Jom Buat Duit
Friday, 11 May 2012
Bingkisan Jamal buat kaum ibu
PENYANYI tersohor, Jamal Abdillah, 52, tidak pernah putus dengan tawaran biarpun kini penyanyi baharu tumbuh bak cendawan selepas hujan. Ini kerana, suara hebat dan aura yang dimiliki Jamal sentiasa memukau peminat-peminat tak kira lapisan umur.
Sejak awal tahun ini, Jamal menerima banyak tawaran daripada pihak penganjur yang mahu penyanyi itu mengadakan persembahan sempena Minggu Setiausaha, Hari Ibu dan Hari Bapa menjelang Jun nanti.
Malah, buat tahun ketiga berturut-turut Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memanggil Jamal untuk meraikan sambutan Hari Ibu di sana. Menggunakan tema Kasihnya Ibu...kembali lagi, majlis sambutan Hari Ibu anjuran PWTC bersama Wyn Wyn Events itu akan diadakan di Dewan Tun Dr. Ismail, PWTC pada 13 Mei ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PWTC, Datuk Maxson Abdullah H. Jaafar, mereka sekali lagi memilih Jamal untuk tiga tahun berturut-turut kerana rata-rata tetamu yang hadir mahukan Jamal sekali lagi untuk sambutan Hari Ibu di PWTC.
“Kami baru sahaja membuka meja tempahan dua minggu lalu, tetapi sebanyak 50 peratus meja telah habis dijual,” ujarnya ketika sidang akhbar Sambutan Hari Ibu bersama Jamal Abdillah di PWTC, Kuala Lumpur.
Ujar Jamal pula, dia sangat berbesar hati kerana dipilih sekali lagi oleh PWTC untuk menjayakan Hari Ibu.
Dia yang mengharapkan dapat meninggalkan kenangan manis buat para ibu, akan menyanyi sekurang-kurangnya 12 buah lagu termasuk mengadakan persembahan secara unplugged dan bermain piano!
“Saya akan menyanyikan beberapa lagu secara unplugged dan sudah semestinya lagu wajib, Kasihnya Ibu dan Syurga Di Telapak Kaki Ibu akan dinyanyikan.
“Tahun ini, saya akan tampil bersama pemain saksafon, Timer. Saya juga akan menyanyi sambil memetik piano dan gitar,” tuturnya.
Sambung bicara, Maxson memberitahu, untuk bufet hi-tea pada hari itu, pasukan chef PWTC akan menyediakan pelbagai masakan istimewa antaranya pilihan hidangan makanan Barat seperti kambing panggang dan pasta serta bolognaise.
“Bagi sajian Melayu pula antara hidangan utama adalah mi kari dan nasi goreng kampung. Bukan itu sahaja kami juga menyediakan hidangan masakan India dan Cina seperti pai ayam tandoori, empat jenis manisan India, yong tau fu, dim sum dan kuetiau goreng,” jelasnya.
Majlis petang itu turut diceriakan lagi dengan usikan dan lawak jenaka oleh Syed Muradzi Syed Shamsul atau lebih dikenali sebagai Dee yang turut dipilih sebagai pengacara majlis pada hari itu.
Tempahan meja untuk 10 tetamu adalah dari RM2,000, RM3,000 dan RM5,000.
Bagi para peminat yang ingin bertemu dan menyaksikan persembahan Jamal, boleh membuah tempahan meja di kaunter tempahan, aras 2, PWTC atau melalui talian 03- 2614 6701 atau 03- 2614 6702.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment