Jom Buat Duit

Tuesday, 3 April 2012

Deanna Yusoff Tidak pernah kesunyian



PADA era 90-an, Deanna Yusoff merupakan antara pelakon yang pernah menjadi pujaan ramai. Namanya mula menjadi sebutan apabila mula membuat kemunculan sebagai pelakon menerusi filem Selubung pada tahun 1991.

Bagaimanapun, seiring dengan peredaran zaman dan kemunculan ramai bakat baharu dalam industri lakonan, nama Deanna seolah-olah semakin tenggelam. Sementelah dia jarang muncul sama ada di kaca televisyen atau layar perak.

Ketika ditemui pada majlis pelancaran filem animasi Bola Kampung - The Movie baru-baru ini, pelakon berkenaan memberitahu dia tetap aktif dalam kerjaya seni dan tidak terfikir untuk meninggalkan dunia lakonan.
"Saya tidak menghilangkan diri dalam industri hiburan tempatan seperti tanggapan sesetengah pihak, cuma mungkin ada peminat yang tidak sedar kerana saya agak jarang muncul di media massa.
"Sehingga kini saya masih berlakon dan kali terakhir adalah menerusi drama Cendana untuk saluran Astro Prima. Selain itu, saya turut menyanyi dan menjadi pengacara untuk majlis-majlis tertentu," ujarnya.

Memandangkan bakatnya mula dicungkil menerusi layar perak, Deanna menjelaskan dia ada mendapat tawaran daripada beberapa orang penerbit dan pengarah, namun terpaksa menolaknya atas beberapa sebab.
"Bukan tidak berminat untuk berlakon filem, tetapi setiap tawaran yang diterima saya dapati watak dan jalan cerita kurang menarik. Malah, ada yang menawarkan saya berlakon pada saat-saat akhir dan terpaksa menolak kerana jadual yang padat," jelasnya yang kali terakhir tampil menerusi filem Chermin pada tahun 2007.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status peribadinya, pelakon berkenaan mengakui masih lagi solo sehingga kini, biarpun pernah digosipkan sudah berumah tangga dengan seorang ahli perniagaan beberapa tahun lalu.

Menurut Deanna, ketika ini dia sangat gembira menjalani kehidupan yang dilaluinya kini dan tidak pernah meletakkan sasaran untuk berkahwin dalam tempoh terdekat biarpun usianya sudah mencecah 45 tahun.
DEANNA bersama karyawan filem Bola Kampung - The Movie pada majlis pelancaran filem itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.
 
"Keinginan untuk mendirikan rumah tangga itu memang ada, cuma saya lebih selesa dan seronok dengan kehidupan sekarang dan perkahwinan bukanlah menjadi keutamaan dalam hidup saya.
"Saya memilih untuk hidup solo bukanlah disebabkan trauma melihat kegagalan perkahwinan di kalangan rakan-rakan, tetapi ini adalah keputusan yang saya buat tanpa dipengaruhi oleh sesiapa pun," ujarnya.

Bagaimanapun, pelakon berkenaan masih tetap mengharapkan jodohnya akan tiba suatu hari nanti dan dapat bertemu dengan lelaki yang sesuai serta memenuhi kriteria untuk menjadi teman hidupnya.
"Sebelum ini saya pernah juga rapat dengan beberapa orang lelaki, namun hubungan yang terjalin tidak lebih daripada sekadar kawan biasa. Jadi, saya tidak mahu terlalu memikirkan sangat tentang perkahwinan.

"Seandainya ada jodoh nanti saya cuma berharap lelaki yang akan menjadi suami saya nanti mempunyai kriteria seperti tidak mementingkan diri sendiri, tidak sombong, baik hati dan mempunyai sikap bertanggungjawab," ujarnya.

Walaupun masih berstatus solo, pelakon berkenaan menyatakan dia tidak pernah berasa sunyi kerana kehidupannya tetap ditemani ahli keluarga dan rakan-rakan yang kebanyakannya belum mendirikan rumah tangga.

Bisnes coklat
Mungkin sudah ada yang mengetahui Deanna juga menjalankan bisnes dengan menjadi pengedar coklat jenama Grandjean yang diimport khusus dari Switzerland.

Sudah dua tahun menjalankan perniagaan tersebut menerusi syarikat miliknya, Artisanal Asia Sdn. Bhd., pelakon berkenaan menyatakan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.
"Selama ini ramai yang tertanya-tanya kenapa saya menjalankan perniagaan coklat. Sebenarnya saya adalah seorang penggemar coklat dan ketika menetap di Switzerland selama 15 tahun, coklat sudah menjadi makanan harian saya.

"Namun begitu, saya cuma menjualnya menerusi Internet dengan jumlah yang agak terhad memandangkan harganya yang sangat mahal dan dijual di sekitar Kuala Lumpur sahaja," ujarnya.
Ditanya mengenai keistimewaan coklat yang dijualnya itu, Deanna menjelaskan coklat berkenaan tidak mengandungi sebarang bahan kimia dan dibuat secara home made (dihasilkan di rumah) tanpa menggunakan mesin.

Ujarnya lagi, memandangkan harga coklat tersebut agak mahal kerana diimport dari luar negara, biasanya dia menerima tempahan daripada pelanggan untuk majlis tertentu seperti sambutan ulang tahun atau majlis perkahwinan.

"Ketika ini belum ada sebarang perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan seperti membuka sebuah kedai menjual coklat. Lagipun pasarannya tidak meluas kerana harga coklat berkenaan agak mahal dan tidak semua orang mampu membelinya," jelasnya.

Beri sokongan
Selain bergiat aktif dalam kerjaya seni dan perniagaan, Deanna juga telah bersetuju untuk menyumbangkan suaranya dalam sebuah filem animasi berjudul Bola Kampung - The Movie yang diterbitkan oleh syarikat Animasia Studio Sdn. Bhd.

Mengenai pembabitannya dalam filem animasi berkenaan, pelakon berkenaan meluahkan rasa teruja untuk memberikan kerjasama memandangkan dia merupakan seorang penggemar rancangan animasi.
"Boleh dikatakan masih tidak banyak lagi rancangan animasi yang telah dihasilkan oleh anak tempatan dan inilah masa yang paling sesuai untuk saya memberikan sokongan kepada mereka.
"Lagipun tawaran yang diterima ini tidak boleh dilepaskan kerana saya berpeluang bekerjasama dengan ramai artis popular lain yang turut bersetuju untuk menyumbangkan suara masing-masing," jelasnya.

Antara artis yang turut terbabit dalam filem animasi tersebut seperti Ezlynn, Aizat Amdan, Mamat (Sepah), Steven Tan, Baki Zainal, Noh (Hujan), Douglas Lim, Adila Shakir, Harun Salim Bachik, Harris Alif, Aznil Nawawi dan Afdlin Shauki

"Tidak lama dahulu saya pernah menyumbangkan suara dalam sebuah rancangan animasi, tetapi agak kecewa kerana ia tidak disiarkan sehingga sekarang. Saya juga berharap agar lebih banyak lagi rancangan animasi dapat dihasilkan oleh anak tempatan pada masa akan datang," ujarnya mengakhiri bicara.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters