash, Hilty pernah membintangi produksi Broadway mega seperti Wicked dan 9 to 5. Sebelum meraih watak penting dalam Smash, Hilty muncul sebagai pelakon undangan dalam siri TV Desperate Housewives, Ugly Betty dan siri Disney, The Suite Life of Zack and Cody.
Tambahnya: "Ia (pencapaian) bukan sesuatu yang saya pernah terfikir sesuatu yang pasti berlaku. Saya selalu fikir berlakon di pentas Broadway adalah matlamat kemuncak karier seni saya, namun tidak sangka dapat mengembangkan lagi bakat seni saya ini ke layar kaca dan seterusnya menjadi penyanyi rakaman."
No comments:
Post a Comment