SELEPAS berpisah dengan suaminya Seal, beberapa bulan lalu, model Heidi Klum belum memberi sebarang kenyataan kepada media mengenai keruntuhan rumah tangga yang mereka bina selama tujuh tahun itu.
Bagaimanapun, baru-baru ini Klum yang juga merupakan hos program realiti Project Runway akhirnya membuka mulut. Wanita berusia 38 tahun itu memberitahu majalah Elle bahawa dia sekarang mahu menjalani sebuah kehidupan baharu.
Katanya lagi, sepanjang berkahwin dengan penyanyi tersebut dan memiliki empat cahaya mata, mereka memang ada berhadapan dengan masalah dan bergaduh, namun ia bukan hal yang elok untuk diceritakan kepada umum, walaupun selepas mereka kini sah bercerai.
"Saya tidak mahu bercakap tentang siapa yang lukakan siapa. Saya juga tak mahu bercakap tentang sisi negatif atau positif sepanjang kami hidup bersama sebab saya percaya semua pasangan yang berkahwin melalui situasi yang serupa. Malangnya, kami tidak berjaya dan lebih malang kami menjadi perhatian kerana kami merupakan selebriti," ujar Klum yang juga memberitahu, dia tidak mampu menghalang Seal untuk terus bercerita tentang masalah rumah tangga mereka kepada umum.
Klum bagaimanapun berkata, apa yang lebih penting dalam kehidupannya kini adalah untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Sebagai ibu kepada empat orang anak, dengan tegas dia berkata: "Saya hanya mahu memulakan hidup baharu dan tidak akan bercakap tentang dia (Seal) lagi."
Biar nampak begitu tegas menyembunyikan kisah rumah tangga mereka, Klum tetap mengakui bahawa dia sangat terluka dengan perceraian tersebut.
No comments:
Post a Comment