BELO HORIZONTE, Brazil - Seorang penyokong Brazil mati selepas
mengalami sakit jantung semasa menyaksikan detik-detik cemas sepakan
penalti yang membawa kemenangan kepada pasukan tuan rumah, lapor media
semalam.
Lelaki berusia 69 tahun itu sebelum kejadian dikatakan mengadu tidak
sihat semasa menyaksikan perlawanan berkenaan yang ketika itu Brazil
terikat 1-1 dengan Chile sehingga membawa kepada masa tambahan dan
akhirnya kemenangan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti.
Detik sepakan penalti menjadi saat paling mendebarkan dan tegang
kepada penyokong Brazil sebelum negara itu berjaya melangkah ke suku
akhir Piala Dunia menerusi kelebihan gol penalti 3-2 ke atas Chile.
Penyokong tersebut yang mempunyai masalah diabetes meninggal dunia sebaik sahaja dibawa ke hospital, menurut portal berita G1 dan laman web akhbar Estado de Minas.
Akhbar tersebut turut melaporkan pegawai-pegawai kesihatan tempatan
merawat lebih 100 orang sepanjang perlawanan itu berlangsung termasuk
seorang wanita berusia 50 tahun yang juga mengalami sakit jantung,
manakala seorang pemuda dirawat apabila patah hidung kerana bergaduh. -
AFP
No comments:
Post a Comment