Jom Buat Duit

Friday, 6 April 2012

Diana sedia berbaju pengantin


PELAKON kacukan Melayu-Inggeris, Diana Danielle Danny Beeson, 20, kini sudah sedia berpakaian pengantin. Apakah dia sudah pasti meraikan hari bahagianya?
Jangan salah sangka kerana hari yang ditunggu itu belum lagi menjelma sebaliknya model, pelakon dan penyanyi cantik itu diundang bagi memeriahkan acara hebat, Festival Pengantin Malaysia Ke-11.

Diana sebenarnya bersetuju menerima undangan penganjur, Dirich Vision Sdn Bhd untuk acara itu yang sedang berlangsung sehingga 8 April ini di Dewan Tun Razak 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain Diana, festival yang bermula jam 10 pagi hingga 9 malam itu turut mengundang penyanyi lain seperti Ila Damia dan Altimet.


Diana akan menghiburkan bakal pengantin pada Sabtu ini, 7 April, jam 2 petang manakala, Altimet dan Ila Damia pula akan berkongsi pentas menghiburkan pengunjung pada keesokannya (Ahad), jam 3 petang.

“Belum terdetik di fikiran saya berkahwin buat masa ini. Belum ada perancangan apa-apa. Saya malu kalau apa yang diimpikan itu tidak menjadi kenyataan.
Biarlah saya berkawan dulu (dengan Farid) dan terus mengenal hati budi masing-masing.

“Apa yang lebih penting sekarang adalah kerjaya saya. Saya masih muda dan banyak lagi impian yang belum dicapai. Kemunculan saya dalam festival pengantin ini adalah sekadar memenuhi undangan penganjur dan bertemu peminat.

“Walaupun selama ini saya lebih dikenali sebagai pelakon, saya juga banyak menerima undangan nyanyian. Sejak diundang sebagai artis pembuka tirai konsert peniup saksafon antarabangsa, Kenny G, tahun lalu, rezeki menyanyi semakin terbuka luas,” katanya.

Anak kelahiran Houston, Amerika itu berkata dia terharu diundang ke festival pengantin yang mendapat sambutan ramai di kalangan masyarakat terutama bakal pengantin.

“Inilah kali pertama saya menerima undangan Festival Pengantin Malaysia yang dikunjungi ribuan orang apabila setiap kali diadakan sekitar Lembah Klang. Bagi saya, festival pengantin ini memudahkan bakal pengantin membuat pilihan dalam merancang majlis bersejarah mereka.

“Festival khas untuk pasangan mempelai itu juga akan menampilkan pakar dalam bidang perkahwinan bersatu di bawah bumbung yang sama untuk menyediakan perkhidmatan kepada bakal pengantin, sekali gus memudahkan mereka untuk merancang persediaan majlis.

“Apa yang menarik, mereka boleh mendapat tawaran harga yang istimewa sepanjang festival pengantin ini berlangsung, yang tidak boleh dinikmati pada hari-hari biasa. Ini adalah peluang keemasan untuk mereka merancang perkahwinan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Dirich Vision Sdn Bhd, Nor Sharlina Abdul Rashid, berkata Festival Pengantin Malaysia, salah satu platform untuk usahawan yang terbabit dalam industri perkahwinan untuk menyertainya. Dalam festival berkenaan, pihak penganjur menyediakan ruang pameran yang lengkap pengusaha mempamerkan hasil reka cipta secara terus kepada bakal pengantin.

“Antara perkhidmatan disediakan termasuklah andaman pengantin, perancang perkahwinan, fotografi dan videografi, kad kahwin, cenderamata, perhiasan, aksesori, dewan majlis perkahwinan, ejen perancang industri perkahwinan, pusat penjagaan kecantikan dan perkhidmatan katering.

“Selain itu, penganjuran festival ini dapat dijadikan platform untuk usahawan tempatan mengembangkan lagi perniagaan mereka. Pengunjung juga berpeluang memenangi hadiah menarik, termasuk pakej bulan madu, televisyen, jam tangan, barang kemas serta baucar beli-belah. Mereka juga berpeluang membawa pulang barang kemas Habib Jewels bernilai RM2,000 setiap hari,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters