NAMA SleeQ bukanlah asing di Malaysia. Duo kelahiran Singapura ini pernah diperkatakan seketika dalam industri apabila berpeluang kolaborasi dengan penyanyi tersohor, Ramlah Ram menerusi lagu Sesaat Kau Datang namun selepas itu nama mereka tenggelam timbul.
Ada sebab yang menjurus kepada situasi berkenaan, selain kurang mengenali komposer, penerbit muzik dan orang-orang penting dalam industri, kedua-dua anggotanya, Alif Abdullah (Alyph), 23, dan Ahmad Syarifullah (Syarif), 23, sebenarnya terikat dengan program khidmat negara di sana.
Bagaimanapun dengan hanya berbaki tidak sampai setahun untuk tamat, tiada alasan bagi mereka untuk mengorak langkah memahat karier seni di persada hiburan Malaysia, apatah lagi selepas dilamar menjadi artis naungan syarikat Aaron Aziz Production. Berbekalkan platform itu, SleeQ kini dalam rangka untuk membolosi pasaran di sini pula.
Sudah menempa nama di negara sendiri, dua bersaudara ini tidak gentar untuk me�ngembangkan lagi sayap muzik yang diperjuangkan iaitu R&B dan Hip Hop.
Walaupun sedar mengenai penerimaan peminat yang tidak tentu terhadap konsep muzik di sini, bagi mereka, berusaha untuk mencuba adalah lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa langsung.
Lantas, sebaik menandatangani perjanjian bersama syarikat milik pelakon terhangat, Aaron Aziz itu, tahun 2012 bakal menyaksikan kebangkitan mereka dalam industri sini malah akan berpindah ke Kuala Lumpur demi merealisasikan matlamat itu.
Ditemui dalam sesi fotografi baru-baru ini, Alif sempat berkongsi mengenai kesusahan mereka untuk memperluaskan muzik di Malaysia hanya kerana komitmen pada ketika itu sungguh padat.
“Sebagai memenuhi tanggungjawab kepada negara, kami tidak terkecuali untuk menjalani program khidmat negara yang wajib selama dua tahun. Syukurlah, komitmen Syarif untuk latihan berkenaan bakal tamat dalam masa dua bulan lagi manakala saya masih ada lagi kurang setahun sebelum ‘merdeka’.
“SleeQ sebenarnya sudah lama ditubuhkan, dan menerusi single Cun Saja daripada album SleeQ’s Classiq pada 2009, kami mula dikenali peminat di sini namun ‘pukulan’ album berkenaan nampaknya agak hambar apabila kurang promosi.
Kami akui, memang terhad sungguh masa untuk kami ke Malaysia pada ketika itu sekali gus gagal untuk buat promosi secara ‘all out’.
“Untuk permulaan ini, kami masih lagi berulang-alik dari Singapura ke Kuala Lumpur untuk proses rakaman album ketiga sebagai pertaruhan terbaru kerana komitmen terhadap khidmat negara yang masih berbaki serta pembelajaran di politeknik. Bagaimanapun, setiap kali hujung minggu, pastinya kami akan berada di sini memenuhi undangan dan sesi bertemu media serta peminat,” ujarnya.
Bercerita mengenai album ketiga yang bakal dilancarkan sekitar September nanti, Syarif menjelaskan banyak kelainan disuntik dalam lagu-lagu mereka dan pertukaran terbesar tentu sekali pada konsepnya.
“Kalau peminat perasaan, dalam album pertama dan kedua, kami banyak mengetengahkan lagu berkisar cinta remaja, maklumlah masih dalam proses meningkat remaja. Masa itu, idea yang keluar pun kebanyakan menjurus kepada persekitaran mengenai remaja yang masih belum mencapai tahap kematangan.
“Namun untuk album ketiga yang menggunakan nama SleeQ sebagai judul, arah tuju lirik serta lagu lebih bersifat matang dan melodinya lebih kuat. Tambahan pula, untuk album ini, kami tidak lagi menghasilkan lagu-lagu sendiri tetapi mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan beberapa komposer seperti Dali Ahli Fikir serta produksi rakaman di sini.
“Peluang inilah yang tunggu-tunggu selama ini kerana untuk kerja dalam kelompok kecil, keluasan pemikiran untuk berkarya mungkin agak terhad. Jadi, apabila dapat bertemu dengan komposer, penerbit muzik dan penyanyi yang masing-masing boleh menyalurkan idea serta bertukar pendapat, pastinya hala tuju album kami akan menjadi lebih kuat.
“Menjalani proses rakaman sepenuhnya di sini, kami sangat bertuah kerana dapat menjalin kerjasama dengan tenaga-tenaga muzik dari sini di samping dapat meneroka sendiri cara kerja, kesungguhan serta kreativiti mereka.
“Album ini akan memuatkan enam lagu di mana empat daripadanya hasil kolaborasi dengan artis terkenal seperti Najwa Latif, Zizan Raja Lawak, Kaka dan sebuah lagu lagi duet bersama ‘bos’ kami, Aaron Aziz iaitu menerusi lagu Salam Semua,” ujarnya.
Apapun, fokus utama yang bermain di minda Alyph dan Syarif kini pastinya untuk mengangkat muzik mereka ke tahap lebih jauh. Soal populariti jatuh ke nombor dua kerana bagi mereka, biarkan lagu dikenali terlebih dahulu, barulah cari penyanyinya.
No comments:
Post a Comment