BUMI Sarawak terkenal dengan kisah kepahlawanan unggul yang dapat
dilihat sebagai contohnya daripada perjuangan pemimpin keamanan suatu
ketika dahulu seperti Rentap, Kanang atau Syariff Masahor.
Darah tokoh-tokoh kepahlawanan itu nyata terus semarak dalam jati
diri anak seni tempatan yang berasal dari tanah yang terkenal dengan
jolokan Bumi Kenyalang itu untuk berjuang dalam industri seni tanah air.
Lihat sahaja nama-nama seperti Dayang Nurfaizah, Camelia, Rem, Deja
Moss atau wajah-wajah baharu antaranya Bob AF2, Hafiz serta pasangan
adik-beradik yang menyertai program Mentor 4, Ila Damia dan Adi,
masing-masing memiliki pendirian untuk kekal meraih sukses dengan cara
tersendiri.
Malah jika diimbas kembali nama Sarawak cukup popular sebagai suatu
legasi apabila karyawan filem hitam putih Melayu, Mohammad Sulaiman,
anak kelahiran Pulau Pinang mengahwini wanita Sarawak sebelum
dikurniakan anak yang kemudian muncul sebagai primadona filem Melayu
tersohor, Siput Sarawak.
Nama Sarawak kemudian kekal menjadi legasi menerusi anak Siput
Sarawak iaitu Anita Sarawak yang muncul sebagai penghibur bertaraf
antarabangsa.
Izyan Alirahman, 26, atau nama pentasnya Zee Avi merupakan nama yang
cukup kuat mewakili artis Sarawak. Mencipta nama di persada antarabangsa
termasuklah Hollywood, dia antara penghibur muda yang bangkit daripada
kepesatan teknologi YouTube.
Penyanyi berasal dari Miri, Sarawak itu kini bernaung di bawah
syarikat rakaman Jack Johnson's Brushfire Records dan label Ian Montone
dan telah menghasilkan album keduanya, Ghostbird yang sedang hangat
mendapat sambutan di Amerika Syarikat.
"Sudah tentu saya masih merindui tanah kelahiran saya, Sarawak dan
saya masih sedar akan asal-usul saya biarpun sudah jauh merantau ke
negara orang," ujarnya ketika pertemuan dengannya sebelum ini.
Zee Avi terkenal dengan muzik jazz diiringi petikan ukulele yang menjadi tanda dagangnya sejak memasuki industri muzik.
Bagi Dayang Nurfaizah atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang
Dowty pula, prinsip survival sebagai anak seni baginya adalah percaya
pada kelebihan diri sendiri.
"Saya minat menyanyi sejak usia kecil lagi dan syukur Alhamdulillah
bakat saya dicungkil daripada beberapa pertandingan nyanyian ketika
remaja.
"Saya berpegang pada prinsip kerja keras, menghargai sokongan
individu sekeliling dan percaya pada kekuatan muzik," ujar pelantun lagu
Seandainya Masih Ada Cinta yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.
DAYANG NURFAIZAH antara artis yang memiliki kredibiliti yang disegani.
Diam-diam ubi berisi
Pelita di Bawah Purnama ciptaan Ajai dan liriknya oleh Slen suatu
masa dahulu pernah mencetuskan fenomena dan tidak dinafikan menjadi
siulan.
Bagi pelantun lagu itu, Dayang Erema atau nama sebenarnya Dayang
Zaira Erema Awang Moshdad, 28, dia mengakui akan hakikat itu dan
kehilangannya selepas memulakan institusi kekeluargaan bersama penulis
lirik terkenal, Allahyarham Seri Bayu bukan kerana merajuk.
"Saya masih ada dan menjalani kehidupan sediakala seperti insan lain.
Sekarang saya lebih banyak terima tawaran menyanyi untuk majlis atau
acara-acara korporat.
"Buat masa sekarang saya sedang mencari material untuk single akan
datang dan saya perlu lebih selektif dari segi pemilihan lagu, kerana
itu peminat fikir saya sudah menghilangkan diri," kata anak kelahiran
Kuching, Sarawak itu ketika dihubungi baru-baru ini.
Selain itu, Camelia atau nama sebenarnya Dayang Noor Camelia Abang
Khalid, 38, suatu ketika dahulu pernah mencuri perhatian menerusi
rangkaian lagu seperti Rindu Padanya, Erti Kehidupan, Dengarlah Kasih,
Memori dan Terlanjur Sayang.
Namun, sejak dia dikatakan mendirikan rumah tangga dengan seorang
usahawan berpangkat Datuk pada tahun 2010, kelibatnya dari persada seni
terus lesap.
Sebelum itu, Camelia pernah mendirikan rumah tangga dengan Ehsan Tun
Ahmad Zaidi Adruce, namun rumah tangga mereka tidak mampu bertahan lama
apabila berpisah pada November 1999.
Pengacara program dekorasi kediaman, Casa Impian yang berasal dari
Kuching, Sarawak itu pernah bergelar duta produk L'Oreal, Tag Heuer,
Wacoal, Epson, Pantene dan Omega dan turut dinobatkan Artis Baru Terbaik
& Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) pada Anugerah
Industri Muzik (AIM) 1998.
Selain Camelia, penyanyi bersuara serak basah, Rem atau nama
sebenarnya Ramzani Kassim pernah hadir menyinari laman hiburan tempatan
dengan lagu-lagu seperti Selingkar Kasih, Erti Kasih, Hampa dan Semua
Orang Tahu.
Rem yang kini menetap di Kuala Lumpur akan muncul bersama single terbaharunya, Nanti Bila Kaya.
Bisnes
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Di Matamu Aku, Di Jiwamu Dia,
Sharifah Hadijah Wan Moss atau nama pentasnya Deja Moss juga antara
penghibur yang mencipta namanya dalam industri muzik sekitar tahun
1990-an.
Biarpun namanya kini tidak popular seperti dahulu, Deja kini memiliki
bisnes kek lapis yang dijalankan di Kafe Hadeeja miliknya di Ukay
Perdana, Selangor.
"Alhamdulillah, sekarang saya lebih fokuskan bisnes masakan Sarawak.
Pada bulan Julai ini saya akan terbitkan buku resipi Masakan Sarawak
& Kek Lapis Selera Deja Moss," ujarnya.
Pelapis baharu
CAMELIA
|
Usaha yang sama dilakukan oleh penyanyi yang pernah popular dengan
lagu Langit Ke Tujuh, Sharifah Zarina Wan Hassan, 31, yang menjalankan
perniagaan bubur pedas Sarawak di Restoran Baso Sapi Asli di Plaza
Mentari, Bandar Sunway, Selangor.
"Namun, perniagaan itu tidak kekal kerana berdepan masalah tenaga
kerja dari Indonesia. Sebelum itu restoran yang khas menjual masakan
Sarawak telah membuka dua cawangan di Wangsa Maju dan Bandar Sunway,"
katanya yang bakal muncul bersama single terbaharu berjudul Memandang
Awan ciptaan Muhammad Ashraf Aasimudin.
Kegemilangan kumpulan Hujan berbekalkan kualiti muzik dan vokal
penyanyi utamanya Noh atau Mohammad Noh Salleh memang tidak disangkal
keupayaannya.
Noh yang berasal dari Miri, Sarawak, bukan saja berhasil mencorakkan
kehidupan peribadi bersama Mizz Nina, malah dia juga menjamin kariernya
menuju haluan yang betul.
Tidak kurang juga kemunculan beberapa artis baharu lain dari Bumi Kenyalang seperti juara Anugerah Juara Lagu ke-26, Hafiz AF7.
Industri hiburan tanah air juga dicorakkan dengan kelahiran bintang
daripada program realiti Mentor contohnya Ila Damia dan Adi Mentor 4.
Sebelum kehadiran mereka juga, beberapa penghibur tanah air seperti
Bob, Rizal, Daus, Farina dan Amir Jahari turut lahir daripada program
realiti nyanyian, Akademi Fantasia.
Malah, juara Pilih Kasih musim kedua, Livonia Ricky Guing merupakan anak jati Kuching, Sarawak yang semakin bersinar bintangnya.
No comments:
Post a Comment