Jom Buat Duit

Wednesday 9 May 2012

Impian Awal, Scha terlaksana



AWAL dan Scha bersedia menimang cahaya mata pada bila-bila masa jika diizinkan Tuhan.


Setelah hampir tiga tahun menyulam cinta bersama, tanggal 4 Mei 2012 pastinya menjadi hari paling bermakna buat pasangan popular Ahmad Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal dan Scha atau lebih dikenali sebagai Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 29.
Kedua-duanya kini sah menjadi pasangan suami isteri apabila diijabkabulkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Mahadzir Syed Kechik Alyahya dengan disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya, Mohd. Salman Idrus dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Pullman Putrajaya Lakeside.

Pada majlis yang dihadiri seramai 250 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kedua-dua belah pihak, Scha kelihatan cukup anggun dengan busana baju kurung moden berwarna putih rekaan Syaiful Baharim manakala Awal yang segak mengenakan baju Melayu rekaan pereka sama.
Awal yang ditemui selepas berakhirnya acara berinai meluahkan rasa bersyukur apabila penantiannya untuk bergelar suami kepada wanita yang paling dicintai telah terlaksana.

“Alhamdulillah, saya berasa lega kerana semuanya berjalan dengan lancar dan Scha telah pun menjadi isteri saya yang sah. Sudah tentu hari ini merupakan detik bersejarah buat kami berdua.
“Pada mulanya saya berasa sangat berdebar ketika hendak akad nikah, namun perasaan itu hilang apabila saya dapat melakukannya dengan sekali lafaz sahaja,” ujar Awal yang tidak dapat menahan sebak.

Pada majlis berkenaan, Scha menerima RM2050 sebagai mas kahwin serta tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada set barang kemas, sirih junjung, senaskhah al-Quran, kek, baju, kasut dan beg tangan.

Awal pula menerima sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada sirih junjung, senaskhah al-Quran, sebuah komputer riba, dompet, kasut, seutas jam tangan, sepasang baju Melayu, coklat dan kek.

Bagaimanapun, pasangan tersebut sepakat untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.
Menurut Awal, kehadiran Scha kini seolah-olah telah melengkapkan perjalanan hidupnya dan tidak menyangka wanita yang pernah menjadi pujaan suatu masa dahulu telah menjadi isterinya.
Sebagai pasangan yang sama-sama berkecimpung dalam bidang seni, Awal memberitahu dia tidak akan menyekat Scha untuk terus aktif dalam bidang seni, asalkan tahu menjaga batasan sebagai seorang isteri dan menjaga nama baik keluarga.

SCHA berharap peminat akan terus menyokong karier seninya. Awal pula tidak menghalang Scha untuk terus aktif berlakon.
 
“Sudah tentu kami akan melalui fasa kehidupan yang berbeza selepas berumah tangga dan tanggung jawab juga semakin bertambah. Namun, kami akan cuba untuk sentiasa bersabar dan bertolak ansur dalam sebarang perkara,” ujarnya.

Sementara itu, Scha yang turut berada di samping suami tercinta sewaktu sidang akhbar mengakui sukar untuk menggambarkan perasaannya apabila kini dia sudah bertukar status kepada isteri.
Ujar Scha, biarpun sekarang dia dan Awal sudah bergelar pasangan suami isteri, namun dia tetap berharap agar terus mendapat sokongan dan doa daripada para peminat.
“Mengenai hasrat untuk memiliki anak pula kami memang tidak pernah merancang. Kami bersedia untuk menimang cahaya pada bila-bila masa dan semuanya terpulang pada rezeki,” jelasnya.

Mohon maaf
Mengikut perancangan awal majlis akad nikah Awal dan Scha sepatutnya disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam menerusi dua saluran iaitu Astro Ria dan Astro Awani.
Bagaimanapun, penantian peminat yang sudah menunggu di hadapan kaca televisyen untuk menyaksikan acara tersebut hampa apabila ia tidak dapat disiarkan kerana masalah teknikal.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Awal sendiri langsung tidak menyangka masalah tersebut boleh berlaku dan memohon maaf kepada para penonton yang sudah menunggu majlis akad nikahnya itu.
“Saya tahu ramai penonton yang kecewa dan tidak sangka masalah ini akan berlaku kerana ia sudah diwar-warkan. Kalau boleh saya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak kerana semuanya sudah berusaha keras untuk menjayakannya,” ujarnya.

Mengakui turut kecewa dengan masalah yang berlaku sehingga menghampakan penonton yang sudah menanti lama untuk menonton majlis tersebut, Awal berharap agar masalah yang sama tidak akan terjadi lagi pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters