MENYAKSIKAN pelakon, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal hadir berpimpin
tangan ke majlis ulang tahun TV3 yang ke-30 di Sri Pentas Bandar Utama
Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini, jelas membayangkan pasangan suami
isteri itu sedang bahagia menjalani fasa kehidupan berumah tangga.
Tiada lagi garis-garis luka pada wajah Wawa, sebaliknya wanita
berusia 22 tahun itu cukup berseri berkongsi cerita mengenai kehidupan
bahagia yang dilalui mereka pada hari ini.
Cukuplah kontroversi yang melanda dirinya dan suami ekoran
menyembunyikan perkahwinan pada tahun lalu itu lenyap di telan masa.
Cinta mereka, cinta duka yang berakhir dengan bahagia.
"Saya tidak berasa sedih atau terkenang lagi kejadian yang berlaku
sebelum ini. Saya bahagia sangat dengan kehidupan sekarang di samping
suami dan anak, Ahmad Fakhruddin Attar yang kini sudah menginjak usia
sembilan bulan," luah Wawa sambil memeluk erat lengan suaminya.
Menganggap semua yang terjadi sebelum ini sebagai sejarah silam, kata
Aeril pula, semua orang pernah mengalaminya. Cuma apa yang menjadi
persoalan sama ada kita mahu mengenangkan ia buat selama-lamanya atau
menuju ke hadapan dengan menjadi manusia yang lebih baik.
Bergandingan buat pertama kali dalam drama setelah disatukan sebagai
suami isteri, Aeril mengakui kekok bercinta dengan Wawa dalam drama
Cerita Cinta Kita terbitan TV3.
Namun sebagai hal yang bukan tabu, Aeril dan Wawa tetap memberikan lakonan semula jadi di hadapan kamera demi kepuasan penonton.
"Saya bawa watak Adam yang bercinta dengan Salmah iaitu Wawa dalam
drama ini, namun ibu Salmah cuba memisahkan kami dan mengahwinkan Salmah
dengan Dr. Khairuddin (Dazrin)," ungkap Aeril mengenai wataknya dalam
drama yang ditayangkan setiap Rabu dan Khamis, pukul 9 malam itu.
Jaga batas
Membenarkan Wawa berlakon di samping Dazrin, Aeril percaya Wawa tahu menjaga batas-batasnya sebagai seorang isteri.
Pelakon berusia 26 tahun itu juga tidak risau andai Wawa bakal
bergandingan dengan lelaki lain dalam drama tanpa dirinya berada di
lokasi kerana sebagai pelakon dia tahu keadaan sesebuah drama itu
dihasilkan.
"Saya tidak perlu risau andai saya tidak bersama Wawa dalam sebuah
drama kerana sebagai seorang pelakon, saya tahu keadaan penggambaran.
Pengarah tahu untuk mendapatkan babak mesra tanpa perlu bersentuhan
hanya dengan menggunakan teknik kamera. Saya juga percaya Wawa tahu
batas lakonan dia sampai mana," jelasnya yang tidak meletakkan syarat ke
atas mana-mana penerbit andai ingin mengambilnya perlu mengambil Wawa
juga.
Biarpun Aeril memberi sepenuh kepercayaan, sebagai isteri yang sudah
bertudung, Wawa juga menolak untuk berlakon babak-babak yang
memerlukannya bersentuhan dengan lelaki.
Malah, pelakon berasal dari Lahad Datu, Sabah itu mengakui kena lebih selektif dalam lakonan.
"Tidak semua babak boleh saya lakonkan memandangkan kini saya sudah
bertudung dan menjadi isteri. Macam Cerita Cinta Kita, ada babak yang
memerlukan saya dan Dazrin berpegangan tangan.
"Saya minta supaya tidak diadakan babak tersebut dan Dazrin terima.
Kalau setakat babak dia tolak saya itu tiada masalah," ujar Wawa
menjelaskan lebih lanjut mengenai pendiriannya.
Tidak risau pendiriannya dan isterinya itu bakal mengehadkan tawaran
lakonan yang hadir, Aeril percaya rezeki Allah itu sentiasa ada jika
mereka sentiasa menjaga adab dan hukum.
Bukan hanya pada bidang lakonan, Aeril memberitahu, rezeki yang hadir
mungkin dalam pelbagai cabang bidang seperti pengacaraan atau menjadi
duta sesuatu produk.
"Saya percaya dengan rezeki Allah. Apabila kita menjaga hukum, lebih
banyak rezeki yang Allah akan bagi. Jadi kita tidak perlu takut,"
tuturnya.
Bakal bergandingan bersama sekali lagi untuk beberapa telefilem dan
drama pada masa akan datang, Aeril mengakui risau kekerapan berlakon
dengan Wawa akan menimbulkan rasa jemu dalam kalangan penonton.
Akan cuba mengehadkan gandingan bersama di dalam kaca TV, namun Aeril
juga tidak menolak rezeki lakonan yang hadir untuknya dan isteri.
Enggan dedah anak
Berkongsi mengenai hal anak, kata Wawa, dia sudah berani membiarkan anaknya dijaga oleh ibunya sejak dua bulan lalu.
"Selepas drama Cerita Cinta Kita, kami akan muncul bersama sekali
lagi dalam sebuah telefilem raya arahan Mawi AF. Alhamdulillah, sejak
mula bekerja dua bulan lalu, ibu banyak membantu menjaga Attar di
rumah," ungkapnya mengenai anaknya yang sudah pandai merangkak itu.
Tidak mahu memikirkan cahaya mata kedua, kongsi Wawa lagi, rasa penat melahirkan dan menjaga Attar masih terasa.
Sebaliknya, bagi Aeril pula, dia sudah bersedia menimang cahaya mata kedua pada tahun depan.
Tidak jemu-jemu berkongsi perihal Attar, namun pasangan suami isteri
itu menolak andai ada mana-mana media yang ingin mengadakan sesi
fotografi bersama Attar.
Bagi Aeril, cukuplah sekadar anaknya itu ditonton dalam laman sosial Instagram.
"Buat masa ini saya belum bersedia bawa anak saya ke mana-mana media.
Sesiapa yang dapat tengok anak kami pun hanya di Instagram. Sebabnya,
saya tidak mahu dia terdedah dengan publisiti," lantunnya.
Menyambung bicara Aeril, Wawa memberitahu, suaminya itu tidak mahu mendedahkan anak mereka dalam bidang seni.
Cukuplah sekadar mereka berdua sahaja yang terdedah dalam bidang seni.
"Aeril tidak mahu apabila muka Attar sering terdedah di media, ia akan menjejaskan Attar di kemudian hari," kata Wawa. Kosmo
No comments:
Post a Comment