Jom Buat Duit

Friday, 6 April 2012

Julianne selami Palin


TIDAK mudah untuk menyelami sesuatu watak yang membabitkan identiti individu. Bukan sekadar mengamati perwatakan, malah segala aspek termasuk gaya bercakap dan gerak tubuh perlu dijadikan bahan penting untuk memastikan individu yang dilakonkan benar-benar berkesan.
Itulah cabaran buat pelakon yang sudah empat kali dicalonkan di Anugerah Academy, Julianne Moore dalam melakonkan watak utama, Sarah Palin seorang Gabenor Alaska dalam filem khas tayangan HBO berjudul Game Change.


Meskipun sudah membintangi lebih 30 filem sejak tiga dekad lalu, Julianne masih mengakui watak Palin yang dilakonkannya kali ini tidak semudah yang dijangka.

Jelasnya, Game Change sebuah filem yang berbeza dengan garapan plot cerita yang begitu berat mengenai pergolakan politik di Amerika Syarikat.


“Saya begitu tertarik dengan skrip dan perjalanan ceritanya. Mana tidaknya, ia diterjemah dari buku paling laris di Amerika Syarikat dengan mentakrif semula detik-detik pilihan raya dan senario politik di Amerika. Ia sesuatu yang melangkaui imaginasi saya sendiri kerana tidak pernah kita didedahkan secara menyeluruh dengan terperinci mengenai perjalanan dan perjuangan ahli politik.

“Lantas saya menyifatkan Game Change filem yang hebat namun penuh cabaran buat saya selaku pelakonnya,” katanya.

Game Change yang ditulis oleh Danny Strong dan mendapat sentuhan pengarah Jay Roach menawarkan pengalaman berbeza di belakang tabir kempen pilihan raya presiden John McCain pada 2008 termasuk pemilihan Gabenor Alaska, Sarah Palin selaku Timbalan Presiden McCain yang turut tewas dalam pilihan raya umum itu.

Bagaimanapun ia diceritakan semula daripada sudut pakar strategi kempen John McCain iaitu Steve Schmidt yang dilakonkan oleh Woody Harrelson bagi memberikan Game Change satu naskhah yang melihat kempen itu dari perspektif berbeza.

Bukan sekadar menjadi pakar strategi, malah Steve Schmidt juga adalah lelaki yang memperjuang�kan penyertaan Palin serta sentiasa setia berdiri bersama Gabenor Alaska itu dalam mencari jalan bagi mengukuhkan empayarnya dalam pilihan raya itu.

Pelakon disegani ramai, Ed Harris yang membawakan watak John McCain juga Senator Arizona dilihat memberikan satu pengalaman terbaik dalam menghidupkan kesemua watak dalam filem ini.

Menurut Julianne ketika ditanya mengenai cabaran dan kelainan yang dirasainya dalam menjayakan watak menerusi filem ini, Game Change menguji satu sisi bakat lakonannya yang mana perlu meneliti dengan terperinci sesebuah watak hingga menyeru ke dalam hidupnya sendiri.

“Melakonkan watak Palin memang sesuatu yang sukar buat saya kerana dia seorang figura yang dikenali dan penuh semangat. Sudah tentu ia sesuatu yang mustahil untuk benar-benar menjadi orang itu, bagaimanapun saya berusaha membawa watak beliau ke dalam diri saya dan mewujudkan kehadiran beliau dalam cerita ini.
Bukan sekadar melihat gaya cakap dan karakter semata-mata sebaliknya saya perlu meneliti emosi dan ekspresi wajahnya untuk memastikan lakonan itu tampak realistik.

“Saya begitu bimbang jika ada pihak mempersoalkan lakonan saya dan kerana itu juga saya perlu melihat setiap aspek agar Palin dapat diserap masuk ke dalam diri saya.

“Bayangkan, setiap hari saya membuat penyelidikan mengenai dokumentasi
Palin serta menonton video ucapannya, wawancara beliau dan penampilan
di seluruh negara menerusi YouTube. Saya juga turut merekodkan suaranya
untuk didengar dalam iPod selain bekerja dengan jurulatih vokal. Saya perlu mengamatinya setiap hari kerana ingin meniru selagi termampu.

“Saya membaca biografi beliau, buku-buku yang ditulis mengenai beliau
dan pilihan raya yang mampu saya terjemahkan pada lakonan saya. Namun yang lebih sukar adalah menjejaki semangatnya dalam bertanding demi mengejar jawatan. Itu lebih memberikan tekanan,” katanya.

Tambahnya lagi, Game Change mendedahkannya dalam mempelajari perasaan dan pergolakan jiwa menjadi seorang ahli politik yang bermain dengan kuasa dan duit.

“Saya boleh membaca dan bertanya soalan mengenai mereka serta cuba menjadi jelmaan mereka bagi menikmati siapa mereka. Ia sangat menarik, tetapi saya tidak akan tahu kebenaran rasanya atau apa yang mereka lakukan kerana saya tidak melaluinya. Namun menghambakan diri bagi meneliti perjalanan hidup Palin dan senario politik, saya hanya boleh katakan semuanya berlaku terlalu pantas.

“Bayangkan, mereka mempunyai 60 hari saja untuk ke hari pengumuman pilihan raya yang mana ia satu jangka masa tidak waras. Jadi kejutan yang saya lihat ialah berapa cepat mereka terpaksa beralih dari satu perkara ke perkara lain dan bagaimana teruknya membuat persediaan secara tiba-tiba. Saya kagum dengan kecekapan dan semangat yang ada pada ahli politik ini dalam membuat keputusan dalam sekelip mata.

“Ia sesuatu menakjubkan apabila seseorang yang mengejar jawatan di negara ini tapi dalam masa yang sama menjadi sasaran media hingga meletak keluarga di belakang. Lantas ada kalanya saya simpati terhadap situasi dihadapi mereka yang tidak pernah diketahui umum,” katanya

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters